SERI KEMBANGAN – Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mensasarkan kutipan RM1.5 juta dalam program korban dan akikah tahunannya, MyQurbani.
“Program tahunan ini bakal memanfaatkan saudara-saudara kita yang memerlukan di sembilan buah negara sepanjang pelaksanaannya,” ujar MyCARE di laman Facebooknya.
Bermula dengan nama Qurban Kasih Ummah dan kemudiannya MyKorban, kini ia dijenamakan semula bagi memberi nafas baru dalam pelaksanaan ibadah yang paling dinantikan umat Islam.
“Selama 23 tahun, kami melaksanakan amanah ini dengan penuh cermat dan akan terus memastikan pelaksanaan ibadah korban dan akikah diuruskan dengan amalan terbaik (best practices) sambil memastikan aspek kepatuhan hukum syarak diikuti sepenuhnya.”
Program MyQurbani bertujuan memberi peluang kepada rakyat Malaysia melebarkan ibadah mereka ke negara-negara yang berada di kancah peperangan dan juga yang mengalami bencana alam.
Negara-negara tersebut ialah Palestin, Syria, Yaman, Somalia, Somaliland, Eritrea, Nepal, Myanmar dan Bangladesh.
“Alhamdulillah, sebanyak 3,777 penyertaan korban dan akikah telah berjaya dilaksanakan pada tahun lepas.”
Menariknya, turut diumumkan bahawa pakej korban serendah RM290 diteruskan lagi pada tahun ini, iaitu di Nepal dan Somaliland.
“Jom sekali lagi laksanakan ibadah korban atau akikah anda di samping membantu saudara-saudara kita yang memerlukan.”
Mereka yang berminat, boleh memilih jenis korban atau akikah, pakej haiwan di negara tertentu dan kemudian melayari mycare.qrd.by/myqurbani.
Seiring mendapat pahala ibadah qurban, gandakan pahala kita dengan memberi daging korban kepada mereka yang memerlukan. Untuk info lanjut, sila layari pautan https://myqurbani.my/.
Sumber: MyQurbani