Program yang diadakan di Bilik Seminar Pejabat IKRAM Pusat di sini itu dihadiri oleh hampir 50 wakil Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi Negeri dan Daerah.
Majlis dibuka dengan bacaan ayat-ayat al-Quran oleh Ustaz Ahmad Faridz Abdullah. Para peserta kemudiannya berdiri bersama-sama untuk menyanyikan lagu rasmi IKRAM dengan penuh semangat.
Muzakarah ini diserikan lagi dengan kehadiran Presiden IKRAM, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad untuk memberikan ucapan merasmikan muzakarah ini. Dalam ucapannya, Dr Mohd Parid telah menyentuh beberapa isu terkini berkenaan ekonomi negara seperti kedudukan ekonomi negara berbanding negara lain, bajet 2011 dan Economic Transformation Programms (ETP).
Dalam ucapan perasmiannya juga, Dr Mohd Parid membangkitkan persoalan sama ada boleh atau tidak kesemua inisiatif ini dijayakan.
“Pimpinan dari parti yang sama masih menerajui inisiatif ini, sedangkan mereka ini sudah tenggelam dalam budaya hidup korup, nepotisme, kronisme, urus tadbir yang tidak baik, terdiri daripada golongan oportunis, bukan nasionalis atau Islamis,” tambahnya lagi.
Dr Mohd Parid turut menyentuh perkara-perkara berkaitan inisiatif ekonomi IKRAM dan dapatan daripada kajian status ekonomi ahli. Selain itu, beliau juga berpesan mengenai perubahan pendekatan yang perlu dilakukan untuk melonjakkan lagi ekonomi IKRAM dan juga ahli-ahli IKRAM.
Setelah selesai ucapan perasmian daripada Presiden IKRAM, muzakarah diteruskan dengan pembentangan daripada Pengerusi JKPE, Haji Shaharom Md Shariff dan ahli-ahli JKPE yang lain.
Selama sehari ini, peserta dibentangkan dengan visi, misi dan perancangan strategik JKPE untuk dijayakan di semua peringkat kepemimpinan. Selain itu, peserta juga diberikan peluang untuk berkongsi inisiatif ekonomi yang dilaksanakan di negeri masing-masing. Antara peserta yang telah mengongsikan pengalaman mereka adalah wakil dari Johor, Perak dan Kelantan.
Muzakarah ini diakhiri dengan sesi pembentangan berkaitan koperasi-koperasi di bawah IKRAM dan Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB) oleh Pengerusi Lembaga KIMB, Dr Ahmad Zainuddin Abdullah dan Naib Pengerusi Lembaga KIMB, Haji Abdul Rashid Bin Abu Nawar.
Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh Haji Shaharom.