Menyambut Lebaran: Ujian Spiritual, Panduan Perubahan

lebaran

Ramadan adalah tetamu agung yang hadir membawa limpahan rahmah dan kebaikan. Namun, seperti setiap pertemuan, Ramadan juga mengajar kita satu hakikat kehidupan bahawa setiap yang datang pasti akan pergi.

Melepaskan Ramadan bukan sekadar perpisahan emosi, tetapi satu ujian spiritual, sejauh mana kita mampu mengekalkan nilai yang telah ditanam sepanjang sebulan ini.

Dalam kerangka Asas Islam Rahmah (AISAR), peralihan daripada Ramadan kepada Syawal bukan sekadar perubahan bulan, tetapi satu proses kesinambungan iman yang perlu dipandu oleh tiga teras utama iaitu sabar, syukur dan iman.

Pertama, kita diajar untuk melepaskan Ramadan dengan sabar. Sabar di sini bukan hanya menahan kesedihan, tetapi menerima hakikat bahawa peluang luar biasa seperti Ramadan tidak akan kekal selamanya.

Ia menguji keikhlasan kita, adakah kita mencintai Ramadan kerana suasananya, atau kerana Allah yang menghidupkan Ramadan itu? Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah: 153).

Ayat ini memberi isyarat bahawa sabar bukan hanya sikap pasif, tetapi satu kekuatan aktif yang menghubungkan kita dengan pertolongan Allah. Dalam AISAR, sabar adalah manifestasi rahmah terhadap diri sendiri, seterusnya memberi ruang kepada hati untuk menerima, memproses dan terus melangkah tanpa kehilangan arah.

Sabar juga bermaksud kita tidak membiarkan semangat Ramadan mati bersama berakhirnya bulan itu. Kita bersabar untuk terus istiqamah walaupun suasana tidak lagi sama. Kita bersabar untuk mengekalkan solat awal waktu walaupun tiada lagi tarawih berjemaah.

Kita bersabar untuk terus membaca al-Quran walaupun tiada lagi suasana tadarus yang meriah. Inilah sabar yang hidup, iaitu sabar yang membina, bukan sekadar menahan.

Peluang yang Allah SWT berikan

Kedua, kita menyambut Syawal dengan syukur. Syukur bukan hanya pada nikmat hari raya, tetapi pada peluang yang Allah SWT berikan untuk melalui Ramadan. Berapa ramai yang tidak sempat sampai ke penghujungnya, berapa ramai yang tidak diberi kekuatan untuk beribadah seperti kita?

Maka, Syawal adalah masa untuk meraikan nikmat itu dengan penuh kesedaran. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu.” (Surah Ibrahim: 7)

Dalam konteks AISAR, syukur bukan semata-mata ucapan, tetapi tindakan, bagaimana kita menggunakan nikmat tersebut untuk memberi manfaat kepada orang lain.

Syukur dalam Aidilfitri juga diterjemahkan melalui perkongsian kegembiraan. Zakat fitrah yang diwajibkan sebelum solat Aidilfitri adalah simbol bahawa kebahagiaan tidak boleh dinikmati secara individu. Ia mesti dikongsi.

Ini selari dengan prinsip rahmah dalam AISAR bahawa setiap nikmat yang kita miliki mempunyai hak orang lain di dalamnya. Maka, Syawal bukan semata-mata tentang kita bergembira, tetapi tentang memastikan orang lain juga dapat merasai kegembiraan itu.

Namun, syukur juga menuntut kesederhanaan. Dalam realiti masyarakat hari ini, Aidilfitri sering dikaitkan dengan pembaziran dan berlebihan, sedangkan Islam mengingatkan: 

“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan.” (Surah al-Isra’: 27)

Tidak melampau dalam kegembiraan

Dalam AISAR, rahmah juga bermaksud menjaga keseimbangan iaitu tidak melampau dalam kegembiraan sehingga melupakan nilai kesederhanaan yang diajar dalam Ramadan.

Ketiga, yang paling penting ialah iman, kerana iman adalah tali yang menghubungkan Ramadan dengan Syawal. Tanpa iman yang kukuh, segala amal dalam Ramadan berisiko menjadi episod sementara. Allah SWT berfirman:

“Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu keyakinan (kematian).” (Surah al-Hijr: 99)

Ayat ini menegaskan bahawa ibadah bukan bermusim, tetapi berterusan sepanjang hayat. Dalam AISAR, iman adalah asas kepada rahmah kerana hanya hati yang beriman mampu melahirkan kasih sayang yang tulus dan konsisten.

Iman selepas Ramadan diuji dengan lebih hebat. Jika dalam Ramadan kita mudah melakukan kebaikan kerana suasana yang menyokong, selepas Ramadan kita perlu melakukannya dalam suasana yang lebih mencabar.

Di sinilah nilai sebenar iman terserlah apabila kita tetap memilih kebaikan walaupun tiada siapa melihat, apabila kita tetap menjaga hubungan dengan Allah walaupun tiada dorongan luaran.

Kesinambungan ibadah 

Dalam konteks ini, Syawal bukan penamat, tetapi permulaan. Ia adalah medan untuk membuktikan bahawa kita benar-benar berubah. Rasulullah SAW sendiri mengajar umatnya untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal sebagai tanda kesinambungan ibadah selepas Ramadan. Ia menunjukkan bahawa Islam tidak mengajar “ibadah bermusim” tetapi “ibadah berterusan”. 

Dalam kerangka AISAR, gabungan sabar, syukur dan iman akan melahirkan manusia yang berrahmah, iaitu manusia yang bukan sahaja baik kepada dirinya, tetapi juga memberi manfaat kepada orang lain.

Ramadan telah melatih kita menjadi insan yang peka terhadap kesusahan orang lain, yang mudah memberi, yang menjaga lisan dan yang mengawal emosi. Maka, Syawal adalah masa untuk mengaplikasikan semua ini dalam kehidupan sebenar.

Membawanya sebagai panduan hidup

Akhirnya, kita perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah kita hanya melepaskan Ramadan sebagai kenangan, atau kita membawanya sebagai panduan hidup?

Jika Ramadan hanya tinggal dalam memori, maka kita telah kehilangan sesuatu yang besar. Namun, jika Ramadan terus hidup dalam amalan, akhlak dan cara kita berinteraksi dengan dunia, maka kita sebenarnya telah mencapai kemenangan yang sebenar. Firman Allah SWT: 

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.” (Surah al-Hujurat: 13)

Inilah matlamat akhir Ramadan iaitu melahirkan manusia bertakwa. Takwa itu bukan hanya pada ibadah, tetapi pada bagaimana kita menjadi rahmat kepada sekeliling.

Maka, lepaskanlah Ramadan dengan sabar, sambutlah Syawal dengan syukur dan teruskanlah kehidupan dengan iman.

Semoga kita bukan hanya hamba yang beribadah pada bulan Ramadan, tetapi hamba yang hidup dengan nilai Ramadan sepanjang hayat, menjadi insan bertakwa yang membawa rahmah ke mana sahaja kita pergi.

Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia