Kuasa Pemerintah Berpihak kepada Maslahat Rakyat

pemerintahan

Dalam khazanah fiqh Islam, terdapat satu kaedah penting dalam bidang siyasah syar‘iyyah:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah terikat dengan kemaslahatan.”

Kaedah ini membawa prinsip yang sangat besar: kuasa bukan milik peribadi, tetapi amanah yang penggunaannya mesti ditujukan kepada kepentingan rakyat. Allah SWT berfirman:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menghukum antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil.” (Surah an-Nisa’, 4: 58)

Seorang pemerintah diberikan kuasa untuk mengurus negara, harta awam dan kepentingan rakyat. Namun, kuasa tersebut tidak boleh digunakan sesuka hati. Ia mesti dipandu oleh amanah, keadilan dan kemaslahatan.

Atas dasar itu, rasuah dan salah guna kuasa jelas bertentangan dengan prinsip ini. Apabila seseorang menggunakan kedudukannya untuk mengumpul kekayaan peribadi, memberikan keistimewaan kerana kepentingan tertentu atau menyalahgunakan harta awam, maka kuasa telah berubah daripada amanah rakyat menjadi alat kepentingan diri. Rasulullah SAW memberi amaran keras:

لَعَنَ اللَّهُ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ

“Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Riwayat Abu Dawud [3580], at-Tirmidzi [1337] dan Ibnu Majah [2313])

Kesan rasuah tidak berhenti kepada wang yang hilang. Ia boleh menyebabkan projek tidak berkualiti, perkhidmatan awam terjejas, kos pembangunan meningkat dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara merosot. Akhirnya, rakyat juga yang menanggung akibatnya melalui cukai, kos kehidupan dan beban kewangan negara.

Rakyat juga mempunyai amanah

Prinsip maslahat bukan hanya meletakkan tanggungjawab kepada pemerintah. Rakyat juga mempunyai amanah dalam menentukan siapa yang diberikan mandat untuk memerintah.

Masyarakat sepatutnya menghargai dan menyokong pemimpin yang jujur, amanah, berintegriti dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan diri serta kelompok.

Sebaliknya, jangan sampai seseorang yang mempunyai rekod rasuah, menyalahgunakan kuasa atau merosakkan kepentingan awam masih diberikan mandat semata-mata kerana populariti, sentimen kelompok atau kepentingan politik.

Jangan kita memilih atau mempertahankan seseorang hanya kerana dia berada dalam kelompok kita. Ukurlah pemimpin berdasarkan amanah, integriti, keadilan dan manfaat yang diberikan kepada rakyat.

Jika kita mahu negara yang bersih, kita bukan sahaja perlu menuntut pemerintah supaya amanah. Kita sebagai rakyat juga mesti bertanggungjawab memberikan mandat kepada mereka yang amanah dan menolak mereka yang terbukti menyalahgunakan amanah.

Jangan sampai kita marah apabila cukai meningkat, hutang negara bertambah dan perkhidmatan awam merosot, tetapi pada masa yang sama kita sendiri memberikan sokongan kepada mereka yang menjadi penyebab kepada kebocoran dan kerosakan tersebut.

“Penyakau” harta awam tidak wajar dijadikan wira. Perosak negara tidak wajar dimuliakan. Sebaliknya, pemimpin yang jujur dan amanah perlu dihargai kerana mereka menjaga amanah yang menjadi hak seluruh rakyat.

Inilah roh kaedah:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Kuasa mesti berpihak kepada maslahat rakyat, bukan kepada kepentingan peribadi.

Kuasa adalah amanah. Harta awam adalah amanah. Mandat rakyat juga adalah amanah. Dan setiap amanah akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

Fikir-fikirkan!

SM Ismail

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia