Forum anjuran Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dengan kerjasama Gabungan Selamatkan Syria (GSS) ini telah diadakan pada Rabu 17 Oktober yang lalu di Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall ( KLSCAH ), dipengerusikan oleh Exco GBM, Jayanath Appudurai.
Sebelum bermula forum, Hj Zaid Kamaruddin (gambar kanan), Timbalan Pengerusi GBM menyampaikan ucapan pembukaannya dan menyatakan bahawa GBM adalah platform bagi rakyat Malaysia daripada pelbagai agama dan kaum untuk sama-sama bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai isu untuk saling faham memahami bagi membina negara Malaysia.
Dalam forum tersebut, Dr Hafidzi telah menghuraikan sejarah Syam di mana penjajah British telah memecahkan wilayah Syam kepada beberapa zon iaitu Jordan, Palestin, Lubnan dan Syria. Beliau turut berkongsi keadaan Syria semenjak berpuluh tahun yang lalu termasuk kisah pengeboman oleh rejim Hafez Asad di Homs pada tahun 1982 yang membunuh lebih 40,000 orang rakyatnya, pada tahun yang sama peristiwa pembunuhan beramai-ramai pelarian Palestin di Shabra dan Shatila, Lubnan.
Kekejaman Hafez Asad diteruskan anaknya, Basyar Asad. Pada tahun 2011, kesan daripada Arab Spring di Tunisia, Libya dan Mesir, maka berlakulah kebangkitan rakyat di Syria. Konflik di Syria lebih parah apabila ia melibatkan bantuan daripada Iran yang lebih dikenali sebagai kerajaan Syiah.
Saudara Naim Jusri pula berkongsi tentang pengalaman beliau ke sempadan Syria melalui Turki. Ketika siang, para pelarian akan menginap di khemah dan ketika malam, mereka tidur di bawah pokok zaitun tanpa khemah. Kini, suhu semakin sejuk di sempadan Syria. Kemungkinan ramai yang akan terpaksa bertarung dengan kesejukan menjelang musim sejuk pada penghujung November nanti.
Gambar dari kiri: Dr Hafidzi, Naim dan K. Arumugam
K. Arumugam pula banyak menyentuh pelanggaran hak asasi oleh kerajaan Basyar dan bagaimana kerajaannya bertindak balas terhadap kebangkitan rakyat. Beliau juga tidak faham mengapa Russia dan China menentang kebangkitan rakyat dan menyebelahi Basyar. Beliau juga bertegas, kepimpinan kerajaan dan juga Parlimen Malaysia perlu buat satu kenyataan segera berkenaan isu Syria ini. Beliau menyatakan keperluan untuk ‘engage’ dengan Menteri Luar untuk suarakan isu ini dan dalam masa yang sama, perlu diterangkan dan dijelaskan isu sebenar berkenaan Syria.
Rakyat Syria di Malaysia, Dr Muhammad Qutb yang baru berada di Malaysia dapat merasakan, mengapa rakyat Malaysia tidak begitu respon dengan bersungguh-sungguh menentang kezaliman ini dek kerana jarak yang jauh dari Syria. Belia juga sangat terkejut dengan sikap media di sini yang banyak melaporkan berita yang tidak tepat mengenai Syria.
Satu perkara yang merunsingkan rakyat Syria yang berada di luar negara ialah, mereka menjadi serba salah. Mereka mahu membantu kebangkitan rakyat di Syria tetapi Special Branch (SB) Syria telah mengugut, jika ada rakyat Syria di luar negara yang membantu, Basyar akan membunuh keluarga mereka yang berada di Syria.
Tekanan yang beliau sarankan ialah bukan sahaja memberi tekanan kepada Russia dan China supaya tidak membela Basyar Asad, tetapi tekanan yang perlu ialah memastikan rakyat Syria terus bangkit menentang kezaliman Basyar.