Kajian Jurnal Perpaduan edisi tahun 2017 menunjukkan sebanyak 666 orang responden rakyat Malaysia berlatarbelakangkan pelbagai etnik dan agama tanpa teragak-agak sepakat menjawab, “Saya akan mempertahankan negara dengan harta dan nyawa.”
Tentunya jawapan ini terbina rasa percaya antara satu sama lain dan rasa keterikatan hati hidup bersama yang menggambarkan masyarakat Malaysia saling memperakui dan mengiktiraf kewujudan masing-masing sebagai satu bangsa Malaysia.
Dalam kajian itu, masyarakat melahirkan empati apabila individu daripada kaum dan agama berlainan diuji dengan cabaran kehidupan dan menzahirkan rasa peduli, marah apabila dilayan dengan tidak wajar serta bersimpati terhadap mereka yang tidak berupaya.
Malah, masyarakat membangkitkan rasa tidak puas hati apabila isu melibatkan agama dan etnik dipolitikkan. Mereka menyedari kepelbagaian etnik dan agama adalah sumber kekayaan negara ini perlu diakui dan diiktiraf.
Kajian tersebut memperlihatkan sisi masyarakat Malaysia yang bukan sahaja penyayang dan mementingkan kedamaian, malah berani mempertaruhkan nyawa dan berkorban harta demi pertahankan kedaulatan negara. Masyarakat Malaysia akan bangun berdiri tegak pertahankan watan tanpa berbelah bagi.
Terbukti, ini yang dizahirkan melalui rasa gembira dan syukur oleh seluruh masyarakat Malaysia ketika tular di media sosial tentang seorang anak Melayu iaitu Rohana yang dijaga oleh ibu angkatnya yang berbangsa Cina, Chee Hoi Lan.
Dipelihara sejak berusia dua bulan dan kini berusia 22 tahun. Chee, 83, mengasuh dan membesarkan Rohana sebagai seorang Muslim walaupun beliau berbeza agama.
Kisah keluarga ini telah menyentuh hati ramai orang termasuk mendapat empati Perdana Menteri dan pelbagai agensi kerajaan sehingga Rohana dikurniakan status kewarganegaraan serta ditawarkan mengikuti pengajian Diploma Sains Komputer daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Hj Badlishah Sham Baharin berkongsi kajian oleh S. Rajaratnam School of International Studies (RSIS) bahawa terdapat dua ciri penting yang bertindak sebagai ‘pelekat’ yang menyatukan hati rakyat Malaysia.
Pertama ialah perkongsian identiti nasional rakyat Malaysia yang diistilahkan berasa ada keterikatan hati yang kuat dengan negara sehingga dikenali dengan identiti negaranya.
Keduanya, penerimaan kepelbagaian yang ditakrifkan sebagai menerima individu dengan nilai dan gaya hidup berlainan sebagai ahli masyarakat yang sama taraf kedudukannya.
Beliau berkata demikian semasa Bicara Bina Negara bertajuk ‘Hala Tuju Politik Malaysia: Perpaduan atau Perkauman?’ yang mana Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar bertindak sebagai moderator.
Keberkesanan Politik Negara
Dalam kajian yang sama dalam Jurnal Perpaduan yang diterbitkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, didapati masih wujud rasa ketidakadilan dalam pengagihan sumber material, kedudukan sosial yang diketepikan dan dipinggirkan serta berasa kehormatan tercalar di dalam komuniti kaum tertentu.
Kaum di luar bandar pula merasakan peluang mobiliti sosial mereka semakin menyempit. Ringkasnya, wujud persepsi adanya dimensi sosioekonomi dan politik yang meminggirkan kaum-kaum tertentu.
Jika suatu masa dahulu, British membelah masyarakat melalui dasar pecah dan perintah yang secara berstrategi membahagikan dan memisahkan kelompok bangsa tertentu dalam aspek demografi, politik, bahasa, pendidikan dan pergaulan agar wujud jurang antara masyarakat.
Jurang tersebut sengaja diwujudkan agar kesatuan tidak mudah berlaku untuk menentang kuasa penjajahan. Namun setelah empat generasi berlalu, negara sepatutnya telah mencapai kesepaduan yang utuh.
Persoalannya, adakah pentadbiran politik yang sekian lama telah menggantikan pemerintahan British tidak cukup kuat atau benar-benar serius untuk mengatasi anasir-anasir perpecahan yang wujud dalam masyarakat?
Kerajaan telah melakukan banyak usaha untuk menangani isu perpaduan selepas kemuncak konflik perkauman pada 13 Mei 1969 melalui Rukun Negara dan memperkenalkan beberapa dasar negara seperti Dasar Ekonomi Baru , Dasar Sosial Negara, Dasar Keselamatan Negara, Dasar Komuniti Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Malah yang terkini, Dasar Perpaduan Negara yang dikeluarkan pada tahun 2021 sebagai dasar payung yang menetapkan hala tuju kerajaan dalam mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional.
Pengenalan dasar ini sudah cukup cantik tersusun, namun melihat realiti situasi negara kini, boleh dinilai sejauh mana keberkesanan dasar-dasar yang ada telah mengakar dalam tadbir urus negara dan membumi dalam nilai kehidupan masyarakat.
Contoh mudah yang boleh dikaitkan ialah sejauh mana satu bangsa satu bahasa telah diangkat sebagai identiti nasional oleh rakyat di negara ini.
Felo Utama KITA Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong menyatakan bahawa bahasa ada kekuatan dan kemampuan untuk menyatupadukan rakyat sebagaimana Maharaja Shih Huang Ti menggunakan bahasa sebagai alat perpaduan melalui tulisan dan ejaan oleh rakyat China yang bertutur dalam pelbagai bahasa pada zaman pemerintahannya.
Penyumbang Politik Perkauman
Boleh direnungkan kembali sama ada jalur politik yang sedia ada sekarang membantu masyarakat membina perpaduan atau turut sama menyumbang melakar garis perkauman.
Isu etnik dan agama yang dipolitikkan cukup kuat untuk membakar api perkauman yang boleh mencabar kesepaduan sosial yang sudah terbina dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik dan agama di Malaysia.
Pendedahan kajian politik perkauman oleh Pengarah Pusat KOMAS, Jerald Joseph berkaitan Laporan Diskriminasi Kaum di Malaysia yang dikeluarkan KOMAS pada tahun 2021 sewajarnya dipandang serius.
Menurutnya, terdapat kadar peratusan tertinggi yang menyumbang kepada insiden perkauman, diskriminasi kaum dan xenofobia adalah daripada jalur politik yang mencatatkan sebanyak 28 peratus diikuti oleh provokasi terhadap kaum dan agama sebanyak 23 peratus [2].
Beliau menjelaskan, sekiranya pementasan politik digunakan semata-mata untuk pementasan, ia tidak memberi kesan kepada golongan minoriti masyarakat awam. Sebaliknya apabila pentas politik memberi gangguan terhadap nikmat dan amalan taraf kesaksamaan, itu harus diberikan perhatian.
Agenda politik daripada mana-mana parti atau pemimpin tidak wajar memanipulasi perpaduan rakyat dan dibiarkan bermaharajalela tanpa tindakan untuk menyekatnya dengan tuntas dan berkesan.
Ia boleh dijadikan sebagai pengajaran supaya insiden sebegitu tidak diulangi atau diikuti oleh mana-mana pihak. Tidak sepatutnya sesiapa berani bertepuk tangan dengan ucapan dan laungan yang berbau perkauman.
Di sebalik laungan hak-hak yang tidak tertunai dan keadilan yang diperjuangkan, didapati ia mempunyai pengaruh yang kecil dalam perpaduan masyarakat kerana ia telah diatasi oleh rasa tanggungjawab yang tinggi oleh masyarakat Malaysia untuk mengekalkan keharmonian dalam negara.
Kenyataan ini turut selari dengan hasil kajian yang dijalankan oleh RSIS. Jelas ini menyerlahkan nilai murni dan ketinggian adab yang ditunjukkan oleh masyarakat Malaysia sehingga sanggup membenarkan ruang toleransi yang tinggi demi mencapai kesejahteraan yang lebih besar.
Sungguhpun sedemikian, pengorbanan perasaan dan kelembutan jiwa tidak sepatutnya diambil ringan, malah harus dihargai dan diuruskan dengan menyantuni isu ini dengan teliti dan mengambil langkah-langkah yang pragmatik.
Memecah Tembok Perkauman
Masyarakat bersama para pemimpin harus bersama-sama memainkan peranan dan mengambil partisipasi dalam menjayakan tiga aspirasi utama perpaduan negara iaitu membina rakyat yang menghayati perpaduan, membentuk identiti nasional dan memperkukuhkan ekosistem perpaduan [3].
Sepertimana yang digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara, kesepaduan sosial dan integrasi nasional menjadi prasyarat dalam merintis jalan puncak ke matlamat akhir, iaitu perpaduan.
Wujudnya kesepaduan sosial tidak bermakna tiada perbezaan dan konflik dalam masyarakat kerana hakikatnya, kepelbagaian dan perbezaan harus diterima dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Ia bukanlah masalah tetapi cabaran yang boleh diuruskan dengan membina persefahaman dan kepercayaan antara etnik melalui penganjuran dialog, forum, bual bicara dari peringkat akar umbi dalam komuniti hingga ke peringkat atasan.
Dialog budaya kehidupan berteraskan etnik dan agama dalam masyarakat harus disebarluaskan ke segenap peringkat agar tiada isu yang tertinggal dan tidak diselesaikan.
Kewujudan dialog-dialog sebegini dalam masyarakat dapat menyebarkan dan mampu menyeragamkan maklumat agar masyarakat berada dalam halaman kefahaman yang sama, lantas akan memperbetulkan persepsi negatif dan menghapuskan prejudis.
Aktivit integrasi sosial yang melibatkan komuniti turut sama memberikan ruang yang luas bersikap bertoleransi dan saling menerima antara satu sama lain.
“Yang penting kita cari ‘command ground’ (persamaan) yang kita boleh setuju bersama dan bekerjasama atas ‘common ground’ tersebut dalam arah bagaimana kita hendak menjadikan negara lebih membangun, harmoni, mencapai ekonomi yang lebih baik dan memberikan keselesaan kehidupan kepada rakyat,” ujar Badlishah Sham.
Di peringkat kepimpinan, kesepaduan sosial dapat disuburkan melalui tadbir urus negara yang efisien dan telus dan pembangunan negara perlu lebih terangkum dan adil iaitu dengan diberikan keutamaan dalam mengurus kemiskinan warisan dan perangkap mobiliti sosial yang berlaku dalam masyarakat luar bandar.
Usaha-usaha berterusan dengan penambahbaikan dari masa ke masa perlu dilaksanakan secara konsisten hingga setiap golongan dan lapisan rakyat kepelbagaian etnik dan agama di Malaysia terjaga kebajikan dan kesejahteraan hidup mereka.
Akhirnya, semua warganegara Malaysia inginkan sesuatu usaha yang benar-benar mampu membawa impak. Hakikatnya impian melihat Malaysia yang lebih baik merupakan suatu proses yang bertahap dan konsisten tanpa mengenal lelah.
Semua rakyat Malaysia tanpa pengecualian harus mengambil peranan dalam perubahan negara. Jangankan hendak merubah orang, hendak merubah diri sendiri pun susah.
Maka, usahlah terlalu mengharapkan perubahan negara jika kita sendiri tidak memainkan peranan dengan agresif untuk meruntuhkan tembok-tembok yang menghalang perpaduan dan kemajuan negara.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Strategik dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Rujukan:
[1] Jurnal Perpaduan 2017
[2] RSIS Report
[3] Dasar Perpaduan Negara