SERI KEMBANGAN — Buat pertama kalinya, Jabatan Pendidikan Masyarakat (JPM) Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengadakan majlis Hi-Tea Bersama Kolumnis Pendidikan Masyarakat, menghimpunkan para kolumnis dan kepimpinan IKRAM dalam suasana mesra dan santai.
Majlis yang berlangsung semalam telah berjaya mempertemukan enam kolumnis JPM bagi merapatkan perhubungan serta memperteguh hala tuju jabatan dalam usaha memperkasa pemikiran masyarakat ke arah pembentukan negara rahmah.
Ketua Jabatan Pendidikan Masyarakat IKRAM, Dr Hj Mohd Faridz Ismail dalam ucapan alu-aluannya menyatakan para kolumnis merupakan aset penting dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui penulisan yang membina dan menyedarkan.
“Kolumnis memainkan peranan besar dalam membina pemikiran dan pembangunan negara, seiring dengan misi IKRAM membentuk sebuah negara rahmah,” ujar beliau.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Agung IKRAM merangkap Ahli Jawatankuasa Pusat, Mohd Hafiz Abd Hamid yang menjelaskan bahawa JPM berfungsi sebagai penggerak untuk mendidik masyarakat, bukan sekadar menyampaikan maklumat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, “Kita mendidik masyarakat untuk pengislahan sikap. Penulisan kolumnis mengisi kelompongan pemikiran yang wujud dalam masyarakat, apatah lagi ketika kita berdepan isu yang menyerang sosial seperti ghuluw (ekstrem),” jelas beliau.
Sementara itu, Timbalan Presiden IKRAM, Jusni Yusoff menyeru agar semua pihak yang terlibat menyedari hakikat bahawa usaha membina negara rahmah memerlukan perubahan sikap dalam masyarakat secara menyeluruh.
“IKRAM bukan kumpulan eksklusif untuk orang Melayu atau Islam sahaja. Kita wujud untuk menyumbang kepada pembangunan sebuah negara yang aman, makmur dan diberkati,” tegas beliau.
Beliau turut menekankan keperluan untuk membentuk fikrah masyarakat secara kolektif agar negara dipimpin oleh pemimpin berintegriti.
“Kalau masyarakat kita penyamun, maka yang dipilih jadi pemimpin ialah ‘bapak penyamun’. Maka, kalau kita mahu negara ini dipimpin oleh insan berintegriti, kita sendiri perlu berubah dan mendidik masyarakat ke arah itu,” katanya.
Enam orang kolumnis JPM yang telah sekian lama menyumbang melalui tulisan dalam pelbagai platform IKRAM adalah:
- Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohd Jodi
- Dr Rosfazila Abd Rahman
- Prof Madya Dr Hamidah Mat
- Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahman
- Prof Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw
- Ustazah Hasliza Talib
Menurut Ketua Jabatan Komunikasi Korporat IKRAM, Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti yang turut hadir, para kolumnis ini majoritinya mula menulis sejak 2023 dan ada juga 2021.
“Mereka telah menyumbang kira-kira 30 peratus artikel di Portal IKRAM setiap bulan merangkumi pelbagai aspek antaranya keagamaan, perpaduan, sosiologi, ekonomi Islam, psikologi, teknologi dan banyak lagi,” jelasnya.
Majlis ini diserikan lagi dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata IKRAM kepada semua kolumnis oleh Mohd Hafiz, diikuti dengan sesi fotografi bersama.
Majlis Hi-Tea ini bukan sekadar acara santai, tetapi menjadi titik permulaan kepada jalinan lebih erat antara IKRAM dan para kolumnis yang berperanan penting dalam membentuk wacana masyarakat dan mengangkat agenda pencerahan menerusi penulisan.
Semangat dan visi yang dikongsi dalam majlis ini jelas menunjukkan bahawa para kolumnis bukan hanya penulis di balik tabir, tetapi juga pejuang pemikiran yang bersama-sama IKRAM membina masa depan Malaysia yang lebih adil, inklusif dan penuh rahmah.