SERI KEMBANGAN – Seramai enam anggota Misi Kemanusiaan Gempa Turkiye-Syria anjuran Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) telah berlepas dari KLIA ke Turkiye pada Ahad.
Misi sehingga 6 Mac ini yang julung kali diadakan memfokuskan penyampaian bantuan kemanusiaan di Adiyaman, Kahramanmaras, Nurdagi, Islahiye dan Antakya di Turkiye serta Azzaz, Afrin dan Jindairis di Syria.
Misi kemanusiaan ini diketuai Pengerusi MyCARE Dato’ Seri Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha dan dianggotai Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Hj Kamarul Zaman Shaharul Anwar, dua wakil Bernama Muhammad Muzammil Abdullah dan Fazlil Hakimi Dzulkifli, Nor Fadzeela Mohammad dan Nur Najihah Najlaa Aminariff.
Misi Kemanusiaan Gempa Turkiye-Syria disokong oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Yayasan Buruj, IKRAM MUSLEH dan Bernama.
Dalam fasa pertama bantuan, MyCARE mengagihkan bantuan bernilai RM200,000 kepada 676 keluarga, termasuk pek makanan, pemanas, roti dan makanan yang telah dimasak.
MyCARE juga menghulurkan sokongan kepada 430 keluarga (10,500) individu berjumlah RM145,000 dalam fasa kedua.
“Pakej bantuan terdiri daripada pek makanan, khemah, roti dan makanan dimasak bagi memastikan keperluan asas dipenuhi pada masa sukar ini,” menurut MyCARE dalam satu hantarannya.
MyCARE turut menghargai para penyumbang Tabung Kecemasan Gempa Turkiye-Syria.
“Keprihatinan anda di saat sukar mereka pastinya diberikan ganjaran sebaiknya.”
Untuk menyumbang ke Tabung Bantuan Gempa Turkiye MyCARE, sila salurkan melalui pautan https://mycare.qrd.by/turkiyeemergency.