SEPANG – Misi Kemanusiaan Afghanistan Kedua anjuran Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health Malaysia) dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) telah berlepas ke Kabul dari KLIA pada petang Sabtu.
Misi perubatan ini diketuai Yang Dipertua IKRAM Health yang juga Pakar Kecemasan PPUM, Dr Mohd Afiq Mohd Nor dan disertai Pakar Kecemasan Hospital UIAM Kuantan. Dr Mohd Nadzrul Shah Mohd Junit.
Selain mereka, misi tersebut turut disertai Pengurus Projek MyCARE, Ustaz Norsyazly Rameli dan wakil Global Peace Mission (GPM), Sdr Ahmad Hamizan selaku Sekretariat di Malaysian Humanitarian Centre Afghanistan.
Misi berangkat ke Afghanistan melalui Islamabad, Pakistan bermula 3 September hingga Ahad, 11 September depan.
Dalam pada itu, MyCARE dijangka menyerahkan sumbangan kira-kira RM40,000 (USD10,000) untuk membantu mangsa banjir Pakistan, yang akan diserahkan semasa berada di Islamabad.