Selain itu, kes positif masih didominasi di Wilayah China iaitu sebanyak 80,735 kes diikuti 7,382 kes di Korea Selatan, 7,375 kes di Itali serta di Iran 6,566 kes.
Jumlah kes kematian akibat virus ini terus telah mencecah 3,825 orang yang mana kes kematian terbesar telah berlaku di Hubei, China dengan 3,007 orang, Itali 366 orang, Iran 194 orang dan 50 di Korea Selatan.
Di Malaysia pula, status terkini yang dilaporkan Kementerian Kesihatan bahawa sehingga 12.00 tengah hari 8 Mac 2020, terdapat enam (6) kes baharu yang mencatatkan jumlah keseluruhan 99 kes positif.
Gelombang pertama jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia sepertimana yang dimaklumkan sebelum ini, merangkumi 22 kes positif COVID-19 (iaitu kes pertama sehingga kes ke-22) telah sembuh dan discaj.
Setelah 11 hari tiada kes baharu dilaporkan, gelombang kedua yang bermula pada 27 Februari 2020 sehingga hari ini, terdapat sebanyak 77 kes positif COVID-19 (iaitu kes ke-23 sehingga kes ke-99) yang telah dilaporkan.
Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai agar menangguhkan perjalanan ke bandar atau wilayah yang dilanda wabak. Justeru, pelbagai langkah pencegahan jangkitan perlu diambil oleh semua agar virus ini dapat dihindari.
Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan langkah-langkah berikut bagi melindungi diri kita dan orang lain daripada COVID-19 (Pesanan: Langkah 1 terpakai tidak kira di mana anda berada):
1. Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi – Kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer).
2. Semasa dalam tempoh lawatan ke tempat yang berlaku wabak ini (jika perjalanan tidak dapat dielakkan):
- Sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung serta bahan pencuci tangan.
- Elakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala.
- Elakkan melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan.
- Elakkan daripada memakan sebarang produk haiwan yang mentah/ tidak dimasak dengan sempurna.
3. Segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, mahupun kesukaran untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang daripada lawatan tersebut dan memaklumkan sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat.
Manakala ketika di tempat kerja:
1. Pastikan persekitaran tempat kerja sentiasa bersih (kerap lapkan permukaan dan alatan dengan bahan disinfektan).
2. Tingkatkan kekerapan dan membasuh tangan dengan betul dalam kalangan pekerja dan pelanggan (letakkan ‘hand sanitizer’ di tempat yang mudah dicapai di tempat kerja dan pastikan ia kerap diisi semula).
3. Sediakan topeng muka dan tisu di tempat kerja untuk pekerja yang selesema dan berkahak (sediakan tempat lupus tisu yang sesuai).
4. Menasihati pekerja untuk dapatkan nasihat perjalanan sebelum melakukan tugas yang memerlukan pekerja bertugas di kawasan yang dilanda wabak.
5. Beri taklimat kepada pekerja dan pelanggan sekiranya COVID-19 mula berjangkit dalam komuniti sekitar anda dan galakkan kuarantin di rumah sekiranya tidak sihat.
Dengan mengamalkan langkah-langkah ini, moga ia dapat menghindarkan diri kita daripada terkena jangkitan virus tersebut. Marilah bersama-sama kita menjaga diri dan persekitaran daripada dihinggapi virus yang merbahaya ini.