Dalam sidang DPN tersebut katanya, IKRAM perlu memperluas capaian dakwah, membina rangkaian-rangkaian perhubungan raya dengan masyarakat dan umat, menerokai bidang-bidang baru yang akan membawa pulangan dana, pengalaman dan kepakaran.
Di samping itu, inisiatif-inisiatif perlu digerakkan bagi melahirkan ribuan kader-kader baru, barisan-barisan pelapis, barisan-barisan kepimpinan yang akan memperkuatkan usaha-usaha memperkasa IKRAM sebagai organisasi massa yang benar-benar berupaya menggerakkan perubahan, menjayakan penguasaan Islam dalam negara dan memimpin kehidupan rakyat.
Dr Parid turut menyorot perkembangan Islam di peringkat antarabangsa dan perjuangan rakyat Palestin dan Syria. Beliau juga merumuskan langkah-langkah utama yang perlu dimainkan oleh IKRAM bagi menjayakan strategi bagi melonjakkan IKRAM bagi empat tahun mendatang dan memperhebat dan meluaskan capaian aktiviti-aktiviti IKRAM iaitu aktiviti-aktiviti dakwah, tarbiah, tanzim dan jihad maidani..
Rumusan pertama
- Memperhebat pembangunan kekuatan IKRAM secara kuantiti dan kualiti ahli, infrastruktur, jaringan dan keupayaan dananya
- Memperluas pengaruh dan capaian kitaran amal ahli-ahlinya
- Pengukuhan tanzimi IKRAM juga dapat dilakukan menerusi pembudayaan amal mu’assasi dan urustadbir yang baik
Rumusan kedua – Pelaksanaan lompatan-lompatan strategik untuk mempercepatkan perubahan dan penjanaan kejayaan perjuangan melalui:
- Pemerkasaan kewibawaan barisan kepimpinan IKRAM disemua peringkat, pusat, negeri dan daerah
- Memperbanyak saf-saf pelopor, kader-kader dakwah, pejuang-pejuang dimedan-medan amal
- Mendidik massa, membimbing rakyat
- Membangun Image dan kewibawaan IKRAM
- Memperkasa engagement yang membina dengan masyarakat
- Pemanfaatan hubungan antara bangsa
Rumusan ketiga – Menggerakkan berbagai-bagai inisiatif teras seperti:
- Membangun kesedaran umum masyarakat dan ummah di Malaysia yang akan menjadikan mereka celik Islam dan celik isu-isu semasa serta mendokong agenda IKRAM ke arah pemulihan ummah, pembangunan masyarakat dan pembaikan pengurusan negara.
- Mempergiat usaha-usaha dakwah non-muslim, memperkenalkan Islam yang sebenar dan menyeluruh kepada mereka.
- Menggerakkan agenda politik, ekonomi, sosial bentuk baru dalam kehidupan ummah dan masyarakat Malaysia. Sistem-sistem baru dan budaya-budaya baru yang lain dari sistem-sistem dan budaya-budaya sedia ada.
- Memanfaatkan teknologi media massa sepenuhnya bagi memperluas usaha-usaha dakwah dan pendidikan Ummah dan masyarakat, menyebar luas pandangan-pandangan Islam serta pendirian-pendirian syariah berhadapan dengan semua Isu-isu kehidupan perorangan, bermasyarakat dan bernegara.
- Menyediakan dana yang cukup bagi menampung keperluan-keperluan perjuangan yang meningkat dan berkembang pesat.
- Penampilan ahli-ahli IKRAM yang ketara sebagai manusia-manusia contoh, role-model yang membayangkan susuk IKRAM sendiri, sebagai sebaik- baik umat, dengan kelainan-kelainan dan keistimewaan-keistimewaan yang jelas, akhlak yang mulia, sebagai anggota masyarakat yang bertamadun, berperadaban, menyantuni manusia dan alam.
Rumusan keempat – Menggerakkan langkah-langkah membina persiapan dan kekuatan-kekuatan, lompatan-lompatan strategik dan inisiatif-inisiatif teras secara besar-besaran bagi mencapai matlamat IKRAM: “Memimpin Ummah dan Masyarakat “ sebelum melangkah lebih jauh merealisasikan visi 2020.
Menurut beliau, bagi mencapai hasrat murni tersebut, IKRAM perlu diperkasakan, diperkukuhkan dengan anasir-anasir berikut:
- Kekuatan organisasi
- Bilangan ahlinya yang ramai
- Kewibawaan tokoh-tokohnya
- Keupayaannya menggerak sokongan, kepedulian dan khidmat masyarakat
- Penampilan dan pendekatannya yang berprinsip, adil, aman, membina dan menyatukan
- Rekod prestasi yang cemerlang.
Tambahnya, menerusi usaha-usaha yang tersebut di atas, IKRAM dapat diangkat menjadi sebuah wahana perjuangan umat yang cukup gagah, berwibawa, memiliki keupayaan-keupayaan, ketrampilan-ketrampilan untuk memungkinkannya memimpin masyarakat dan umat.
“Matlamat ini hanya akan tercapai menerusi kerja-kerja keras, keazaman yang tidak mengenal putus asa, semangat juang yang tinggi, ketekunan, munajat yang berterusan. Menerusi amal jamai’, amal yang berdisiplin, teratur serta fokus,” ujarnya.
Tegasnya, masing-masing anggota dan ahli IKRAM dan setiap KRA yang dilaksanakan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain serta berkembang secara relatifnya berimbangan, terutamanya yang menggabungkan tenaga semua generasi penggerak, tua dan muda, menjejaki langkah-langkah Ar-Rasul, Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam membangun sejarah baru umat, manusia dan dunia.