PUTRAJAYA – “Ketahanan sesebuah rantau tidak bermula di meja rundingan antarabangsa, tetapi di ruang paling asas iaitu keluarga.”
Penegasan ini menjadi inti pati ucaptama Ketua Asia Pacific Family Forum (APFF), Ustazah Dr Aan Rohanah di Majlis Aspirasi Jamaie Akhawat IKRAM Nasional (MARJAN) 2026 pada Sabtu lalu.
Beliau menekankan bahawa kekuatan wanita sebagai pendidik, penjaga nilai dan ejen perubahan merupakan prasyarat kepada kestabilan sosial, ekonomi dan moral di rantau Asia Pasifik.

Dalam ucapannya bertajuk “Teras Kekuatan Keluarga dan Kemajuan Serantau”, Ustazah Dr Aan menggariskan peranan strategik wanita sebagai penjaga kehidupan, pembentuk peradaban dan rakan setara lelaki dalam memikul amanah sosial dan moral.
Menurut beliau, pemerkasaan wanita bukan slogan retorik, sebaliknya satu pelaburan jangka panjang yang menentukan kualiti generasi akan datang.
Beliau turut mengaitkan cabaran global seperti tekanan ekonomi, perubahan struktur keluarga, krisis kesihatan mental serta cabaran digital dengan keperluan mendesak untuk mengukuhkan institusi keluarga berteraskan nilai dan budaya tempatan.
Majlis ini menghimpunkan ahli wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dari seluruh negara dengan tema “Anggun Jiwa, Teguh Berperanan”, sebagai wadah refleksi, inspirasi dan pengukuhan peranan wanita dalam keluarga, masyarakat dan gerakan dakwah, anjuran Wanita IKRAM Malaysia.
Presiden IKRAM, Hj. Badlishah Sham Baharin, dalam ucapan perasmian menegaskan bahawa kekuatan gerakan dakwah dan pembinaan masyarakat tidak akan pincang sekiranya peranan lelaki dan wanita digerakkan secara seimbang.

“Dalam konteks amal jamai’e, kesatuan suara dan gerak kerja (wihdatul ‘amal) adalah kunci keberkatan. Kita perlu saling mengukuhkan, bukannya saling mempertikai antara satu sama lain.” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh, menegaskan bahawa MARJAN bukan sekadar sebuah perhimpunan, tetapi simbol kesinambungan peranan wanita merentas generasi. Menurut beliau, kekuatan Wanita IKRAM terletak pada keupayaan menggabungkan keanggunan jiwa, kebijaksanaan pengalaman dan semangat generasi muda.

“Kita mahu wanita yang terus menyumbang secara konsisten, membina keluarga, masyarakat dan jamaah dengan peranan yang jelas serta berkesan, bukan bersifat sementara atau bermusim,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan, antaranya daripada IKRAM Junior Selangor yang menampilkan sketsa bertajuk “Semut Kecil, Berjiwa Besar”.
Persembahan tersebut melibatkan lapan orang kanak-kanak berusia antara enam hingga 14 tahun daripada Sekolah Sri Al-Amin Bangi dan Tadika Khalifah Bestari, yang berjaya mencuri perhatian hampir 700 orang hadirin.
Kanak-kanak ini dilatih oleh Guru Besar Tadika Khalifah Bestari merangkap Setiausaha Wanita IKRAM Negeri Selangor, Roselinee Mohammad Radzi. Menurut beliau, sketsa santai tersebut bukan sekadar hiburan, malah membawa mesej simbolik yang dekat dengan identiti IKRAM Junior melalui pemilihan semut sebagai maskot.
“Walaupun kecil, semut memiliki kehidupan yang tersusun, bekerja secara berpasukan dan tidak pernah berhenti berusaha. Nilai-nilai inilah yang cuba kami semai melalui pendidikan dan tarbiah sejak usia awal,” jelasnya.
Tambah beliau, pendekatan ini bertujuan membentuk anak-anak sebagai insan yang bermanfaat kepada masyarakat dan persekitaran, selari dengan slogan IKRAM Junior, “Giat Bermanfaat, Generasi Hebat.”
MARJAN 2026 turut menampilkan dua sesi selari Kalamul Marjan yang membincangkan topik kepimpinan masa depan, keluarga sebagai ejen perubahan, keusahawanan sosial dan cabaran generasi digital.
Dengan penyertaan ratusan akhawat serta barisan penceramah berwibawa daripada pelbagai latar belakang, MARJAN 2026 mencerminkan komitmen berterusan IKRAM untuk memperkasa peranan wanita sebagai nadi ketahanan keluarga dan pemacu kelestarian masyarakat di peringkat nasional dan serantau.




