Merdeka ke-68: Giatkan Usaha Wanita Bangunkan Negara

Suasana di Dewan Hang Tuah, Melaka siang hari itu begitu mencekam. Tunku Abdul Rahman memohon untuk diadakan sebuah mesyuarat tergempar.

Dalam pertemuan itu, dengan nada berat, beliau meluahkan kesedihan kerana kekurangan dana untuk berangkat ke London untuk meneruskan rundingan kemerdekaan.

Dewan hening seketika. Namun, tiba-tiba seorang wanita bangkit memecah kesunyian. Dengan spontan, beliau menanggalkan gelang emas dari tangannya lalu menyerahkannya kepada Tunku Abdul Rahman.

“Ini hadiah ayah saya ketika perkahwinan dahulu. Tetapi hari ini, biarlah ia menjadi sumbangan kecil untuk perjuangan kemerdekaan negara.”

Sejurus selepas itu, puluhan hadirin lain lantas segera menghulurkan apa sahaja yang mereka ada. Emas perhiasan, wang ringgit, perhiasan, semuanya demi satu tujuan: kemerdekaan tanah air tercinta.

Wanita itu bernama Siti Rahmah Kasim. Seorang ikon wanita pejuang kemerdekaan negara. Kisah ini adalah bukti peranan wanita di Malaysia dalam sejarah perjuangan kemerdekaan dan membangunkan negara, telah bermula sejak puluhan tahun lamanya.

Peranan wanita Muslim membina negara 

Apabila kita meneliti sirah, kita turut mendapati jejak yang sama, tentang peranan wanita Muslim membangunkan negara dalam sejarah pemerintahan Islam berabad yang lalu.

Antaranya adalah Fatima al-Fihri yang dilahirkan di Maghribi pada abad kesembilan dalam keluarga berada. Setelah mewarisi harta ayahnya, seorang usahawan yang kaya-raya, beliau tidak memilih untuk hidup mewah.

Sebaliknya, beliau menggunakan hampir seluruh kekayaannya dalam sektor pendidikan agama dengan membina Masjid al-Qarawiyyin pada tahun 859, yang kemudian berkembang menjadi Universiti al-Qawariyyin, universiti tertua di dunia yang masih beroperasi hingga kini.

Begitu juga halnya dengan Zubaydah binti Ja‘far, cucu Khalifah al-Mansur dan isteri kepada Harun al-Rashid. Beliau merupakan wanita bangsawan Abbasiyah abad kesembilan yang berpengaruh besar dalam politik, ekonomi dan kebajikan serta terkenal dengan kecerdasan, kemahiran bersajak dan peribadi yang dermawan. Beliau memulakan sekali gus menaja sebuah projek mega, iaitu Laluan Zubaydah, atau Darb Zubaydah (Zubaydah Trail). Laluan ini adalah jalan utama sejauh 1,300 kilometer untuk jemaah haji dari Baghdad dan negara serantau menuju ke Makkah

Ia turut dilengkapi perigi, takungan air, tempat persinggahan dan batu penanda jalan untuk keselamatan jemaah. Legasinya menjadikan Zubaydah simbol kepimpinan wanita Islam yang menggunakan kecerdasan dan kekayaan demi membangunkan negara.

Melonjakkan peranan wanita membangunkan negara 

Hari ini, wanita di Malaysia meneruskan legasi perjuangan itu. Wanita kini memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor (pendidikan, kesihatan, perniagaan) termasuk posisi strategik dalam negara seperti ahli parlimen, menteri dan bahkan sebagai Ketua Hakim Negara. 

Walaupun beberapa sektor seperti penglibatan dalam parlimen dan DUN masih rendah, Jabatan Perangkaan (DOSM) melaporkan kadar penyertaan tenaga kerja wanita secara keseluruhan berada di tahap 56%.

Ia adalah satu angka yang baik, namun masih perlu dipertingkatkan. Malaysia menyasarkan kadar penyertaan kerja ini meningkat kepada 63% menjelang tahun 2030. Mengapa hal ini penting? 

Penyertaan wanita dalam sektor-sektor penting dapat memanfaatkan sumber daya manusia untuk negara dan meningkatkan kesejahteraan keluarga. Selain itu, ia memberikan kesempatan bagi wanita untuk menyumbang idea, bakat dan potensi serta meningkatkan keyakinan diri.

Tambahan pula, dalam Sidang ASEAN Women Economic Summit yang berlangsung baru-baru ini, Menteri Pelaburan dan Industri menyatakan kenaikan 1% sahaja penyertaan wanita mampu menyumbang sehingga USD2 bilion dalam pendapatan negara. 

Adil dan rahmah dalam memainkan setiap peranan

Wanita boleh menjadi menteri, hakim, ahli akademik atau usahawan, tetapi urusan keluarga tetap terletak di bahu wanita sebagai ibu dan isteri.

Lebih-lebih lagi dalam perspektif pendidikan anak, wanita adalah Ummul Madrasah (pendidik utama) di rumah bagi mencorak anak-anak dengan nilai dan akhlak mulia. Nasihat ini disampaikan oleh Imam Ibnu Hibban:

“Anak-anak dibentuk oleh tangan-tangan wanita; jika mereka baik, baiklah generasi seterusnya; jika mereka rosak, rosaklah masyarakat.”

Hakikatnya, tidak akan pernah ada keseimbangan antara keluarga, kerjaya dan masyarakat. Oleh sebab itu, kita perlu bersikap adil dan seimbang meletakkan prioriti bagi setiap peranan yang kita jalani (ibu, pekerja, isteri, sukarelawan, aktivis dan sebagainya) pada tempat dan masanya.

Selain itu, kita perlu melatih sikap asertif, memerhatikan kesihatan fizikal dan mental serta memperbaik komunikasi dengan suami, anak-anak, keluarga serta rakan-rakan di tempat kerja.

Langkah ini adalah antara kunci utama yang memungkinkan kita menjalani setiap peranan tanpa mengabaikan diri dan keluarga. Meskipun terasa berat, ayuh teruskan langkah menjalani peranan kita dengan itqan dan amanah kerana setiap amanah itu akan diminta pertanggungjawabannya di hadapan Allah SWT.

Mulakan dengan diri sendiri

Kisah Siti Rahmah Kasim, Fatimah dan Zubaydah adalah inspirasi bagi kita, para wanita hari ini. Namun, kita tidak perlu menunggu menjadi seperti Fatima al-Fihri yang kaya-raya atau Zubaydah yang menjadi keturunan diraja untuk mula membangunkan negara.

Cukup dengan memainkan setiap peranan yang kita jalankan dan memanfaatkan potensi diri kita sebaik mungkin. Apabila langkah ini diambil secara kolektif, nescaya usaha kecil kita akan menjadi gelombang besar dalam sebuah perjalanan membangunkan negara rahmah dan madani yang kita cintai. 

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-68.
Salam Merdeka.

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita

Pertubuhan IKRAM Malaysia

 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia