Majoriti kita mengetahui bahawa al-Quran mampu menenangkan jiwa, namun adakah anda tahu bahawa al-Quran berupaya mengubah keadaan tubuh secara fizikal, iaitu dengan cara yang boleh diukur dan dibuktikan?
Terdapat satu kajian yang melibatkan seratus orang pesakit kritikal mengalami perubahan yang ketara hasil daripada bacaan al-Quran. Hasil penemuan ini mendedahkan sesuatu yang mengagumkan tentang kuasa penyembuhan al-Quran.
Jauh sebelum mana-mana kajian saintifik, Allah SWT telah menjelaskan tentang mukjizat al-Quran iaitu:
- Ketenangan hati
Melalui surah al-Ra’d, ayat 28, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”
Ayat ini menjelaskan bahawa apabila kita mendengar bacaan al-Quran, hati kita menjadi tenang dan tenteram. Ketenangan ini memberi kesan kepada sistem saraf dengan turunnya tahap tekanan dan kebimbangan.
- Penawar kepada penyakit
Dijelaskan dalam surah Yunus, ayat 57 yang bermaksud:
“Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pengajaran daripada Tuhanmu, penawar bagi penyakit yang ada dalam dada kamu, petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
Melalui ayat ini, dijelaskan bahawa al-Quran ialah penawar bagi penyakit dalam dada termasuk keresahan, ketakutan dan kesan fizikal akibat daripada tekanan emosi.
- Al-Quran sebagai penyembuh
Allah SWT berfirman melalui surah al-Isra’, ayat 82 yang bermaksud:
“Dan Kami turunkan daripada al-Quran menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya…”
Perkataan syifā’ (penawar) dimaksudkan sebagai ubat untuk mereka yang menghadapi situasi yang melibatkan mental, fizikal dan jiwa.
- Allah sebagai penyembuh
Dalam surah asy-Syu’arā’, ayat 80, Nabi Ibrahim menjelaskan kepada kita melalui firman Allah yang bermaksud:
“Dan apabila aku sakit, Dialah (Allah) yang menyembuhkan aku.”
Ayat ini menjelaskan bahawa segala penyakit yang dihadapi oleh manusia, kuasa penyembuhannya ialah Allah. Manusia berusaha mencari ubat dan rawatan terbaik bagi menyembuhkan penyakit, namun perlu meletakkan doa dan keyakinan bahawa kuasa penyembuh itu adalah Allah.
Nabi Muhammad SAW turut mengajarkan tentang kekuatan penyembuhan daripada al-Quran. Hal ini diceritakan dalam hadis baginda bahawa sahabat menggunakan surah al-Fatihah untuk merawat seseorang yang terkena sengatan binatang berbisa dan orang itu sembuh. (Riwayat al-Bukhari, no. 5736 dan Muslim, no. 2201)
Bukti kajian saintifik
Al-Quran yang diturunkan selama 1,400 tahun lalu kini terbukti melalui kajian saintifik. Terdapat satu kajian (Siti Awa, 2024) yang melibatkan seratus orang pesakit Muslim yang dalam keadaan kritikal.
Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan yang didengarkan bacaan al-Quran selama 20 minit sehari, manakala satu kumpulan lagi tidak didengarkan alunan bacaan al-Quran dan menerima rawatan mengikut standard biasa.
Keputusan daripada kajian ini sangat mengagumkan. Pesakit yang mendengar bacaan al-Quran menunjukkan perubahan fisiologi yang ketara iaitu; kadar degupan jantung (HR) menurun, tekanan darah sistolik (SBP) dan diastolik (DBP) berkurangan, purata tekanan arteri (MAP) menjadi lebih stabil, tahap glukosa darah (BG) menurun, paras kortisol serum (SC) dan hormon tekanan menunjukkan perubahan semakin berkurangan.
Perubahan ini menunjukkan anggota berada dalam keadaan tenang dan tenteram. Keadaan ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Ra’d ayat 28 seperti yang dijelaskan di atas.
Selain itu, perubahan psikologi turut berlaku pada pesakit iaitu tahap kebimbangan berkurangan, pesakit berasa lebih selesa serta kesakitan yang dialami turut berkurang.
Semua perubahan ini telah diukur secara saintifik mengikut prosedur standard yang ditetapkan. Kajian ini membuktikan kebenaran bahawa al-Quran itu merupakan kalam Allah yang diturunkan kepada umatnya bukan sekadar sebagai panduan, namun lebih daripada itu.
Faktor keberkesanan al-Quran
Bagaimana al-Quran ini berkesan sebagai kaedah rawatan? Pertama, dari segi audio iaitu bacaan al-Quran secara tartil dan berirama menenangkan sistem saraf yang membantu mengawal pernafasan dan mampu mewujudkan keharmonian dalam tubuh.
Kedua, dari segi spiritual, iaitu apabila mendengar kalimah dan ayat-ayat suci ini, jiwa dan perasaan akan bangkit lebih dekat dengan Allah dan memberi ketenangan kepada rohani.
Ketiga, dari segi iman, apabila seseorang meyakini bahawa al-Quran membawa berkat dan kesembuhan, mereka yakin kepada janji Allah. Keyakinan inilah yang membawa kepada kesan terapeutik yang nyata.
Melalui bacaan al-Quran juga, daripada kajian ini, kita fahami terdapat satu proses yang indah iaitu: Mendengar al-Quran → Zikrullah → Ketenangan hati → Keseimbangan sistem saraf → Menurunkan tekanan. Inilah janji Allah yang menjelaskan bahawa “Al-Quran ialah penawar bagi penyakit dalam dada, sebagai penyembuh dari dalam, dari jiwa hingga jasad.”
Kajian ini mengukuhkan dan memberi impak kepada individu, keluarga dan masyarakat melalui lima aspek iaitu; Akidah (keyakinan kepada kuasa penyembuhan Allah), Ibadah (amalan al-Quran sebagai ibadah harian), Syariah (kaedah rawatan Islam yang sahih), Akhlak (sikap prihatin terhadap orang sakit) dan Rahmah (pendekatan rawatan penuh kasih sayang).
Apa mesej dan pengajaran kajian ini kepada kita?
- Pertama, membuktikan kebenaran al-Quran sebagai kitab yang datang daripada kalam Allah. Apa yang disampaikan daripada Allah bukan sekadar metafora, namun hakikat yang boleh dibuktikan.
- Kedua, mengingatkan tentang mukjizat al-Quran sebagai penawar yang boleh kita gunakan setiap hari sama ada ketika sihat mahupun sakit.
- Ketiga, menunjukkan sains dan agama tidak bercanggah. Sains membenarkan serta membuktikan hikmah di sebalik kalam Allah.
- Keempat, memberi harapan walaupun dalam keadaan paling mencabar, al-Quran mampu memberi ketenangan dan kesembuhan.
Apa yang boleh kita lakukan?
- Jadikan kebiasaan dengan meluangkan masa selama 20 minit sehari untuk mendengar bacaan al-Quran dengan memilih waktu dan surah yang sesuai dengan anda.
- Dengarkan alunan bacaan al-Quran untuk ahli keluarga atau rakan yang sakit kerana cara ini adalah “percuma”, mudah serta mendapat pahala.
- Baca al-Quran sebagai terapi yang selamat, mudah dan terbukti berkesan.
- Apabila mendengar al-Quran dengan niat untuk mendapat kesembuhan, yakinlah dengan janji-Nya bahawa Allah tidak pernah memungkiri janji.
Al-Quran merupakan mukjizat yang bukan sahaja mendidik dan membimbing, malah menjadi penawar, rahmat dan petunjuk serta menyembuhkan penyakit.
Apabila seseorang diberi ujian dan cabaran, kembalilah kepada al-Quran kerana melaluinya kita mendapat ketenangan dan jawapan daripada ujian tersebut. Yakinilah bahawa dalam setiap bacaan al-Quran, ada kesembuhan sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.” (Surah asy-Syu’arā’ ayat 80)
Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia




