SERI KEMBANGAN – Kira-kira 60 ahli daripada delegasi Pertubuhan IKRAM Malaysia yang diketuai Presiden IKRAM, Haji Badlishah Sham Baharin membuat kunjungan balas ke Wisma Huazong (Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia) pada 11 November, Sabtu yang lalu.
Pada 2 September 2023, IKRAM menerima tetamu daripada rombongan Huazong yang merupakan gabungan pertubuhan kaum Tionghua terbesar di Malaysia yang mana wismanya dibuka pada tahun 2016.
Huazong adalah gabungan persatuan-persatuan Cina di Malaysia yang mewakili 13 gabungan persatuan dari setiap negeri, merangkumi 10,000 buah persatuan berdaftar.
Gabungan ini ditubuhkan pada Disember 1991 sebagai satu pertubuhan tertinggi dalam komuniti Cina di Malaysia. Huazong juga mempunyai bahagian belia dan wanita dari 13 Dewan Perhimpunan Cina negeri, serta ahli gabungannya.
Sesi ziarah dimulakan dengan melawat Muzium Cina Malaysia (MCM) yang dipimpin oleh Presiden Huazong, Tan Sri Datuk Seri Panglima (Dr) T. C. Goh, JP.
MCM adalah muzium pertama di Malaysia yang membentangkan sejarah, budaya dan adat resam masyarakat Cina Malaysia melalui pameran yang diolah dengan menarik dan unik.
Muzium ini merupakan sebahagian daripada bangunan wisma tersebut dengan keluasan sekitar 10550 kaki persegi dan dibuka untuk orang awam.
Kunjungan ini memperkenalkan pertubuhan tersebut (Huazong) sebagai wadah yang komited dalam usahanya untuk menjaga hak dan kepentingan semua rakyat Malaysia, mengukuhkan perpaduan antara semua kaum dan menggalakkan aktiviti dalam bidang kebudayaan, pendidikan, ekonomi bersama kaum-kaum yang lain untuk mencapai muafakat dan memupuk semangat Malaysia Madani.
Tan Sri Goh dalam ucapannya menyatakan bahawa ziarah IKRAM ini merupakan sejarah kerana ia adalah kunjungan dalam kalangan bukan Tionghua paling ramai ke Wisma Huazong.
Menurutnya, mencorak masa depan rakyat Malaysia yang aman damai dan harmoni memerlukan semangat muhibah, fikiran bersifat sederhana, bertolak ansur dan ada kesediaan untuk berunding terhadap isu yang melanda rakyat.
“Sejarah sepatutnya dijadikan cermin, diiktiraf dan diambil pengajaran agar tidak berulang kembali peristiwa yang tidak seharusnya berlaku supaya kerugian tidak terjadi,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, beliau mengatakan sekiranya peristiwa yang tidak diingini berulang, semua pihak akan rugi dan tiada sesiapa akan untung.
“Kita boleh adakan dialog di sini supaya saling memahami misi dan visi pertubuhan yang membawa hala tuju agar rakyat Malaysia maju dalam kehidupan yang aman damai dan gembira.”
Dalam pada itu, Haji Badlishah Sham menyatakan bahawa beliau rasa berbesar hati diberi peluang membuat kunjungan muhibah ke Wisma Huazong.
Beliau berkongsi bahawa ajaran al-Quran memuliakan seluruh bani Adam. Tambahnya lagi, atas rasa keinsanan ini yang menjadikan Muslim sepatutnya berbudi sesama manusia.
Berdasarkan pembacaannya dalam penulisan Profesor Chenyang Li bertajuk “The Teachings of Confucius”, beliau mendapati ideologi ini menekankan keharmonian dengan meletakkan pemberat pada hubungan sesama individu kepada individu lain, pemimpin, keluarga dan sahabat yang akhirnya ingin mencapai ‘the grand harmony’ pada keseluruhan alam.
Haji Badlishah Sham mengatakan persamaan ini dikongsi bersama dan belliau menyambut baik seruan kerjasama daripada Tan Sri Goh.
“IKRAM bersedia untuk bekerjasama pada masa hadapan dan lawatan ini sangat bermakna untuk kami dan hubungan ini harus diteruskan dalam membina masyarakat Malaysia yang harmoni, madani dalam usaha membawa Malaysia ke mercu yang lebih tinggi.”
Lawatan dan ziarah ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderahati antara Huazong dan IKRAM serta jamuan ringan daripada pihak tuan rumah.