Program LEADERS bertujuan melatih remaja menjadi pemimpin yang seimbang fizikal, mental dan spiritual, memandu remaja untuk membentuk matlamat hidup yang jelas, mempraktikkan konsep berpasukan dalam bekerja dan mempraktikkan asas-asas dakwah.
LEADERS 2011 kali ini dibantu oleh barisan fasilitator yang terdiri dari pelajar-pelajar IPT yang sedang bercuti dari pelbagai latar belakang pendidikan.
Seramai 78 orang peserta yang mewakili setiap negeri di Semenanjung Malaysia mula berhimpun di Rantau Abang seawal subuh Khamis 2 Jun 2011. Program bermula pada jam 10 pagi dan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tarbiyah IKRAM Terengganu, Ustaz Muzahar bin Hitam.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan adalah ‘Taaruf al-Ankabut’, ‘Sambutan Karnival Palestin – Kami Bersamamu’, ‘Trekking de Rantau’, ‘Kenali Penyu’, ‘Seruanku’ dan banyak lagi. Semua aktiviti bercorak kerja berpasukan dan melatih peserta menonjolkan kepemimpinan secara individu dan berkumpulan. Peserta juga dilatih untuk melakukan solat wajib dan sunat di tepi pantai di atas pasir bertemankan alunan ombak dan berlangitkan bintang-bintang.
Peserta LEADERS 2011 kali ini turut diberi penghormatan untuk melepaskan anak penyu oleh Pusat Penyu dan Ekosistem Marin Rantau Abang. Daripada aktiviti ini, ia dapat memberi kesedaran kepada peserta bahawa pemimpin tidak melupakan alam sekitar dan haiwan kerana ia juga termasuk dalam tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah untuk memelihara manusia dan alam.
Pada hari terakhir, peserta-peserta LEADERS 2011 dengan bersemangat membentangkan apa yang telah mereka pelajari daripada program kali ini serta apa perancangan mereka apabila pulang ke negeri masing-masing. Majlis penutup disempurnakan oleh Setiausaha IKRAM Terengganu, Tuan Haji Zulkifli bin Ali.
Tahniah kepada semua peserta yang terlibat dalam LEADERS 2011 kali ini. Juga tahniah kepada pasukan penganjur iaitu IKRAMTeens Pusat dan IKRAMTeens Terengganu. Peserta yang sama akan menyambung program pembangunan kepemimpinan mereka dalam program Ekspedisi Pemimpin Remaja Tahan Lasak (XPERT) pada akhir Disember 2011 nanti.
(Foto-foto oleh IKRAMTeens Terengganu)