Antara larangan utama dalam hubungan sesama manusia menurut Islam ialah sikap dan amalan berburuk sangka, mengumpat, mencari kesalahan, mencela, mengadu domba, dan memfitnah.
Semua ini ditegah kerana ia bertentangan dengan roh Islam yang menyeru kepada kedamaian, keharmonian dan kasih sayang antara manusia.
Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan orang lain. Jangan juga mengumpat sesama kamu. Adakah seseorang antara kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentu kamu jijik terhadapnya! Maka bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat: 12)
Ar-Rasul SAW bersabda (maksudnya):
“Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)
Hari ini, fenomena buruk ini semakin berleluasa di media sosial. Ramai antara kita terjerumus sama ada sebagai pencetus atau sebagai penyambung rantaian mesej negatif yang dimulakan orang lain.
Media sosial menjadikan penyebaran luas berita dan bahan yang tidak benar, tidak lengkap atau bersifat sensasi amat mudah dan pantas. Ia mencetuskan salah faham, merosakkan kepercayaan, menimbulkan keraguan, malah membakar emosi marah dan kebencian dalam masyarakat.
Dalam keadaan begini, tidak mustahil syaitan sedang bergembira, kerana berjaya menyesatkan ramai orang beriman melalui hasutan halus yang bertopengkan “kebenaran”.
Saudaraku yang dikasihi,
Mari kita berazam untuk menjadi ejen perubahan kepada budaya yang merosakkan ini. Kita bersungguh-sungguh:
- Menahan diri daripada menulis atau menyebarkan sebarang perkara yang tidak sahih atau tidak diketahui kebenarannya, apatah lagi jika berpotensi memburukkan individu atau pihak tertentu.
- Menyemak kesahihan setiap maklumat yang diterima sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
- Berhati-hati daripada bersikap menghukum, kerana kebenaran sesuatu perkara sering memerlukan penelitian dan kefahaman konteks yang menyeluruh.
- Menjauhkan diri daripada memanjangkan bahan yang negatif – walaupun sekadar “forward”, “like” atau “share”.
- Menegur dan menasihati dengan hikmah pihak yang menghantar bahan-bahan negatif kepada kita, agar mereka juga terpelihara daripada dosa.
Bayangkan, jika kita benar-benar ingin menebus dosa menyebarkan bahan yang buruk atau tidak benar mengenai seseorang, kita perlu:
- Memohon maaf secara terbuka kepada pihak yang difitnah,
- Menarik balik semua bahan yang telah tersebar – kepada penerima langsung dan tidak langsung, dan
iii. Menyebarkan pula maklumat yang benar kepada semua yang telah menerima bahan tersebut.
Adakah itu sesuatu yang mudah?
Sebagai golongan yang terdidik, kita sewajarnya menjadi barisan hadapan dalam menyeru masyarakat agar kembali kepada akhlak bertakwa. Jika tidak, kita sendiri akan menjadi sebahagian daripada mangsa budaya jahat yang merosakkan ini, walau tanpa sedar.
“Berpesan kerana sayang”
“Mencegah sebelum parah”
“Membina sebelum rebah”
Jusni Yusoff
Timbalan Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia