Lebih Ramai Aktivis Pelbagai Kaum Serikan Iftar Perpaduan IKRAM

iftar perpaduan

SERI KEMBANGAN – Suasana harmoni dan penuh kebersamaan jelas terasa apabila para aktivis masyarakat sivil daripada pelbagai latar belakang agama, etnik dan organisasi berhimpun dalam program Iftar Perpaduan Rakan Aktivis NGO anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia di ibu pejabatnya semalam.

Program ini dianjurkan untuk tahun ketiga berturut-turut sebagai inisiatif mempertemukan NGO, pemimpin masyarakat dan rakan kerjasama menjadi medan memperkukuh jalinan persahabatan dan memperluas jaringan kerjasama antara rakan-rakan aktivis yang aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan, perpaduan serta advokasi hak masyarakat.

Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin menyatakan bahawa majlis iftar pada tahun ini mencatat peningkatan penyertaan yang memberangsangkan, dengan kehadiran seramai 84 tetamu mewakili 31 badan dan organisasi, berbanding hanya 45 orang pada tahun sebelumnya.

Presiden IKRAM

“Peningkatan ini dilihat sebagai petanda sambutan yang semakin menggalakkan terhadap usaha membina hubungan dan kepercayaan antara organisasi masyarakat sivil yang pelbagai,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa Ramadan bukan sekadar medan memperkukuhkan amalan diri, tetapi juga kesempatan membina jambatan persefahaman antara masyarakat yang berbeza latar belakang.

“Ramadan mengajar kita erti empati, kesederhanaan dan kepedulian terhadap sesama manusia. Iftar perpaduan ini adalah simbol bahawa nilai kemanusiaan dan keharmonian boleh dirai bersama walaupun kita datang daripada latar yang berbeza,” ujarnya.

Antara organisasi masyarakat sivil yang hadir termasuk HuaZong Youth, Agora Society Malaysia, Architects of Diversity, Association for Advocacy and Community Empowerment, Belia Perpaduan, Better Dads Malaysia, Buddhist Missionary Society Malaysia, Christians for Peace and Harmony in Malaysia, Gabungan Bertindak Malaysia, Juriatacc Consultancy, Family Frontiers, Kivu International, KL Chinese Chamber serta Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall.

Turut serta ialah wakil daripada LLG Cultural Development Centre, Nusantara Academy for Strategic Research, Myskills Foundation, Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia, Southeast Asian Youth For Humanity, Persatuan Bertindak Pilihan Raya Bebas dan Saksama, Persatuan Dhammaduta Malaysia, Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah Cina Malaysia, Prife Foundation, Pusat KOMAS, The Educational, Welfare and Research Foundation Malaysia, Women’s Aid Organisation, Suara Minda, Yayasan Perpaduan Malaysia serta  Michael Tong Wai Siong@Uncle Mike dan  Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw.

wanita

Presiden IKRAM menekankan konsep kehidupan bersama secara harmoni dalam Islam yang dikenali sebagai Fiqh Ta‘ayush, iaitu prinsip yang menjelaskan bagaimana masyarakat yang berbeza latar belakang seperti agama dan bangsa boleh hidup bersama secara aman, saling menghormati serta bekerjasama dalam perkara-perkara kebaikan.

Beliau turut memetik firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 13 yang menegaskan bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling mengenali. Ayat tersebut menjadi asas penting dalam membina hubungan antara masyarakat pelbagai latar dalam sebuah negara yang majmuk seperti Malaysia.

Selain itu, beliau juga mengingatkan bahawa Islam menuntut umatnya untuk berlaku baik dan adil kepada semua manusia, termasuk mereka yang berbeza agama. Prinsip ini selaras dengan mesej yang terkandung dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8 yang menyeru agar umat Islam berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang tidak memusuhi agama.

Sehubungan itu, IKRAM berharap program seperti ini dapat terus menjadi platform memperkukuh persefahaman, kepercayaan dan kerjasama antara NGO pelbagai latar, sekali gus menyumbang kepada pembinaan masyarakat Malaysia yang lebih harmoni, inklusif dan saling menghormati antara satu sama lain.

timbalan

Penganjuran Iftar Perpaduan ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperluas jaringan solidariti masyarakat sivil, khususnya dalam konteks Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan agama.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia