Seperti yang kita maklum, puasa adalah ibadah agung yang termaktub dalam Rukun Islam ketiga dan satu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan umat Islam pada bulan Ramadan. Mereka dikehendaki berpuasa bermula dari terbit fajar sadiq (waktu subuh) hingga terbenamnya matahari (waktu maghrib) selama sebulan.
Istimewanya, pada bulan ini pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat, bahkan puasa menjadi amalan penting dan utama bagi menggandakan pahala, menghapuskan dosa-dosa yang lalu, seterusnya mencapai darjat takwa. Sabda Nabi SAW:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala (kerana Allah), nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari dan Muslim)
Sudah pasti dalam pelaksanaan apa saja ibadah, terdapat dua keadaan: seseorang itu mampu melakukannya atau tidak mampu kerana sebab tertentu. Ia dinamakan ‘aziimah dan rukhsah.
‘Aziimah adalah perintah untuk mengamalkan sesuatu sesuai dengan dalil yang ada. Lawannya adalah rukhsah, iaitu mengamalkan sesuatu yang tidak sesuai dengan dalil yang ada, kerana adanya uzur yang menjadi halangan pelaksanaannya.
Terdapat beberapa golongan yang diberi rukhsah iaitu keringanan atau kelonggaran untuk berbuka puasa atas pelbagai keuzuran yang diterima oleh syarak (uzur syarii) seperti sakit, musafir, hamil dan sebagainya.
- Orang yang sakit
Sekiranya orang yang sakit berpuasa juga dan dengan yang demikian akan menambah sakit atau melambatkan sembuh sakitnya, ia dibolehkan meninggalkan puasanya. Hal ini penting untuk membolehkannya memakan makanan dan menelan ubat untuk mengembalikan tenaga dan memulihkan sakitnya.
Namun, ia wajib menggantikan (qada) puasanya setelah sihat pada luar bulan Ramadan sebelum datang Ramadan berikutnya.
- Orang yang musafir
Orang yang bermusafir dengan tujuan yang diharuskan oleh syarak, harus berbuka puasa dengan syarat perjalanannya itu melebihi dua marhalah (melebihi 81 kilometer). Puasa yang ditinggalkan itu wajib diqadakan. Firman Allah SWT:
“..dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, Kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.” (Surah al-Baqarah: 185)
Walau bagaimanapun, jika perjalanan itu tidak memberatkan atau menyulitkan keadaan, orang yang musafir itu lebih afdal untuk berpuasa.
- Wanita yang mengalami haid dan nifas
Wanita yang sedang menjalani masa haid dan nifas tidak boleh berpuasa dan perlu menggantikan puasanya di luar Ramadan. Aisyah r.a. ditanya tentang situasi tersebut dan beliau berkata:
“Kami pernah mengalami perkara ini, maka kami diperintahkan untuk menggantikan puasa dan tidak diperintahkan untuk menggantikan solat.” (HR Muslim, 335)
- Hilang keupayaan untuk berpuasa
Golongan ini melibatkan orang tua yang uzur, lemah dan tidak mampu berpuasa. Begitu juga halnya dengan dengan orang yang menghidap penyakit kronik dan kritikal serta tiada harapan untuk sembuh.
Mereka dibolehkan tidak berpuasa dan tidak wajib menggantikan puasa, namun wajib membayar fidyah dengan memberi makanan asasi (secupak beras) bagi seorang fakir atau miskin untuk setiap hari yang ditinggalkan. Firman Allah SWT:
“..dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” (Surah al-Baqarah: 184)
- Wanita yang hamil dan menyusukan anak
Bagi wanita yang sedang hamil dan bimbang jika dia berpuasa akan berlaku mudarat ke atas dirinya, maka dia diharuskan berbuka tetapi wajib mengqada puasa yang ditinggalkan sepertimana keadaan orang sakit. Begitu juga hukumnya dengan wanita yang menyusukan anak. (Surah al-Baqarah: 185)
Sekiranya dia bimbang jika berpuasa akan memudaratkan kandungannya sahaja, maka harus baginya untuk berbuka puasa, tetapi wajib mengqada puasa dan membayar fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.
Begitu juga hukumnya dengan wanita yang menyusukan anak, jika ia berbuka puasa kerana bimbang memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya. (Surah al-Baqarah: 184)
Perkara itu dijelaskan oleh seorang ulama Syafii, iaitu Syeikh al-Qadhi Abu Syuja’ dalam kitab fiqhnya yang terkenal bertajuk Al-Ghayah wa At-Taqrib.
“Bagi wanita yang hamil dan menyusukan anak, sekiranya mereka bimbang terhadap diri sendiri, mereka dibenarkan berbuka puasa dan diwajibkan menggantikan puasa itu. Namun, sekiranya mereka bimbang terhadap keselamatan anak yang disusukan, mereka dibenarkan berbuka puasa dan wajib menggantikan puasa serta membayar kaffarah (fidyah) sebanyak secupak setiap hari.”
Khas: Berjihad dalam peperangan
Jika ditakdirkan seseorang itu sedang berjihad (berperang secara fizikal) pada bulan Ramadan, berbuka puasa ketika itu adalah lebih afdal kerana ia dapat menambah kekuatan ketika berperang melawan musuh untuk kemenangan Islam, dan perlu mengqada puasa tersebut.
Hal ini berdasarkan situasi Rasulullah SAW dan para sahabat ketika Perang Badar al-Kubra dan peristiwa Fathu Makkah yang berlaku pada bulan Ramadan. Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a. katanya:
Kami bermusafir bersama Rasulullah SAW ke Makkah (untuk melakukan pembukaan Makkah). Kami sampai di satu tempat, lalu Rasulullah SAW bersabda: “Kamu semua sedang menghampiri musuh kamu sedangkan berbuka puasa itu lebih kuat untuk kamu.”
(Kata Abu Said al-Khudri): Maka, itu satu kelonggaran (untuk terus berpuasa), maka dalam kalangan kami ada yang berpuasa dan ada yang berbuka.
Kemudian kami sampai ke satu tempat yang lain, lantas Rasulullah SAW bersabda: “Kamu sedang berhadapan dengan musuh kamu, berbuka puasa itu lebih kuat untuk kamu, maka berbukalah.” (Kata Abu Said al-Khudri): Maka, itu satu kewajipan, maka kami pun berbuka. (HR Muslim, 1120)
Inilah golongan-golongan yang diberi rukhsah untuk berbuka puasa. Rukhṣah dalam berpuasa adalah salah satu bentuk kemurahan daripada Allah SWT kepada para hamba-Nya, terutama ketika keadaan yang tidak memungkinkan seseorang Muslim untuk melaksanakan kewajipan tersebut.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah suka ketika rukhsah daripada-Nya diambil, sebagaimana Dia membenci tatkala maksiat kepada-Nya dilakukan.” (HR Ahmad, 5866, Disahihkan al-Albani)
Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Sumber:
- Pejabat Mufti WP | Wanita Hamil | Susukan Anak | Perang Badar
- Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang
- Jurnal Bidang Kajian Islam




