Libatkan Keperluan OKU dalam Pembangunan Negara

Libatkan Keperluan OKU dalam Pembangunan Negara | IKRAM

KUALA LUMPUR – Majlis pelancaran Sambutan Bulan OKU Kebangsaan 2024 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM), Puan Wan Noraidah Wan Mohd Zain di Hotel Alamis di sini pada Sabtu lalu

Sambutan ini dianjurkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bersama Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM) dengan mengangkat tema “Memperkasa Kepimpinan OKU Demi Inklusiviti Mampan”, sejajar dengan usaha kerajaan bagi memastikan masyarakat yang inklusif untuk semua.

Dalam ucapan pembukaan, Ketua Kluster Masyarakat Progresif merangkap Pengerusi Kebajikan dan Khidmat Masyarakat IKRAM Malaysia, Ainullotfi Abdul Latif, menegaskan bahawa isu OKU perlu dilihat melangkaui aspek kebajikan.

“Isu OKU bukan sekadar tentang kebajikan. Ia tentang kehidupan, kejayaan, kemandirian dan kecemerlangan,” katanya.

Beliau juga menyeru agar OKU dilibatkan dalam perancangan pelbagai kementerian untuk memastikan keperluan mereka diambil kira secara menyeluruh.

Ainullotfi yang juga Presiden MAKPEM turut menggesa perubahan dalam pendekatan perancangan pembangunan negara.

“Perancangan untuk golongan OKU mesti dilakukan by design sejak awal, bukan sebagai langkah tambahan selepas pembangunan selesai.”

“Contohnya, kita tidak mahu lagi melihat ramp dengan sudut 45 darjah yang tidak praktikal untuk digunakan kerana ia hanya disediakan sebagai tempelan selepas pembinaan,” ujarnya.

Beliau juga menyeru agar persepsi masyarakat terhadap OKU diubah dengan menekankan potensi mereka untuk menyumbang kepada negara.

“Kita perlu luaskan pandangan masyarakat terhadap OKU.” 

“Mereka bukan sahaja mampu berdikari, tetapi juga mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Contohnya, Presiden Indonesia, Gus Dur, yang merupakan seorang OKU penglihatan, telah membuktikan keupayaannya sebagai pemimpin negara,” tambahnya.

Wan Noraidah dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan sambutan ini sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang hak dan keperluan golongan OKU. 

“Sambutan Bulan OKU ini bukan hanya acara tahunan, tetapi satu inisiatif penting untuk memastikan golongan OKU tidak tertinggal dalam arus pembangunan negara.”

“Kita perlu memastikan setiap kategori OKU termasuk OKU wanita, OKU warga emas dan OKU kanak-kanak diberikan perhatian sewajarnya,” tegasnya.

Menurut beliau, berdasarkan statistik terkini OKU di Malaysia, seramai 746,188 individu telah berdaftar di bawah Sistem Pengurusan Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU). Bilangan ini menunjukkan peningkatan yang juga mencerminkan kesedaran masyarakat untuk mendaftarkan OKU. 

“Pada tahun ini, JKM telah melancarkan modul pembelajaran untuk autisme, disleksia dan cerebral palsy dengan peruntukan RM23 juta daripada kerajaan. Inisiatif ini diharapkan dapat membantu proses pemulihan OKU dengan lebih berkesan,” jelasnya.

Selain itu, beliau mengumumkan beberapa usaha kerajaan termasuk peningkatan elaun pekerja OKU dan peruntukan yuran pendidikan RM15 juta untuk 30,000 anak-anak autisme.

“Ini adalah langkah penting untuk meringankan beban keluarga dan memastikan kanak-kanak OKU mendapat akses kepada pendidikan dan pemulihan yang mereka perlukan,” tambah beliau.

Majlis pelancaran ini turut menampilkan sesi bual bicara dengan tokoh-tokoh OKU dalam Forum Membina OKU MADANI serta pelancaran Projek DREAMS, satu inisiatif untuk membantu penjaga anak-anak OKU. 

Tokoh-tokoh OKU dalam forum ini ialah Prof. Dr. Ruzita Mohd Amin (Ketua Unit OKU UIAM dan Penerima Anugerah Wanita MYWIRA), Puan Hamidah Hassan (Naib Pengerusi Malaysian Spinal Cord Injury Advocacy Association – MASAA) dan Encik Mohd Faiz Shuhaimi (Presiden Majlis Belia OKU Malaysia) serta moderator Puan Salwa Mohd Saleh.

Sepanjang bulan Disember, pelbagai program akan dianjurkan oleh IKRAM termasuk pertandingan kreatif, dialog dengan pemegang taruh dan aktiviti-aktiviti lain di peringkat negeri dan kawasan.

Dengan tema yang membangkitkan semangat inklusiviti, majlis ini mencerminkan komitmen semua pihak untuk memperkasakan golongan OKU dalam membentuk sebuah masyarakat yang adil dan sejahtera. 

Seperti yang diungkapkan oleh Puan Wan Noraidah, “Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita semua mempunyai peranan untuk memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam pembangunan negara. Golongan OKU juga berhak merealisasikan potensi diri mereka sepenuhnya.”

Turut hadir dalam majlis ini Timbalan Presiden IKRAM, Jusni Yusoff, Ahli Jawatankuasa Pusat, Dr Sabariah Baharun dan Dr Maznah Ahmad, serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ikram Malaysia, Ts. Dr. Zaharuddin Saidon dan para aktivis IKRAM.

Antara tetamu yang hadir ialah Dato’ Mah Hassan Omar (Persatuan Braille Malaysia), Dr Mastura Mahamed (Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum – GAPS), Mohd Rizal Mat Noor (MASSA), Dato’ Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin (The National Autism Society of Malaysia) dan Pn Nurul Huda Azaman (Advo OKU Sejahtera).

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia