Video yang berjudul ‘Homeless man finds a lady’s wedding ring’, berdurasi 7 minit 32 saat itu sangat memberi kesan yang terbaik untuk dijadikan motivasi tentang sebuah integriti.
Ia diangkat daripada kisah nyata yang dialami oleh Sarah Darling yang berasal dari Kansas City, Missouri, Amerika Syarikat yang menzahirkan rasa kecewa dan sedih setelah menyedari cincin yang disayanginya hilang.
Sebelumnya, Sarah telah mengosongkan isi dompetnya dengan memberikan beberapa keping wang ke dalam cawan tadahan Billy Ray Harris yang duduk di kaki lima itu. Lelaki itu telah kehilangan tempat tinggal dan sering tinggal di bawah jambatan.
Diringkaskan kisah, boleh saja lelaki gelandangan tersebut menjual cincin itu ketika ditemui sewaktu mengira jumlah wang hasil mengemisnya, kerana ia sangat memerlukannya untuk meneruskan hidup.
Namun, situasi itu tidak berlaku walaupun setelah dirinya mengetahui nilai harga sebuah cincin itu sangat tinggi, sebaliknya dia berusaha mencari si empunya cincin yang mahal itu untuk dikembalikan semula.
Pertemuan itu berjaya hinggakan dirinya dihargai dengan diberikan penghargaan. Sarah Darling dan suaminya membuat pengumpulan dana dalam talian (online) untuk Billy. Derma dan pujian juga diberikan kepada Billy.
“Dalam hidup, apa yang terjadi akan berlaku. Billy – tindakan manismu walaupun dalam kesusahan dirimu sendiri, buktikan bahawa ada kerendahan hati di dunia… Kamu adalah salah satu contoh yang bersinar,” tulis Chris dan Mel dari England di laman web giveforward.com yang mengumpulkan wang derma itu.
“Saya berasal dari Singapura dan saya sangat berterima kasih atas kejujuran yang anda lakukan!” tulis Ophelia Wong Zen-na, yang memberikan USD10. Tahukah anda berapa nilaian yang terkumpul untuk seorang gelandangan itu? Ia bernilai USD190, 056 yang bersamaan RM767,283.
Begitulah sebuah kisah yang boleh kita ambil iktibar bagaimana seorang gelandangan mampu mengaplikasi nilai integriti yang ada pada dirinya. Bahkan sebenarnya banyak kisah realiti yang lain yang boleh kita jadikan panduan.
Betapa indahnya perkataan ini dengan beberapa huruf dan maknanya yang cukup besar jika diterapkan dalam kehidupan seharian. Dalam situasi yang lain, perkataan ini sebenarnya hampir pudar daripada ingatan yang penuh dengan pelbagai toksik kejahatan yang berlaku di negara kita ini.
Undang-undang yang tegas
Seperti rasuah yang kesnya sering berlaku, adakah kempen kesedaran yang dilakukan banyak pihak tidak cukup lagi untuk mereka tidak melakukannya? Banyak persoalan yang selalu difikirkan.
Sewajarnya, kita perlu meningkatkan kesedaran dalam bidang integriti dalam usaha memerangi rasuah tetapi kita juga memerlukan ketegasan dan undang-undang hukuman kepada mereka yang melakukannya.
Kita perlu menyingkirkan kaedah menjaga hati, rakan baik atau yang seumpama dengannya untuk menangani rasuah. Sesiapa yang melakukan rasuah tidak perlu ada rasa simpati apatah lagi belas kasihan terhadapnya.
Tetapi ia perlu diterjemahkan dengan kata-kata ke dalam tindakan dan meningkatkan kesedaran dengan melaksanakan hukuman yang termaktub dalam perundangan.
Bagaimana kita perlu membersihkan negara daripada segala jenis perbuatan yang melanggar integriti ini? Boleh jadi kerana kurangnya kecekapan pentadbiran sebahagian besar kakitangan kerajaan dan kurangnya rasa tanggungjawab mereka serta menunda isu yang sepatutnya diselesaikan segera, menyumbang kepada kerosakan dan hancurnya nilai integriti itu.
Pada awal bulan ini, sekali lagi kita didedahkan dengan isu integriti seorang yang dikenali namanya, yang mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan dengan perkembangan baharu berkaitan kes seorang Datuk yang dilaporkan menerima rasuah RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan pada tahun 2013.
Terpampang di media satu persatu isu berlaku dalam negara. Penangkapan individu tertentu oleh SPRM hinggalah mereka yang dikatakan ahli agama, tidak boleh dipandang remeh kerana ia berkait rapat isu integriti.
Kemunculan tamadun Islam sangat dibanggakan bermula zaman Rasulullah SAW, sahabat dan khalifah-khalifah selepasnya kerana ketinggian akhlak dan budi pekerti pemimpin dan rakyat.
Ini belum lagi disebutkan mengenai kes-kes yang berprofil tinggi negara yang dilakukan mereka yang ternama yang secara terang-terangan mengabaikan integriti ini.
Perkara ini tidak boleh terus didiamkan. Tindakan tegas perlu diteruskan tanpa berselindung siapa mereka yang melakukannya. Memang jika berbicara soal integriti, ia tidak lari daripada sesiapa, sama ada berjawatan tinggi mahupun orang biasa.
Kepentingan integriti turut dibangkitkan Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz dalam Siri Bicara Ummah yang bertajuk ‘Kepimpinan Soleh Berintegriti dari Aspek Pendidikan’ yang disiarkan secara langsung pada 16 Disember lalu.
“Betapa pentingnya integriti dalam kehidupan peribadi atau dalam kehidupan berorganisasi dan bernegara. Integriti bukanlah terhadap individu tertentu sahaja. Sebolehnya kita ingin melahirkan semua warganegara, hamba Allah SWT, rakyat mana-mana negara termasuk negara kita, semuanya berintegriti.”
Menurutnya lagi, ilmu dan kefahaman serta penghayatan dalam kehidupan seseorang perlu kepada integriti dan ia bukan satu kalimah yang boleh ucap dalam mana-mana pentas, program tetapi ia memerlukan penghayatan dan kefahaman yang sebenarnya.
Jelaslah perkara ini perlu dibentuk sedari kecil sebagaimana penulisan Dr Muhammad Faiz Na’aman bertajuk ‘Integriti Bermula Dari Sistem Pendidikan’.
Beliau menekankan bahawa nilai jati diri jika disematkan sedari kecil lagi dan secara konsisten sepanjang masa, lambat-laun ia boleh menghasilkan generasi yang punya rasa malu untuk gagal yang menebal, di samping berani menegakkan kebenaran dan bersifat amanah terhadap tanggungjawab yang diberi.
Berjalan jauh kerana sebatang pen
Terdapat satu kisah daripada al-Hasan bin Arafah dalam kitab Siyar A’lam an-Nubala’ karya Imam adz-Dzahabi yang menyatakan, suatu hari seorang ulama besar berkata padanya:
“Suatu hari aku meminjam sebatang pen daripada seseorang ketika aku berada di Syam. Kemudian saya terlupa untuk mengembalikannya. Ketika perjalananku sudah sampai ke Kota Merv, saya teringat bahawa pen yang dipinjam masih masih belum dipulangkan. Maka saya berjalan lagi ke Syam untuk mengembalikan kepada pemiliknya.”
Tahukah kita berapa jarak dari Kota Merv ke negara Syam? Dirujuk melalui peta, jarak antara dua wilayah tersebut sekitar 2,500 kilometer. Syam letaknya di wilayah utara jazirah Arab dan Merv letaknya di Asia Tengah iaitu di negara Turkmenistan. Bayangkan betapa jauhnya tempat itu.
Kisah ini menunjukkan bagaimana ulama yang terkenal ini, Abdullah bin Mubarak atau yang lebih dikenali sebagai Ibnu Mubarak memberikan teladan kepada kita semua mengenai sikap integriti dan amanah yang sangat luar biasa.
Ketika dirinya meminjam sesuatu, maka beliau mengembalikannya kepada pemiliknya walaupun terpaksa menempuh jarak yang sangat jauh. Realitinya, inilah adab yang hilang daripada masyarakat kita kini.
Al-Quran panduan integriti terbaik
Profesor Tan Sri Dr Abdullah Md Zin dalam artikelnya pada 2017 menyatakan beberapa kisah dalam al-Quran memaparkan panduan integriti terbaik.
“Seorang lelaki menolak pelawaan seorang perempuan jelita untuk berkhalwat semata-mata takutkan Allah. Itulah yang terjadi kepada Nabi Yusuf AS yang digoda isteri pembesar Mesir, dikisahkan dalam Surah Yusuf ayat 23-24.”
Manakala dalam surah al-Kahfi ayat 95, Zulqarnain menolak tawaran harta sebuah kaum untuk membina dinding pemisah menutup sudut di antara dua gunung supaya dapat menutup jalan keluar terakhir bagi Yakjuj dan Makjuj kerana sudah mencukupi harta dianugerahkan Allah SWT.
Rasulullah SAW adalah model terunggul kepemimpinan, memenuhi fitrah manusia melalui sifat amanah, siddiq (benar), tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana). Pemimpin Arab Quraisy memberi gelaran al-Amin kepada baginda berikutan ketinggian sifat integriti dan akauntabiliti memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat.
Profesor undang-undang Universiti King Abdulaziz, Jeddah, Dr Omar Al-Khudhi menjelaskan bahawa undang-undang yang melindungi warganegara daripada terjerumus kepada amalan rasuah (hilangnya nilai integriti), menghalang mereka daripada melakukan perkara tersebut.
Tetapi undang-undang sedia ada yang tidak tegas dan tidak membuatkan masyarakat takut dengannya, juga tetap tidak berkesan melainkan dengan melakukan pencegahan sedari awal diketahui perkara itu akan terjadi di samping operasi penguatkuasaan yang lebih efektif.
Selain mewujudkan pencegahan dan penguatkuasaan ini, ketakutan kepada ancaman dan larangan agama seharusnya berada di puncak utama yang menghalang seseorang daripada melakukan rasuah tersebut.
“What goes around, comes around…”
Rujukan:
https://www.giveforward.com/billyray
https://edition.cnn.com/2013/02/22/us/missouri-diamond-ring-returned/index.html
Kitab Siyar A’lam an-Nubala’, Imam Adz-Dzahabi [4042 (15/411)]