Pembentukan peribadi dan akhlak merupakan perancangan yang amat penting dalam kehidupan manusia.
Peribadi dan akhlak mestilah dibentuk daripada tahap awal kanak-kanak lagi agar ia boleh menghasilkan peribadi yang baik setelah memasuki alam dewasa.
Malah, perancangan oleh ibu bapa dan pendidik ini mestilah dilakukan sebaik yang mungkin agar seseorang itu boleh menonjolkan personaliti yang unggul kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Menurut Mohammad Zaini dalam artikelnya bertajuk “Pendidikan Remaja dalam Perspektif Psikologi Pendidikan,” remaja merupakan masa peralihan dari anak-anak menuju dewasa, yang selalu diiringi dengan pelbagai pematangan fizikal dan psikologi. Perubahan dramatik tersebut turut menyertakan perubahan yang signifikan terhadap pola fikir, sikap, perilaku dan mental spiritual.
Remaja pada masa kini hendaklah dibimbing dengan baik berhubung pembentukan peribadi, tingkah laku serta psikologi. Ibu bapa haruslah memainkan peranan dalam memberi tunjuk ajar serta memohon pandangan daripada pakar-pakar berhubung pembentukan peribadi remaja.
Malah, ibu bapa hendaklah menunjukkan contoh yang baik supaya dapat diikuti dan dicontohi oleh mereka. Para pendidik mestilah memberi bimbingan dengan menggunakan pendekatan yang terbaik serta sesuai dengan perkembangan diri para remaja.
Malah, tenaga pengajar di sekolah serta institusi pengajian tinggi mestilah mempunyai ilmu dan kepakaran dalam menangani masalah yang dihadapi oleh golongan remaja.
Pemilihan rakan sebaya adalah salah satu faktor yang boleh mempengaruhi pembentukan diri remaja.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Sairul Zamri Misran, salah seorang wartawan akhbar Kosmo!, fasa remaja itulah menjadi antara salah satu tempoh masa yang akan menentukan masa depan dan membentuk keperibadian seseorang.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan ( FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia ( UKM) Dr Roseliza Murni Ab Rahman, kemenjadian seseorang anak muda amat berkait rapat dengan siapa yang ada di sekeliling mereka.
Selain daripada aspek psikologi dan tingkah laku, aspek keagamaan dan kerohanian juga hendaklah ditekankan di peringkat awal kanak-kanak lagi.
Kanak-kanak hendaklah diajar berhubung dengan kewajipan dan amal ibadah yang diarahkan oleh Allah SWT.
Dalam pada itu, ibu bapa serta para pendidik hendaklah memastikan segala amal ibadah diperkemaskan dari semasa ke semasa.
Apabila mereka memasuki alam remaja, segala amal ibadah ini mestilah diteruskan secara konsisten dan istiqamah agar dapat membentuk akhlak dan peribadi yang mulia.
Usaha dan perancangan yang berguna ini akan melahirkan lapisan generasi yang boleh menjadi pemimpin serta menjadi contoh pada masa akan datang.
Malah, pelbagai pihak dalam kalangan umat Islam boleh merancang aktiviti-aktiviti serta program-program yang mendatangkan manfaat untuk semua.
Semoga usaha murni ini dapat membentuk sebuah Negara Rahmah pada masa akan datang.
Harriz Zainal Abidin adalah pensyarah (separuh masa) di Centre for Credited Co-Curricula (CCC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) (sepenuh masa) di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Kulliyyah of Education UIAM.