Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Dr kerana sudi meluangkan waktu untuk sesi ini.
Alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Sama-sama.
Apa pandangan Dr mengenai perkembangan situasi Mesir kini, memandangkan Mubarak telah berkuasa sejak tahun 1981, secara realitinya, bagimanakah cara pemerintahannya hingga kebangkitan revolusi rakyat tercetus?
Secara ringkasnya kita dapat katakan (apa yang berlaku di) Mesir adalah ‘kebangkitan rakyat’. Rakyat yang telah ditindas atau berasa diri mereka telah ditindas oleh rejim diktator untuk tempoh yang lama, oleh Mubarak sendiri dalam tiga dekad, yang sebelumnya Presiden Sadat, Presiden Jamal Abd Nasir dan sejak 1992 oleh Revolusi Tentera Mesir. Jadi mereka yang berasa ditindas, bergerak dan bangkit melawan penindasan, mengangkat kezaliman pemerintahan Mesir yang menyebabkan malapetaka dalam kehidupan mereka seperti pembaziran, penyelewengan, rasuah hingga terjadilah kebangkitan rakyat. Mereka memerintah secara ‘dictatorship’.
Adakah rejim diktator lapuk ini akan mengalahkan usaha demokratik jujur pimpinan anak-anak muda yang bangkit melalui revolusi ini?
Kalau kita lihat melalui sejarah dunia, pemerintahan diktator ini akan beransur-ansur dan akhirnya kalah kepada kebangkitan rakyat, dan kita lihat kebangkitan ini adalah kebangkitan Rakyat Mesir secara keseluruhannya yang menghimpunkan semua komponen Rakyat Mesir, baik muda, tua, generasi terpelajar dan tidak terkecuali orang kampung. Mereka bersepakat untuk menggulingkan pemerintahan yang ada. Itulah tuntutan-tuntutan kepada pemerintahan dengan mengadakan pilihan raya untuk mewujudkan pemerintahan baru. Rejim yang lama diasak untuk berundur.
Adakah kerajaan pengganti yang bakal muncul akan bersikap populis untuk menangani krisis ekonomi dalaman yang makin meruncing, bila mana KDNK perkapita Mesir 2009 hanyalah USD2,270 (Malaysia adalah tiga kali ganda nilai ini)?
Sebenarnya, sekiranya kerajaan baru yang bakal memimpin berwibawa, berkebolehan dan didukung oleh kumpulan yang mempunyai kelayakan serta mendapat sokongan rakyat, mereka akan mampu membawa perubahan. Sebagaimana tamsilan yang dapat kita ambil (daripada) sejarah pemerintahan Umar Abd Aziz, dalam masa dua tahun sahaja, keadaan kembali kepada situasi normal dan kemuncak kemakmuran. Apa yang mustahaknya ialah langkah yang diambil perlu tepat untuk mewujudkan pembaharuan, akhirnya inisiatif perubahan itu datangnya daripada keinginan rakyat itu sendiri
Turut resah adalah para politikus Amerika, Israel dan yang sewaktu dengannya, yang sedar pentadbiran Mubarak yang selama ini duduk diam sebagai sekutu mereka mungkin diguling dan diganti pentadbiran yang tidak semestinya ‘pro’ kepada dasar-dasar sedia ada. Adakah kerajaan-kerajaan yang berada di pelosok Asia Tenggara ini juga harus gementar akan ‘tsunami’ perubahan yang bakal mengunjung?
Tsunami revolusi itu secara automatik akan banyak meninggalkan kesan. Kuasa rakyat dapat meruntuhkan pemerintahan walaupun didukung oleh kuasa barat. Di mana-mana pun, bagi mereka yang bukan mengikut rentak aspirasi rakyat, ia pasti akan berasa gentar, takut perkara ini akan berlaku di tempat masing-masing.
Di Mesir, walaupun gerakan Muslim Brotherhood atau Ikhwanul Muslimin (IM) yang diharamkan kerajaan Mubarak dianggap cukup kuat secara politiknya untuk mengambil alih gerakan perubahan ini, namun mereka telah bersepakat dengan para pembangkang dan anak-anak muda yang telah menggerakkan massa untuk memilih Dr El-Baradei sebagai wakil mereka dalam perbincangan dengan kerajaan Mubarak. Ini langkah yang penting, kerana sudah pasti IM yang merupakan sebuah organisasi yang dicop pengganas oleh Amerika Syarikat dan Israel tidak akan mendapat simpati masyarakat antarabangsa – maka realiti politik semasa membuat IM mengalah demi keinginan bergerak ke hadapan. Adakah IM akan ‘mengkhianati’ gerakan perubahan ini nanti?
Kenyataan begini tidak tepat kerana IM sendiri mempunyai prinsip dan tidak akan mengetepikannya. IM bukan hendak mendapatkan kuasa melainkan IM ingin bertindak dengan mengadakan hubungan ‘partnership’ untuk mewujudkan pembaikan atau reform. Jadi, kalau (proses ini) boleh mewujudkan pemerintahan, apa yang berlaku adalah IM melihat dirinya sebagai ‘partner’ dalam kebangkitan rakyat ini, mereka bukan ‘lead’. Meraka adalah ‘partner’. Maka untuk menjadikan kebangkitan ini kebangkitan yang teratur, penuh displin adalah terpulanglah pada rakyat untuk memilih siapa yang akan memimpin. Dan IM sendiri memiliki pandangan bahawa Dr El-Baradei boleh (memimpin) untuk tahap ini bagi menangani situasi sementara ini melalui transisi, selain mewujudkan perubahan-perubahan perlembagaan yang akhirnya wujudlah satu pilihan raya yang bebas dan adil. Maka dari situlah penentuan akan dibuat rakyat untuk menaikkan siapa yang mampu memimpin mereka melalui kuasa rakyat.
Sebagaimana pandangan IM, adalah lebih baik mereka ikut serta dalam pemerintahan masa depan ataupun dalam mewujudkan kekuasaan kerana kerosakan dan kemusnahan yang ditinggalkan pemerintahan terdahulu iaitu sebelumnya begitu besar. Jadi adalah wajar pembaikan itu berlaku dengan usaha-usaha bersama, bersama kekuatan-kekuatan untuk membaik pulih keadaan itu. IM sendiri risau sekiranya mereka mengusai sedangkan kerosakan itu terlalu banyak, dalam tempoh yang tidak lama, rakyat akan dapat melihat mereka tidak mampu mengatasinya. Dan waktu itu, semua tangan akan menuding kepada IM. Tentunya meraka akan mengatakan, “Ikhwan pun tak boleh.”
Apakah impaknya kepada situasi Malaysia?
Kesan daripada kebangkitan rakyat Mesir ini ialah, kerajaan kita berasa terancam kerana kuasa rakyat membuktikan (ia adalah) mekanisme (untuk) mewujudkan perubahan. Jadi mereka berasa gusar juga mengenai situasi ini. Sesetengah negara mengambil langkah untuk melayan kehendak-kehendak rakyat seperti kenaikan gaji agar rakyat tidak mengamuk atau meningkatkan tentangan kepada kerajaan yang ada sekiranya mereka bersikap zalim. Namun kebanyakan langkah itu hanyalah taktik-taktik daripada pemerintah. Pemerintah yang tidak bertanggungjawab hanya menggunakan keadaan demikian sementara waktu bagi meredakan kemarahan rakyat atau memujuk rasa hati rakyat sahaja.
Kalau dilihat, kebangkitan rakyat Tunisia dan seterusnya Mesir bermula dari dunia maya iaitu Facebook, Tweeter. Di Malaysia juga, suara-suara rakyat banyak disalurkan di laman sosial berkenaan revolusi. Apa pandangan IKRAM sendiri dalam menangani situasi demikian sekiranya berlaku di Malaysia?
IKRAM mengambil pendekatan untuk mewujudkan perubahan melalui jalan damai, yang bermaksud melalui perbincangan di peringkat ‘grass root’ (akar umbi) untuk mewujudkan perubahan. Kita tidak nampak kemungkinan akan berlakunya (di sini) seperti di dunia Arab yang rakyatnya ditindas, (berlakunya amalan) rasuah, kerajaan tidak adil dan kemiskinan berleluasa, sedangkan rakyat alpa, tidak sedar, mabuk dan terpedaya dengan media massa. Sebenarnya mereka patut sedar, pemerintahan yang bagus itu akan menjadikan mereka jauh lebih besar daripada apa yang mereka peroleh sekarang ini.
Kalau kita lihat pendapatan perkapita Malaysia sekarang ini USD7000. Namun sebenarnya, menerusi pemerintahan yang saksama, mereka mampu memperoleh lebih daripada itu. Sebagaimana yang berlaku di Singapura, pendapatan perkapitanya USD36,000, sedangkan Singapura adalah negara kecil. Malaysia lebih besar daripada Singapura 478 kali ganda. Bagaimana negara yang kecil boleh mencapai perkapita lebih tinggi daripada Malaysia? Di sini kita dapat lihat ‘economy resources’ dikendalikan dengan baik. Sepatutnya pendapatan ekonomi kita berganda.
Bagaimana IKRAM memainkan peranan dalam situasi mahasiswa yang dihantar pulang ini?
Kita sedang menyusun langkah dan berbincang bagi memastikan pelajar-pelajar yang pulang ini akan ada ruang untuk mereka mengisi masa-masa lapang dengan berfaedah seperti kegiatan-kegiatan yang berkaitan pembelajaran mereka, berkaiatan dengan jati diri meraka. Jadi Ikram berhasrat akan menjamin penerusan akademik mereka dan akan memastikan kecemerlangan peribadi mereka. Justeru kita akan membuat program-program untuk mereka dalam pelbagai bentuk sama ada wacana ilmiah, mukhayam di samping membantu mereka untuk mempertingkat pemahaman dan pengetahuan mereka terhadap Islam, terhadap negara juga tidak ketinggalan terhadap situasi dunia. Insya-Allah, dalam pada itu kita merancang usaha-usaha untuk mereka melanjutkan pengajian, sama ada di Mesir atau di Malaysia. Maka mereka dapat meneruskan pelajaran mereka dengan sebaik mungkin.
Terima kasih banyak Dr atas wawancara yang sangat bermanfaat ini.