Perkataan judi sememangnya merupakan unsur dalam aktiviti kewangan yang menjadi perhatian serius dalam kalangan masyarakat Muslim di Malaysia. Sejak kecil, pendidikan Islam masyarakat Muslim telah didedahkan dengan dosa berjudi dan kesan berjudi kepada masyarakat secara umumnya.
Walaupun begitu, sedar atau tidak, judi telah menyerap masuk dalam masyarakat moden melalui beberapa pendekatan dan permainan terutama dalam talian.
Lebih membahayakan lagi, laporan daripada media menunjukkan bahawa penangkapan individu yang terlibat dengan perjudian turut melibatkan remaja dan pelajar sekolah. Pada tahun 2023 sahaja, sejumlah pelajar dan remaja telah ditangkap kerana kesalahan bermain judi dalam talian di selatan tanah air.
Perjudian melibatkan pertaruhan antara dua pihak, iaitu sesuatu yang bernilai, sama ada dalam bentuk benda atau material, dipertaruhkan dan diberikan kepada pihak yang menang oleh pihak yang kalah.
Terdapat pelbagai bentuk judi yang telah diolah mengikut perkembangan terkini. Perjudian dalam talian telah merangkumi pelbagai aktiviti seperti pertaruhan sukan, permainan kasino seperti blackjack, permainan kad dan judi rolet.
Perspektif judi dalam agama
Agama-agama di dunia seperti agama Hindu, Buddha dan Kristian turut mengharamkan perbuatan judi. Pengharaman judi dalam Islam pula dinilai cukup tegas apabila Allah SWT menggariskan dalam surah al-Baqarah ayat 219 bahawa kedudukannya sama seperti arak apabila kedua-duanya mendapat dosa yang besar.
Menurut Quraish Shihab, kesan negatif daripada perbuatan berjudi ke atas aspek sosial dan moral adalah jauh lebih berat berbanding manfaat.
Abdullah bin Abbas meriwayatkan hadis yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atasku, atau diharamkan ke atasku arak, judi, al-kubah (sejenis permainan menggunakan papan, buah dan dadu dan juga dikenali sebagai tabal atau nard). (Riwayat Ahmad).
Judi dalam bahasa Arab disebut sebagai qimar atau maysir, iaitu aktiviti yang melibatkan pertaruhan antara dua pihak dan pihak yang menang akan mengambil kesemua harta pertaruhan, manakala pihak yang kalah akan kehilangan semua pertaruhannya.
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 27 Julai 2004 telah menyimpulkan bahawa judi adalah perilaku yang melibatkan kehilangan sesuatu yang berharga. Ia juga melibatkan interaksi sosial dengan adanya unsur kebebasan untuk memilih, sama ada akan mengambil risiko kehilangan tersebut atau sebaliknya.
Elemen-elemen perjudian
Asas perjudian dikenal pasti merangkumi tiga elemen utama iaitu:
- Balasan
- Hadiah
- Peluang
Konteks elemen-elemen tersebut diperincikan seperti berikut:
- Balasan merupakan satu bentuk bayaran atau harga yang diberikan seseorang untuk mendapatkan apa yang diharapkan.
Jumlah bayaran tidak menjadi perhatian dalam perjudian dan balasan diserahkan oleh pemain sebagai syarat untuk memasuki permainan perjudian. Balasan diperoleh sama ada dalam bentuk wang tunai, aset, harta atau barang-barang yang bernilai.
- Hadiah dalam konteks perjudian ialah sesuatu yang boleh dimenangi oleh pemain. Nilai hadiah adalah ukuran kewangan yang dapat dinilai berdasarkan harga pasaran.
Hadiah dalam perjudian tidak semestinya dalam bentuk nilai tunai langsung, tetapi boleh dalam bentuk peluang bermain semula secara percuma, ganjaran tambahan atau tawaran-tawaran istimewa yang lain.
- Peluang merujuk kepada unsur ketidakpastian atau ketidaktentuan dalam permainan tersebut. Hasil permainan tidak boleh dikawal sepenuhnya kerana bergantung kepada nasib atau kebarangkalian.
Justeru, peluang difahami sebagai satu keadaan yang tidak dapat dipastikan secara tepat iaitu keputusan akhir tidak boleh diramal secara mutlak berdasarkan pengetahuan, kemahiran atau usaha pemain semata-mata.
Elemen ini membezakan perjudian dengan transaksi biasa, kerana dalam transaksi biasa hasil lazimnya boleh dijangka dengan jelas berdasarkan keadaan, perjanjian atau syarat yang telah ditetapkan sejak awal lagi.
Kesan perjudian dalam ekosistem kehidupan
Syeikh Yusuf al-Qaradawi menyebutkan bahawa judi akan mendorong kepada kehancuran nilai-nilai kekeluargaan, merosakan individu kerana kehilangan harta benda dan keretakan hubungan sosial.
Dari sudut kewangan, kerugian yang besar akan menyebabkan kemiskinan dan ketidakstabilan kewangan.
Selain itu, dari sudut psikologi, judi diibaratkan seperti candu yang menyebabkan seseorang obses sehingga menatijahkan isu psikologi seperti tekanan perasaan, keresahan melampau, kemurungan dan perasaan bersalah. Tekanan kewangan turut membawa kepada tindakan mengambil pinjaman haram atau ceti haram.
Judi turut merosakkan keharmonian masyarakat kerana munculnya nilai ketidakjujuran, kehilangan kepercayaan seterusnya mendorong kepada pencurian, penipuan dan kekerasan.
Tambahan pula, aktiviti perjudian turut menyebabkan kerosakan ekonomi kerana produktiviti tidak terhasil disebabkan tidak fokus, kurang berdisiplin dan kerap mengalami tekanan emosi yang tinggi di tempat kerja.
Permasalahan yang timbul memberikan gambaran yang tidak baik kepada negara kerana modal insan yang berbakat telah terlibat dengan masalah sosial yang tinggi.
Kesannya, potensi-potensi yang seharusnya digembleng daripada modal insan tersebut telah hilang dan merugikan negara secara amnya.
Bentuk perjudian moden
Sepertimana yang digariskan dalam perbahasan awal, judi telah melibatkan kaedah dan bentuk permainan yang moden seiring dengan perkembangan internet dan kecanggihan teknologi. Selain itu, perjudian juga boleh wujud dalam transaksi kewangan jika proses dan aturan fiqh muamalat yang tidak tepat.
Antara bentuk perjudian moden adalah dalam bentuk pertandingan. Bagi pertandingan tanpa hadiah, ia merupakan aktiviti yang diharuskan. Namun, bagi pertandingan dengan hadiah terdapat perincian daripada fuqaha iaitu:
- a) Hadiah daripada yuran peserta akan dijadikan sebagai hadiah pemenang dan peserta yang kalah tidak mendapat apa-apa. Pertandingan ini merupakan judi yang diharamkan.
- b) Hadiah daripada tajaan pihak ketiga yang tidak terlibat dalam pertandingan. Kebanyakan fuqaha menyifatkan bentuk pertandingan ini adalah harus.
Selain itu, terdapat juga perjudian dalam aktiviti peraduan. Ia merujuk kepada perbuatan meletakkan sejumlah wang atau ganjaran lain untuk dijadikan rebutan antara dua pihak atau lebih yang mengakibatkan sebelah pihak sahaja yang untung, manakala pihak lain mengalami kerugian.
Menurut Ibn Qudamah, jika hadiah pertandingan datang daripada wang peserta sama dalam bentuk yuran dan selainnya, maka ia adalah haram kerana termasuk dalam perbuatan perjudian nasib (qimar).
Pengharaman insurans konvensional turut dikaitkan dengan wujudnya unsur judi. Menurut Syeikh Muhammad Abu Zuhrah, wujud unsur judi dalam kontrak insurans kerana terdapat unsur keterdedahan bahaya dan tidak seragam antara kerja dengan bahaya yang menimpa. Ia menunjukkan ketidakseimbangan dari sudut kerja dan risiko.
Majlis Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-80 yang bersidang pada 1 – 3 Februari 2008 menghukumkan insurans am tidak diharuskan dalam Islam kerana unsur judi yang wujud dalam kontrak insurans tersebut. Ia terjadi apabila:
- Peserta membayar premium yang kecil dengan mengharapkan wang yang lebih besar jumlahnya
- Peserta hilang wang premium apabila the insured event (peristiwa yang dilindungi) tidak berlaku
- Syarikat akan rugi jika terpaksa membayar tuntutan yang melebihi jumlah premium yang diterima.
Ancaman yang nyata
Secara keseluruhannya, perjudian atau maysir merupakan satu ancaman nyata yang telah meresap secara halus dalam kehidupan moden masyarakat Islam, khususnya dalam konteks transaksi kewangan kini.
Walaupun secara asasnya masyarakat Muslim didedahkan sejak awal dengan pengharaman judi dalam Islam, namun dalam realiti semasa, unsur-unsur perjudian telah menyusup masuk secara tersirat melalui pelbagai bentuk transaksi kewangan moden seperti permainan dalam talian, pertandingan berhadiah, peraduan komersial dan kontrak kewangan seperti insurans konvensional.
Ketiga-tiga elemen asas perjudian iaitu balasan (pertaruhan), hadiah (ganjaran) dan peluang (ketidakpastian) merupakan indikator penting yang perlu diperhatikan bagi menentukan sama ada sesuatu transaksi itu bersifat perjudian atau tidak.
Dalam urusan kewangan moden seperti insurans konvensional, forex trading, pertandingan yang mengenakan yuran dengan hadiah yang diperoleh daripada kutipan yuran peserta, serta peraduan komersial tertentu, unsur-unsur ini jelas menunjukkan ciri-ciri perjudian yang terlarang menurut perspektif syariah.
Tingkatkan kesedaran
Kesan negatif perjudian terhadap ekosistem kehidupan tidak dapat dinafikan. Ia bukan sahaja meruntuhkan moral individu tetapi turut memusnahkan kestabilan keluarga, merosakkan harmoni sosial dan melemahkan ekonomi masyarakat serta negara secara keseluruhannya.
Dari sudut syariah, jelas sekali judi adalah perkara yang ditegah secara keras oleh Allah SWT, sepertimana yang ditegaskan dalam surah al-Baqarah ayat 219, serta melalui hadis-hadis Nabi Muhammad SAW yang sahih.
Oleh itu, adalah amat penting bagi umat Islam, terutamanya di Malaysia, agar terus meningkatkan kesedaran dan kefahaman terhadap ancaman perjudian dalam transaksi kewangan moden.
Masyarakat perlu berwaspada dan mendapatkan nasihat daripada pakar-pakar fiqh muamalat serta institusi kewangan Islam sebelum melibatkan diri dalam sesuatu transaksi atau pelaburan.
Hal ini penting bagi memastikan kehidupan individu, keluarga, masyarakat serta ekonomi negara bebas daripada kesan buruk yang berpunca daripada amalan perjudian moden yang semakin kompleks dan sukar dikenal pasti tanpa ilmu dan kefahaman syariah yang jelas.
Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Koordinator MBA & MIBF
Arshad Ayub Graduate Business School, UiTM Shah Alam