Malaysia masih berhadapan dengan isu kritikal dalam pengurusan sisa domestik, khususnya pembuangan minyak masak terpakai yang semakin menekan sistem saliran, mencemarkan sungai dan menjejaskan kelestarian ekosistem air.
Walaupun isu ini jarang menjadi tajuk utama perbincangan, data semasa menunjukkan bahawa pembuangan minyak masak terpakai secara tidak terkawal merupakan antara penyumbang utama kepada longkang tersumbat dan banjir kilat di bandar.
Menurut Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) D.R. 12 Tahun 2024, Malaysia merekodkan lebih 500 kejadian banjir kilat setiap tahun, termasuk 622 kes pada 2021 dan 581 kes pada 2022.
Selain faktor pertambahan kawasan berturap dan sistem saliran yang tidak efisien, sikap masyarakat yang masih membuang minyak masak terpakai ke dalam sinki dan longkang menjadi penyumbang yang besar.
Amaran Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada 2023 turut menegaskan bahawa minyak masak terpakai, bersama plastik dan sisa makanan, merupakan antara punca utama penyumbatan saliran.
Laporan The Star (2023) pula mengesahkan berlaku peningkatan kos pembersihan akibat lapisan minyak dan gris yang menebal di bandar-bandar utama seperti Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
Isu ini bukan sekadar persoalan kebersihan tetapi membawa implikasi kurang baik pada ekonomi, kesihatan dan keselamatan awam. Longkang yang tersumbat memerlukan operasi pembersihan besar-besaran yang menelan kos tinggi, sekali gus membebankan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.
Kajian tinjauan di beberapa kawasan
Sejak 2022 hingga 2025, kajian tinjauan telah dijalankan melibatkan 122 responden yang terdiri daripada murid sekolah menengah, guru, ibu tunggal dan kumpulan B40 di beberapa kawasan di Johor Bahru dan Pontian. Responden dipilih secara bersasar sebagai komuniti yang terlibat dalam program kesedaran alam sekitar.
Hasil kajian mendapati bahawa penggunaan minyak masak amat tinggi dalam kalangan komuniti iaitu:
- 72% menggunakan minyak masak setiap hari,
- 18% jarang-jarang menggunakan minyak masak,
- 9% menggunakan minyak masak seminggu sekali,
- dan hanya 1% tidak pernah menggunakan minyak masak di rumah.
Ini menunjukkan bahawa minyak masak merupakan bahan keperluan harian dan penggunaan yang tinggi bermaksud jumlah minyak masak terpakai turut meningkat setiap hari. Persoalannya, di manakah minyak masak terpakai ini berakhir?
Analisis menunjukkan 42.6% komuniti membuang minyak masak terpakai ke dalam tong sampah atau terus ke sinki dan longkang, manakala 57.4% mendakwa mengitar semula minyak masak terpakai.
Namun, sesi temu bual telah mendedahkan bahawa majoriti yang mendakwa mengitar semula minyak masak terpakai sebenarnya menggunakan minyak masak untuk menggoreng berulang kali sehingga habis, bukan menghantar dan mengumpulkan minyak masak tersebut kepada pihak berlesen.
Kekeliruan ini membuktikan bahawa tahap literasi alam sekitar masih rendah dan amat perlu diperbaiki segera.
Tiga langkah mudah menguruskan minyak masak terpakai
Walaupun masyarakat sedar bahawa membuang minyak masak terpakai ke sinki dan longkang adalah berbahaya, ramai yang masih tidak tahu kaedah pengurusan yang betul. Proses mengumpul dan menyimpan minyak masak terpakai sebenarnya sangat mudah dan ringkas serta boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.
Langkah 1: Biarkan minyak sejuk
Selepas menggoreng, biarkan minyak masak sejuk sepenuhnya. Tindakan ini dilakukan bagi mengelakkan kecederaan dan memudahkan proses penapisan kerana minyak yang sejuk lebih mudah dikendalikan.
Langkah 2: Tapis sisa makanan
Gunakan penapis bagi menyingkirkan sisa makanan. Minyak yang bebas sisa tidak cepat tengik dan kurang berkulat.
Langkah 3: Simpan dalam bekas lutsinar
Masukkan minyak masak terpakai ke dalam botol plastik atau bekas lut sinar yang bertutup. Kumpul dan simpan minyak sehingga mencukupi sebelum dihantar atau dijual kepada pihak berlesen. Minyak masak terpakai boleh diproses menjadi biodiesel, sabun, lilin dan krayon serta dapat menjana pendapatan sampingan.
Pendedahan langkah mudah ini penting untuk membina budaya pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab dalam masyarakat.
Minyak masak terpakai sebagai komoditi ekonomi hijau
Minyak masak terpakai kini diketahui menjadi bahan mentah bernilai tinggi dalam industri hijau. Banyak syarikat tempatan membeli minyak masak terpakai pada harga sehingga RM2.50 sekilogram untuk menghasilkan biodiesel dan produk lain.
Menurut Bernama (2022), Malaysia menghasilkan lebih 1.4 juta tan minyak masak setahun, namun hanya sekitar 10% berjaya dikitar semula.
Tambahan pula, laporan Bernama (2025) mengesahkan minyak masak terpakai kini menjadi komoditi penting dalam penghasilan Sustainable Aviation Fuel (SAF), sekali gus membuka peluang ekonomi baharu bertaraf global. Penemuan ini menunjukkan bahawa minyak masak terpakai bukan sahaja sisa dapur, tetapi boleh menjadi aset industri jika diuruskan dengan betul.
Langkah ke hadapan
Memandangkan isu minyak masak terpakai memberi kesan besar terhadap alam sekitar dan masyarakat, beberapa langkah strategik disarankan:
i) Soal selidik kesedaran dan pendidikan sistematik
Kerajaan tempatan, NGO dan institusi pendidikan perlu menjalankan soal selidik khusus bagi memahami tahap pengetahuan masyarakat tentang bahaya pembuangan minyak masak terpakai dan kebolehterimaan program kitar semula.
ii) Kerjasama pelbagai pihak sebagai pemangkin perubahan
Pihak berkuasa perlu memperluas pusat pengumpulan minyak masak terpakai dan menjalankan kempen kesedaran secara berterusan. Institusi pendidikan pula digalakkan mengintegrasikan literasi alam sekitar dalam kokurikulum. NGO dan komuniti memainkan peranan penting melalui program pengumpulan minyak masak terpakai dan bengkel inovatif kitar semula.
iii) Pendidikan alam sekitar sebagai asas kelestarian
Pendidikan boleh membantu perubahan tingkah laku. Masyarakat perlu memahami bahawa tindakan kecil seperti tidak membuang minyak masak terpakai ke sinki boleh memberi impak besar terhadap alam sekitar, kos pembersihan negara dan keselamatan bandar. Apabila masyarakat celik tentang sebab dan akibat, perubahan budaya lebih mudah berlaku.
Tindakan kolektif
Pencemaran akibat minyak masak terpakai adalah isu nasional yang memerlukan tindakan kolektif. Dengan gabungan pendidikan, kesedaran dan tindakan terancang, Malaysia mampu menuju masa depan yang lebih bersih, sihat dan lestari.
Pengurusan minyak masak terpakai bukan hanya tanggungjawab kerajaan tetapi bermula di rumah, di dapur dan di tangan setiap individu.
Dr. Noorzana Khamis
Pensyarah kanan
Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi UTM
Dr. Siti Zaiton Mohd Hashim
Unit Advokasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor




