Konsep Negara Rahmah merupakan gagasan normatif yang berteraskan nilai kasih sayang (rahmah), keadilan (‘adl), amanah dan ihsan dalam pembinaan sesebuah negara. Dalam dimensi politik, gagasan ini menuntut pelaksanaan tadbir urus yang baik sebagai prasyarat utama kelangsungan kesejahteraan sosial dan kestabilan institusi.
Tanpa struktur tadbir urus yang telus, berintegriti dan berakauntabiliti, idealisme Negara Rahmah akan terhenti pada tahap retorik. Oleh itu, model tadbir urus dalam kerangka Negara Rahmah perlu dianalisis melalui integrasi antara prinsip politik Islam dan pembinaan sosial berasaskan sirah nabawiyah, seterusnya diaplikasikan secara kontekstual dalam realiti Malaysia.
Secara teorinya, tadbir urus baik merujuk kepada pengurusan kuasa dan sumber awam secara cekap, telus serta bertanggungjawab demi kepentingan rakyat. Dalam perspektif Islam, prinsip ini tidak terpisah daripada kerangka maqasid syariah yang bertujuan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Justeru, tadbir urus dalam Negara Rahmah bukan sekadar mekanisme pentadbiran, bahkan suatu amanah yang berkait langsung dengan tuntutan wahyu. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 58:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
Dalam ayat ini, Allah memerintahkan penyampaian amanah kepada yang berhak dan menjalankan hukuman secara adil menjadi asas normatif kepada konsep akauntabiliti dalam pentadbiran.
Model daripada sirah, konteks Malaysia
Sirah nabawiyah memperlihatkan model empirik yang komprehensif dalam pembentukan tadbir urus berteraskan nilai rahmah. Kepimpinan Rasulullah SAW di Madinah menampilkan integrasi antara autoriti politik dan tanggungjawab moral.
Pembentukan Piagam Madinah sebagai dokumen perlembagaan awal menunjukkan pengiktirafan terhadap kepelbagaian agama dan etnik dalam satu entiti politik yang bersatu.
Prinsip keadilan, tanggungjawab kolektif dan jaminan hak minoriti yang termaktub dalam piagam tersebut menggambarkan ciri tadbir urus inklusif yang selari dengan aspirasi Negara Rahmah. Dalam konteks ini, rahmah tidak bererti kelembutan tanpa batas, tetapi ketegasan yang berasaskan keadilan dan kesaksamaan.
Dimensi akauntabiliti dan integriti turut terserlah dalam pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin, khususnya kepimpinan Umar al-Khattab. Amalan pengisytiharan harta pegawai, pemantauan terhadap gaya hidup gabenor serta kesediaan menerima teguran rakyat mencerminkan budaya semak dan imbang yang berfungsi secara efektif.
Konsep hisbah sebagai mekanisme pengawasan sosial membuktikan bahawa kuasa politik dalam tradisi Islam tertakluk kepada prinsip tanggungjawab kepada masyarakat sivil. Hal ini bertepatan dengan kerangka tadbir urus moden yang menekankan check and balance sebagai instrumen pencegahan penyalahgunaan kuasa.
Apabila diaplikasikan dalam konteks Malaysia, perbahasan mengenai tadbir urus yang baik memperoleh signifikan yang lebih mendalam. Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dengan sistem demokrasi berperlembagaan memerlukan pengukuhan institusi yang menjamin ketelusan dan integriti.
Isu rasuah, ketirisan kewangan awam serta krisis kepercayaan terhadap institusi politik yang pernah berlaku menunjukkan keperluan mendesak terhadap reformasi institusi.
Pengukuhan badan penguatkuasaan, pemerkasaan parlimen serta kebebasan institusi kehakiman merupakan langkah penting dalam memperkasakan akauntabiliti. Namun demikian, reformasi struktural sahaja tidak memadai tanpa transformasi budaya politik dan moral masyarakat.
Dimensi politik, pembinaan sosial
Dalam kerangka Negara Rahmah, integrasi antara dimensi politik dan pembinaan sosial merupakan pendekatan yang bersifat holistik. Tadbir urus yang baik tidak lahir melalui peraturan semata-mata, tetapi terbentuk melalui nilai amanah dan integriti dalam diri individu.
Keluarga sebagai institusi sosial berperanan membentuk karakter warganegara yang beretika. Pendidikan nilai kejujuran, disiplin dan tanggungjawab sejak usia kanak-kanak akan mempengaruhi corak kepimpinan generasi akan datang.
Dengan kata lain, krisis tadbir urus pada peringkat negara sering berakar daripada kegagalan pembinaan moral pada peringkat awal perkembangan seseorang kanak-kanak.
Sehubungan itu, sistem pendidikan di Malaysia perlu menyeimbangkan kecemerlangan akademik dengan pembangunan sahsiah dan integriti. Kurikulum yang menekankan etika profesional, tanggungjawab sosial dan kesedaran sivik dapat menyumbang kepada pembentukan budaya tadbir urus yang baik.
Selain itu, institusi agama, badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil berperanan sebagai ejen perubahan sosial yang menyemai budaya tegur-menegur secara hikmah dan konstruktif. Budaya ini selari dengan prinsip syura yang menekankan musyawarah dalam proses membuat keputusan.
Dalam sistem demokrasi Malaysia, prinsip syura dapat diterjemahkan melalui penyertaan rakyat dalam pilihan raya, perbahasan awam dan wacana intelektual. Walau bagaimanapun, penyertaan ini hendaklah dipandu oleh etika perbezaan pendapat dan adab politik yang matang.
Polarisasi melampau, retorik kebencian dan penyebaran maklumat palsu bercanggah dengan nilai rahmah yang menjadi asas Negara Rahmah. Oleh itu, kematangan politik dan literasi sivik perlu diperkasakan agar proses demokrasi berfungsi sebagai instrumen pembinaan, bukan perpecahan.
Selain itu, dalam memperkukuh model tadbir urus berteraskan Negara Rahmah di Malaysia, pendekatan berasaskan maqasid syariah wajar dijadikan kerangka analitikal dalam penggubalan dasar awam.
Setiap polisi negara, sama ada berkaitan ekonomi, pendidikan mahupun keselamatan, perlu dinilai dari sudut sejauh mana ia memelihara kemaslahatan umum (maslahah ‘ammah) dan menolak kemudaratan (mafsadah). Pendekatan ini akan mengelakkan kecenderungan politik kepartian yang sempit, sebaliknya mengangkat kepentingan rakyat sebagai keutamaan tertinggi.
Di samping itu, penginstitusian budaya integriti dalam sektor awam dan swasta hendaklah disokong oleh sistem penilaian prestasi yang menekankan etika dan akauntabiliti, bukan sekadar pencapaian kuantitatif.
Dalam hal ini, prinsip ihsan sebagaimana yang ditunjukkan dalam sirah nabawiyah mengajar bahawa pengawasan tertinggi ialah kesedaran bahawa setiap amanah dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT. Dimensi spiritual ini memberi kekuatan dalaman yang melampaui kawalan undang-undang semata-mata.
Kesepaduan kepimpinan, masyarakat
Akhirnya, pembinaan Negara Rahmah menuntut kesepaduan antara kepimpinan politik yang berwibawa dan masyarakat yang bermoral. Sinergi ini akan melahirkan ekosistem tadbir urus yang stabil, diyakini rakyat serta mampu menghadapi cabaran globalisasi tanpa mengorbankan prinsip keadilan dan rahmah.
Kesimpulannya, model tadbir urus dalam kerangka Negara Rahmah menuntut integrasi antara prinsip politik Islam dan pembinaan sosial yang berteraskan sirah nabawiyah.
Tadbir urus yang baik bukan sahaja berkait dengan kecekapan pentadbiran, tetapi berakar pada nilai wahyu yang menekankan amanah, keadilan dan akauntabiliti. Dalam konteks Malaysia, reformasi institusi politik perlu disertai dengan transformasi budaya dan pendidikan moral masyarakat.
Hanya melalui pendekatan holistik yang menggabungkan dimensi struktur dan nilai, aspirasi untuk membentuk Negara Rahmah yang adil, stabil dan sejahtera dapat direalisasikan secara mantap dan berkesan.
Dr Mohd Yusri Ibrahim
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Malaysia (ILMAN)




