Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyambut baik Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021.
Ini bersesuaian dengan politik kolaboratif yang dicadangkan IKRAM pada Ogos lepas supaya pemimpin-pemimpin kerajaan dan pembangkang bersepakat untuk menangani krisis kesihatan, ekonomi, sosial dan pendidikan yang melanda negara.
MoU tersebut dijangka dapat mewujudkan suasana politik yang lebih stabil dalam keadaan negara ditimpa krisis kesihatan, ekonomi, sosial dan pendidikan.
MoU berkenaan memperincikan enam transformasi utama merangkumi Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
Rakyat menaruh harapan tinggi agar intipati MoU berkenaan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin demi mengeluarkan negara daripada krisis-krisis yang sedang melanda dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat dan negara yang amat terkesan dengan krisis-krisis dan kemelut politik yang tidak berkesudahan semenjak awal tahun 2020.
Sehubungan itu, IKRAM menggesa agar Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) memberikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan kesemua transformasi yang telah dipersetujui di dalam MoU ini.
Dalam hal ini, kerajaan diamanahkan dengan kuasa untuk melaksana enam transformasi yang disenaraikan dalam MoU manakala Pakatan Harapan (PH) pula berperanan untuk mendesak pelaksanaan transformasi-transformasi berkenaan melalui Parlimen dan mekanisme lain yang bersesuaian.
Kesemua transformasi ini boleh dijadikan sebahagian daripada petunjuk prestasi utama (KPI) Kerajaan Persekutuan dan dipantau pelaksanaannya oleh Parlimen.
Memandangkan memorandum berkenaan hanya terpakai sehingga pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-14 sedangkan sebahagian transformasi yang terkandung dalam MoU dijangka mengambil masa yang agak lama untuk membuahkan hasil, komitmen berserta kejujuran yang tinggi amat diperlukan, khususnya di pihak Kerajaan Persekutuan yang diamanahkan dengan bidang kuasa yang berkaitan.
IKRAM juga melihat MoU ini sebagai satu peluang untuk pemimpin-pemimpin politik membuktikan keikhlasan mereka dalam memperjuangkan kebajikan rakyat. Pemimpin yang kompeten dan berwibawa akan mendapat kepercayaan rakyat, sebaliknya pemimpin yang mengabaikan hak rakyat dan negara akan dihukum melalui pilihan raya umum yang akan datang.
Sebagai sebuah pertubuhan dakwah dan kebajikan yang prihatin dengan permasalahan masyarakat dan hala tuju negara, IKRAM komited untuk menawarkan sokongan terhadap inisiatif-inisiatif yang dapat memulihkan dan membawa negara ini ke tahap yang lebih baik.