Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni: Teguhkan Patriotisme

Tema Hari Kebangsaan tahun ini “Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni” membawa makna mendalam tentang hubungan erat antara rakyat dan negara. Ia bukan sekadar slogan tetapi suatu seruan untuk menghayati erti patriotisme dan kesepaduan sebagai asas pembangunan bangsa.

Patriotisme bermaksud kesetiaan dan kecintaan kepada tanah air, manakala kesepaduan merujuk kepada kekuatan yang terjalin melalui perpaduan, toleransi dan sikap saling menghormati.

Sejarah membuktikan bahawa kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dicapai melalui pengorbanan tenaga, masa dan nyawa oleh pelbagai kaum yang berganding bahu menuntut hak sebagai sebuah negara berdaulat.

Tokoh kemerdekaan negara, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pernah menegaskan:

“Kita telah merdeka, tetapi ingatlah bahawa kemerdekaan ini mestilah diisi dengan perpaduan yang kukuh supaya negara kita akan terus aman dan makmur.” (Tunku Abdul Rahman, ucapan Hari Kemerdekaan, 31 Ogos 1957)

Malaysia pula telah diisytiharkan penubuhannya pada 16 September 1963 dengan gabungan sebelas negeri Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk sebuah negara yang lebih besar dan bersatu. Namun, Singapura telah keluar daripada Malaysia pada 8 Ogos 1965.  

Pembentukan Malaysia adalah tonggak penting dalam sejarah negara. Ia menunjukkan semangat kerjasama, perpaduan dan kedaulatan serta menjadi asas kepada pembangunan negara bangsa yang kita kecapi hari ini.

Dalam konteks Malaysia MADANI, nilai-nilai kemanusiaan seperti keadilan, belas ihsan, hormat-menghormati dan kesejahteraan menjadi teras.

Terma “Rakyat Disantuni” bukan sekadar menggambarkan sesuatu yang bersifat material tetapi meliputi sikap prihatin, saling menyokong dan meletakkan kepentingan masyarakat melebihi kepentingan peribadi. Inilah jiwa sebenar patriotisme dan berbakti demi kesejahteraan bersama.

Seterusnya, patriotisme yang tulen tidak hanya muncul ketika sambutan Hari Kebangsaan atau perlawanan sukan tetapi perlu hidup dalam setiap tindakan seharian. 

Menjaga kebersihan persekitaran, mematuhi undang-undang, menghormati perbezaan dan menyumbang kepada masyarakat adalah manifestasi kecintaan kepada tanah air. Sikap ini memastikan pembangunan negara bukan sahaja bersifat fizikal, malah kukuh dari segi moral dan sosial.

Dalam dunia yang semakin kompleks, ancaman terhadap perpaduan boleh datang daripada pelbagai sudut iaitu perbezaan ideologi politik, provokasi media sosial atau tekanan ekonomi. 

Polarisasi politik berlaku apabila pandangan dan sikap politik masyarakat menjadi semakin terpisah sehingga wujud jurang yang besar antara kumpulan yang berbeza. 

Keadaan ini memberi kesan mendalam terhadap perpaduan sosial apabila masyarakat terbahagi kepada blok “kita” dan “mereka”, sekali gus menjejaskan hubungan antara kaum, agama atau kumpulan tertentu. 

Justeru, rakyat perlu memperkukuh toleransi dan empati. Perbezaan tidak harus menjadi alasan untuk berpecah, sebaliknya ia adalah kekuatan jika diurus dengan hikmah. Perubahan perlu dimulakan daripada individu, keluarga dan masyarakat. 

Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, tokoh yang dikenali sebagai “Bapa Perpaduan” pernah mengingatkan:

“Perpaduan bukan sesuatu yang datang secara semula jadi, ia mesti dibina dan dipupuk dengan penuh kesedaran.” (Tun Dr. Ismail, ucapan di Parlimen, 1971)

Kata-kata ini masih relevan. Perpaduan memerlukan usaha berterusan melalui pendidikan yang menekankan nilai integriti, dasar kerajaan yang adil kepada semua kaum dan peranan masyarakat yang tidak meminggirkan sesiapa.

Semangat perpaduan wajar diangkat dengan penuh tanggungjawab oleh setiap individu tanpa mengambil kira kaum dan agama. 

Tema “Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni” amat signifikan kepada generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara. Dalam era digital ini mereka terdedah kepada pelbagai pengaruh global. Tanpa asas nilai yang kukuh, patriotisme dan kesepaduan mudah terhakis. 

Generasi muda perlu memahami sejarah negara, mengamalkan nilai MADANI yang menekankan keadilan, belas kasihan dan kesederhanaan serta menghargai perbezaan sebagai kekuatan, bukan kelemahan.

Slogan akan kekal sebagai kata-kata kosong jika tidak diterjemahkan kepada tindakan. Oleh itu, setiap rakyat perlu memainkan peranan. Kerajaan boleh merangka polisi yang inklusif tetapi kejayaan terletak pada kesanggupan rakyat untuk saling menghormati dan menyantuni. 

Pertubuhan masyarakat, kumpulan NGO, agensi kerajaan dan institusi pendidikan pula menjadi agen penting dalam memupuk semangat patriotisme sejak usia muda. 

Pertubuhan IKRAM Malaysia sangat komited dalam usaha mempromosi perpaduan, meningkatkan semangat patriotisme dan memupuk nilai murni dalam masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar belakang di negara ini.

Pelbagai program dan projek telah dilaksanakan, antaranya yang signifikan adalah pelbagai program dalam Sambutan Bulan Kebangsaan sejak tahun 2021.

Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini adalah “Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni”. Dengan berpegang pada prinsip “Malaysia MADANI, kita bukan sahaja membina negara yang maju dari segi ekonomi tetapi juga masyarakat yang penuh kasih sayang, adil dan bersatu padu.

Menghayati maksud “Rakyat Disantuni bermakna setiap rakyat tanpa mengira latar belakang diberi perhatian dan tidak dipinggirkan dalam arus pembangunan negara.

Tema “Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni” ini menyeru kita semua khususnya pemimpin untuk menyantuni rakyat dengan kasih sayang, mendengar suara rakyat dengan ikhlas dan menghargai jasa serta peranan setiap individu dalam memajukan negara.

Dengan ini, rakyat dapat hidup dalam suasana perpaduan, toleransi dan harmoni dan hal ini menjadi sebahagian penting dalam pembangunan negara yang berteraskan nilai murni dan kemanusiaan sejagat.

Tema ini juga menyeru kita untuk menghidupkan kembali semangat patriotisme dan kesepaduan yang menjadi asas pembinaan Malaysia. Ia menuntut setiap rakyat Malaysia agar menghayati semangat kemerdekaan dengan jiwa yang penuh kasih sayang, tanggungjawab dan patriotisme.

Patriotisme adalah nadi negara dan kesepaduan adalah bentengnya. Selagi kedua-duanya dipelihara, Malaysia akan terus teguh berdiri di pentas dunia sebagai negara yang merdeka, makmur dan disegani. 

Justeru, semangat patriotisme yang perlu disinergikan dengan nilai Malaysia MADANI akan membawa kita ke arah satu tujuan murni iaitu Mencapai Malaysia Negara Rahmah, sebuah negara yang aman, harmoni dan sejahtera untuk semua. 

Dr Sabariah Baharun
Ahli Jawatankuasa Pusat
(Ketua Kluster Perpaduan Nasional)
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia