Mangsa Buli: Komunikasi Cegah Trauma, 6 Langkah Atasi

Buli di institusi pendidikan menjadi isu yang semakin meruncing serta membimbangkan. Tragedi demi tragedi yang meragut nyawa pelajar mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh sistem pendidikan dan keselamatan anak-anak kita.

Bagi penulis, setiap berita kematian akibat buli membangkitkan memori lama yang tidak pernah pudar daripada ingatan.

Senarai panjang mangsa buli yang telah meragut nyawa di Malaysia kian bertambah. Sebelum kes Zara Qairina yang sedang “meletup” sekarang, telah ada nama-nama seperti Zulfarhan, pelajar UPNM (2017), Mohammad Nazmie Aizzat, pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (Malaymail, 2024), pelajar yang diseterika dan didera di Pulau Pinang (2017), remaja 14 tahun yang dipukul enam pelajar senior di Johor sehingga paru-parunya hampir bocor (2020), tujuh pelajar Tingkatan Dua yang didera dalam kegelapan asrama di Seremban (2022) dan ramai lagi sama ada kisah mereka dilaporkan atau tidak.

Setiap nama ini mewakili impian yang terkubur, masa depan yang kabur dan keluarga yang terpaksa menanggung duka tiada penghujung. Malaysia merupakan negara ketiga paling tidak selamat di Asia akibat jenayah termasuk buli (Ahmad Azam Mohd Shariff et al., 2021), dan tersenarai kelima di dunia untuk buli siber (The Rakyat Post, 2024), dengan 6,208 kes buli sekolah pada 2024 (Sinar Harian, 2024) membuktikan masalah ini semakin kritikal.

Walaupun institusi prestij seperti MRSM mengambil tindakan tegas dengan membuang pelajar pembuli di Besut, Pulau Pinang dan Melaka (Utusan, 2025; Sinar Harian, 2025), namun statistik ini membuktikan budaya buli masih berleluasa dalam sistem pendidikan kita, dan yang paling menyayat hati, setiap kematian ini boleh dicegah seandainya ada komunikasi berkesan antara mangsa, ibu bapa dan pihak sekolah.

Trauma dijadikan kekuatan 

Berpuluh tahun telah berlalu, pengalaman penulis dibuli ketika di alam sekolah tidak mampu dihilangkan. Tindakan, perbuatan dan kata-kata pembuli masih segar dalam ingatan.

Setiap kali mendengar dan membaca kes buli, ia begitu mengimbau seolah-olah hati ditikam kembali. Inilah realiti yang mungkin tidak disedari ramai iaitu mangsa buli mengingat setiap detik trauma mereka, walaupun pelaku mungkin sudah lupa sepenuhnya.

Ketika kanak-kanak, penulis menyimpan sendiri perasaan kesakitan, takut, gementar dan tiada keyakinan untuk memberitahu ibu bapa kerana bimbang dipersalahkan. Timbul perasaan bimbang untuk mengadu pada guru kerana risau dipanggil “pengadu” dan “lembik”. Akibatnya, terpaksa menghadapi sendirian sehingga menjejaskan keyakinan diri.

Namun, hal ini bukanlah pengakhiran kepada satu kehidupan. Daripada kejadian pahit ini, penulis bangkit dengan azam untuk membuktikan bahawa trauma boleh dijadikan kekuatan. 

Langkah pertama yang perlu dilakukan sebagai mangsa buli ialah mengubah cara berfikir iaitu daripada melihat diri sebagai “mangsa” kepada “seseorang yang akan bangkit dan dihormati”.

Dengan mengambil kekuatan daripada pengalaman ini, kita dapat membuktikan kepada pelaku bahawa perbuatan mereka tidak akan melemahkan, malah menjadikan kita lebih kuat dan bermartabat.

Tindakan yang sewajarnya 

Apakah tindakan yang sewajarnya diambil oleh mangsa buli ini? Berkomunikasilah dengan ibu bapa sebaik sahaja kejadian itu berlaku dan ibu bapa pula setelah dimaklumkan oleh anak mereka perlu mendengar terlebih dahulu, berfikir dengan tenang, logik, mengambil perhatian daripada semua aspek sebelum tindakan seterusnya diambil untuk keselamatan dan kesejahteraan anak serta keluarga.

Komunikasi berkesan memerlukan keberanian daripada kedua-dua pihak. Mangsa buli (anak) perlu berani bercerita. Ibu bapa pula perlu bersedia mendengar. Sebarang kekangan atau prejudis daripada mana-mana pihak akan terus mewujudkan jurang yang menghalang komunikasi  ini.

Mengapa anak-anak enggan bercerita tentang kejadian buli yang baru mereka alami? Antara faktornya ialah rasa malu, takut disalahkan, bimbang situasi menjadi rumit, percaya boleh mengatasi masalah itu secara sendirian dan takut dianggap lemah. 

Manakala daripada perspektif ibu bapa pula, mereka menganggap konflik kanak-kanak sebagai perkara biasa dan perlu dilalui. Mereka tidak peka dengan tanda-tanda perubahan tingkah laku anak selain sibuk dengan urusan kerja, malah terdapat ibu bapa yang kurang atau tiada kemahiran untuk memulakan perbualan sensitif apabila melihat perubahan yang berlaku pada anak mereka.

Islam meletakkan tanggungjawab besar kepada ibu bapa sebagai penjaga amanah Allah. Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpin..” (Hadis riwayat Bukhari, no. hadis 844)

Tanggungjawab bersama 

Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh mengabaikan isyarat-isyarat tersirat yang ditunjukkan oleh anak. Perubahan tingkah laku, enggan ke sekolah atau prestasi akademik yang menurun mungkin merupakan antara petanda anak menghadapi masalah buli.

Apakah langkah yang sebaiknya diambil oleh ibu bapa bagi mengatasi situasi ini? Berikut merupakan antara cadangan yang boleh diambil:

  1. Wujudkan suasana selesa dan selamat – Pastikan anak tahu mereka boleh bercerita tanpa takut dimarahi.
  2. Perhatikan perubahan – Ambil cakna terhadap perubahan sikap, emosi, selera makan atau corak tidur anak.
  3. Tanya soalan dengan betul – Gantikan soalan “Macam mana sekolah hari ni?” dengan “Ceritakan satu benda yang tidak seronok dan satu benda tak elok yang berlaku pada hari ini.”
  4. Ambil tindakan segera – Jangan anggap aduan anak sebagai “drama lakonan” atau “hal kecil”.
  5. Terus hubungi pihak sekolah/guru – Bekerjasama dengan sekolah/guru untuk memantau situasi.
  6. Buat laporan polis – Tujuan laporan bukan untuk memalukan nama sekolah tetapi sebagai langkah perlindungan anak dan bukti kejadian telah berlaku.
  7. Bawa anak ke klinik/hospital jika perlu – Lakukan pemeriksaan jika terdapat kesan luka atau lebam yang mencurigakan sebagai langkah keselamatan dan bahan bukti yang sah.

Tindakan yang perlu diambil oleh anak atau mangsa buli pula ialah beritahu orang dewasa yang dipercayai, sama ada ibu bapa, guru atau saudara-mara. Jangan hadapi sendirian kerana buli bukan kesalahan mangsa.

Selain itu, mangsa perlu rekodkan kejadian seperti catatan ringkas peristiwa, tarikh, masa  dan saksi jika ada. Cari sokongan iaitu berkawan dengan rakan yang positif. Seterusnya, ubah mentaliti dengan tukar kepada “aku menjadi mangsa” kepada “aku akan menjadi manusia yang dihormati dan dihargai.”

Justeru, kita semua mempunyai tanggungjawab bagi memastikan setiap anak dapat belajar dalam persekitaran yang selamat dan penuh kasih sayang. Buli bukan tradisi yang boleh diterima, tetapi perbuatan zalim yang mesti dibanteras.

Komunikasi yang berkesan antara ibu bapa dan anak adalah benteng pertama dalam mencegah tragedi seperti ini berulang. Jangan tunggu sehingga nasi sudah menjadi bubur. Mulakan komunikasi yang efektif untuk mencegah buli.

“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain.” (At-Taubah: 71)

Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia