Manfaatkanlah Syaaban yang sering dilalaikan

1. Persiapan menyambut Ramadan

 

Persiapan paling utama adalah ilmu agama, pengetahuan berkaitan amal yang boleh dilakukan pada bulan Ramadan.

 

Sebahagian orang ada yang hanya tahu Ramadan adalah bulan puasa, yang dilakukan adalah menahan lapar dari terbit fajar Subuh sampai tenggelam matahari.

 

Selain puasa menyempurnakan rukun seperti yang dilaksanakan, ada juga amalan sunnah yang berhubung kait dengan puasa seperti mengakhirkan makan sahur dan menyegerakan berbuka puasa. Juga ada amalan solat tarawih, membaca al-Quran, sedekah dan lain-lainnya.

 

Jadi, dengan mempelajari ilmu berkaitan Ramadan sebelum tibanya bulan itu, mampu menjadikan kita orang yang mengetahui amalan apa yang boleh dilakukan lagi selain berpuasa.

 

2. Memperbanyak puasa sunat pada bulan Syaaban

 

Kata Aisyah radiallahuanha:

 

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لاَ يُفْطِرُ ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لاَ يَصُومُ . فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلاَّ رَمَضَانَ ، وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِى شَعْبَانَ

 

“Aku tidak pernah sama sekali melihat Rasulullah    berpuasa secara sempurna sebulan penuh selain pada bulan Ramadan. Aku pun tidak pernah melihat baginda berpuasa yang lebih banyak daripada berpuasa di bulan Syaaban.” (HR Bukhari [1969] dan Muslim [1156])

 

Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah dalam Lathaif al-Ma’arif mengatakan: “Antara rahsia kenapa Nabi ﷺ banyak berpuasa pada bulan Syaaban, kerana puasa Syaaban adalah ibarat ibadah rawatib (ibadah sunnah yang mengiringi ibadah wajib), sebagaimana solat rawatib adalah solat yang memiliki keutamaan kerana ia mengiringi solat wajib, sebelum atau sesudahnya.”

 

“Demikianlah diumpamakan puasa Syaaban itu, kerana puasa pada bulan itu sangat dekat dengan puasa Ramadan, maka puasa tersebut memiliki keutamaan. Dan puasa ini boleh menyempurnakan puasa wajib pada bulan Ramadan.”

 

Amalan puasa ini dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimana pun, inilah antara amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan pada bulan ini.

 

3. Membayar hutang puasa sebelum masuk bulan Ramadan

 

Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: 

كَانَ يَكُونُ عَلَىَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِىَ إِلاَّ فِى شَعْبَانَ

“Aku dahulu punya kewajipan puasa. Aku tidaklah mampu membayar hutang puasa tersebut kecuali pada bulan Syaaban.” (HR Bukhari, [1950] dan Muslim [1146])

 

4. Bertaubat dan Beristighfar

 

Taubat ialah pembersihan rohani kerana taubat itu menjadi tuntutan dalam agama supaya setiap individu yang sememangnya tidak maksum ini melakukan taubat pada setiap masa dan ketika. Daripada Ibn ‘Abbas, Rasulullah ﷺ bersabda:

 

“Sesiapa yang selalu memohon ampun (membanyakkan istighfar), nescaya Allah menjadikan untuknya setiap kesusahan itu ada kesenangan, setiap kesempitan ada jalan keluar dan ia diberi rezeki yang tidak disangka.” (HR Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah)

 

Perbanyakkan berdoa dan memohon ampun kepada Allah Subhanahuwataala selagi pintu keampunan itu masih terbuka.

 

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ ۖ وَإِن تَوَلَّوْا فَإِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ كَبِيرٍ

 

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya; supaya Ia memberi kamu kesenangan hidup yang baik hingga ke suatu masa yang tertentu, dan Ia akan memberi kepada setiap orang yang ada kelebihan akan kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari Kiamat yang besar.” (Surah Huud: Ayat 3)

 

5. Memperbanyak membaca al-Quran sejak bulan Syaaban

 

Salamah bin Kahiil berkata:

كَانَ يُقاَلُ شَهْرُ شَعْبَانَ شَهْرُ القُرَّاءِ

“Dahulu bulan Syaaban disebut pula dengan bulan para qurra’ (pembaca al-Quran).”

 

6. Perbanyakkan Selawat

 

Berselawat kepada Nabi Muhammad  ﷺ  adalah salah satu bukti kecintaan seseorang itu kepada Allah Subhanahuwataala dan Rasulullah ﷺ, selain mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

 

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

 

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya.” (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

 

Dipetik daripada buku al-Fawaaidul Mukhtaarah, diceritakan bahawa Ibnu Abiy as-Shoif al-Yamaniy berkata: “Sesungguhnya bulan Syaaban adalah bulan selawat kepada Nabi ﷺ, kerana ayat “Innallaaha wa malaaikatahuu yusholluuna ‘alan Nabiy…” diturunkan pada bulan itu.” (Ma Dza Fi Syaaban?)

 

7. Menjauhi amalan yang tidak ada tuntutan dalam Islam

 

Antara amalan-amalan yang tidak dituntut ialah seperti mengkhususkan bulan Syaaban untuk mengirim doa, mengkhususkan ibadah tertentu pada malam Nisfu Syaaban dan mengkhususkan ziarah kubur pada bulan Syaaban sebelum masuk Ramadan.

 

8. Memperkukuhkan silaturahim

 

Memperkukuhkan tali silaturahim dan mengeratkan hubungan sesama manusia amatlah penting kerana ia bersangkutan dengan hubungan manusia dengan Allah.

 

Hadis riwayat Aisyah radiallahuanha, ia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda:

 

“Rahim (tali persaudaraan) itu digantungkan pada arasy, ia berkata: Sesiapa yang menyambungkan (berbuat baik kepada saudara mara), maka Allah akan menyambungnya dan sesiapa yang memutuskan aku, maka Allah pun akan memutuskannya.” (HR Muslim | 4635)

 

Hadis riwayat Jubair bin Muth’im radiallahuanhu, daripada Rasulullah ﷺ bahawa baginda bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.” (HR Muslim | 4636)

 

9. Berbuat baik dan bersedekah

 

Sambutlah kedatangan Syaaban dengan keinsafan dan kesedaran. Perbanyakkanlah amal soleh dan menolong meringankan penderitaan fakir dan miskin serta anak-anak yatim.

 

Bersedekah suatu amalan yang suci lagi terpuji sebagai keprihatinan dengan nasib dan kesusahan orang lain, yang amat dituntut oleh Islam.

 

Rasulullah ﷺ bersabda: “Sebaik-baik amal adalah memberi makan (kepada fakir miskin dan anak yatim) dan memberi salam kepada orang yang engkau kenal dan orang yang engkau tidak kenal.” (HR Bukhari, Muslim dan an-Nasa’i)

 

Abu Bakr al-Balkhi berkata: “Bulan Rejab saatnya menanam, bulan Syaaban waktunya menyiram tanaman dan bulan Ramadan saatnya menuai hasil.”

 

Selain itu, pada bulan Syaaban juga terdapat satu malam yang terkenal sebagai malam ‘Nisfu Syaaban’. Pada malam tersebut Allah Subhanahuwataala telah memberikan kelebihan kepada hamba-hambanya dan memberi keampunan kepada mereka kecuali yang syirik kepada-Nya. Sabda Rasulullah ﷺ daripada Abu Hurairah RA:

 

“Allah Subhanahu Wa Taala melihat kepada makhluk-makhlukNya pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampuni makhluk-makhlukNya kecuali orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan.” (Riwayat Ibn Majah) 

 

Marilah kita sama-sama mengambil peluang keemasan pada bulan yang mulia ini dengan melakukan ibadah kepada Allah demi mencari keredhaan-Nya dan menebus segala dosa atas segala kesalahan lalu.

 

Manusia tidak akan sepi daripada melakukan dosa. Maka, pada bulan yang mulia ini, peliharalah diri daripada dosa sebaik mungkin untuk mendekatkan diri kepada Allah.

 

Selagi kita masih sihat, bertenaga dan dengan peluang yang terbuka ini, marilah melakukan muhasabah diri, bertaubat kepada Allah dan sentiasa membuat penilaian prestasi amalan setiap hari, apakah amalan dan tingkah laku kita dengan Allah dan adakah hubungan sesama manusia selari dengan al-Quran dan al-Sunnah.

 

Semoga segala amalan pada bulan Syaaban ini menjadi jariah kebaikan yang berpanjangan dan semoga kita dimudahkan untuk berjumpa dengan bulan penuh keberkatan, bulan Ramadan.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia