Misi ini merupakan kerjasama antara dua agensi di bawah MyCARE iaitu i4SYRIA dan Rose2Rose (R2R) yang akan menghantar bantuan kemanusiaan secara terus bantuan rakyat Malaysia di beberapa kem dan kawasan pelarian Syria di sana.
Turut hadir dalam pelepasan misi adalah Pengerusi MyCARE, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, CEO MyCARE, Hj Ibrahim Mohamad, para aktivis i4SYRIA dan Rose2Rose serta ahli keluarga anggota misi.
Anggota misi yang bergerak dari Malaysia adalah seramai empat orang dan akan disertai oleh sebuah lagi kumpulan rakyat Malaysia di Jordan.
Krisis kemanusiaan di Syria hampir memasuki tempoh empat tahun telah mengorbankan sejumlah 220,000 orang termasuk 10,600 kanak-kanak (Data: UN Report). Krisis ini mengakibatkan kira-kira 4 juta pelarian Syria terpaksa berlindung dan menjadi pelarian di negara-negara berdekatan antaranya Jordan.
Sehingga Februari 2015, Pelarian Syria di Jordan berjumlah 700,000 dan kerajaan Jordan hanya menyediakan dua kem pelarian yang dikawal selia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan NGO antarabangsa yang berdaftar dengan PBB.
Pelarian Syria yang lain terpaksa tinggal di kampung-kampung berdekatan dan kebanyakan mereka hanya bergantung hidup daripada sumbangan orang awam.
Antara objektif Misi Gifts of Smiles ke Jordan ini adalah untuk menyampaikan bantuan kepada 200 keluarga di Kem Zaatari dan tiga buah markaz pelarian Syria dalam bentuk pek hygiene, permainan pembelajaran dan ubat-ubatan.
Misi akan melihat secara dekat kehidupan para wanita dan kanak-kanak di kem pelarian dan mengenal pasti bentuk bantuan susulan yang perlu diberikan di samping merekod maklumat dan data terkini berkenaan situasi sebenar pelarian Syria di Jordan untuk dikongsikan dengan rakyat Malaysia.
Anggota misi juga berusaha untuk mendapatkan kisah-kisah pelarian Syria untuk dibukukan untuk projek penulisan Rose2Rose dan meneroka peluang-peluang baru dan bentuk bantuan kepada pelarian Syria terutama golongan kanak-kanak dan wanita.
Anggota-anggota misi ialah En Khalil Khamis (Ketua Misi & Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE), Puan Mas Ahmah Jonid (Timbalan Pengerusi Rose2Rose), Puan Hazalina Ghazali (Bendahari Rose2Rose) dan Puan Raimi Sayuti (Eksekutif Penajaan MyCARE).
Semoga misi bantuan kemanusiaan ke sana selama enam hari yang bermula hari ini, Jumaat 27 Februari dan akan berakhir pada hari Rabu 4 Mac 2015 berjaya mencapai objektinya dan dipermudahkan segala urusannya, insya-Allah.
Sumber: