PUTRAJAYA – Kempen Integriti dan Antirasuah (KIAR) 2025 dilancarkan secara rasmi semalam dalam satu majlis yang disifatkan sebagai usaha penting memulihkan integriti dan menolak rasuah secara kolektif.
Majlis dimulakan dengan pelepasan Konvoi Motosikal Jelajah Integriti diketuai MyIKRAM Bikers yang akan menjelajah ke lokasi-lokasi zon terpilih sepanjang tempoh kempen berlangsung.
Pelancaran yang berlangsung di Pejabat IKRAM Putrajaya ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) sejak 2021 dan kini diperluas menjadi kempen nasional yang dijayakan antara Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Rasuah Busters.
KIAR 2025 sedang berlangsung selama dua bulan, iaitu dari 1 November hingga 31 Disember bersempena Hari Integriti Nasional (5 November) dan Hari Antirasuah Antarabangsa (9 Disember).
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Haji Badlishah Sham Baharin, dalam ucapannya menegaskan bahawa Malaysia kini berdepan krisis nilai yang jauh lebih serius daripada sekadar isu pentadbiran.

Menurut beliau, laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang kekal dalam lingkungan 47 hingga 50 sejak sedekad lalu menunjukkan negara masih belum berjaya melakukan perubahan yang cukup bermakna.
Beliau menekankan bahawa integriti tidak boleh diletakkan hanya pada bahu kerajaan.
“Bagi membaik pulih angka CPI, kita mesti membina jiwa bangsa yang takut untuk menipu walau tanpa pengawasan manusia,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa budaya rasuah kini hadir dalam bentuk yang halus seperti kronisme, salah guna kuasa dan normalisasi “duit kopi”, menjadikan pendidikan nilai dan pembinaan akhlak sebagai agenda yang mendesak.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Ts. Ahmad Ramdzan Daud. Beliau menyatakan bahawa integriti adalah nilai yang tidak boleh diwariskan, sebaliknya mesti dibentuk sejak kecill. Jelasnya, pembentukan akhlak dan nilai tidak wajar digadai hanya untuk mengejar keuntungan material.

Ramdzan turut mengingatkan bahawa NGO dan masyarakat sivil memainkan peranan kritikal kerana NGO membawa suara nurani rakyat yang melengkapkan kekuatan kerajaan.
Menurut beliau, mesej integriti tidak boleh terhenti di seminar atau dewan akademik tetapi mesti sampai ke jalanan, sekolah, kampus, pejabat, masjid dan ruang digital masyarakat.
Pelbagai aktiviti dirangka sepanjang kempen ini termasuk pertandingan video pendek, pertandingan melukis komik, konvoi jelajah integriti, forum integriti serta penulisan artikel.
Kesemua program ini dilaksanakan selaras dengan aspirasi National Anti-Corruption Strategy (NACS) dengan menumpukan usaha kepada pendekatan akar umbi dan pembinaan modal sosial (social capital) berasaskan integriti.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Buku Naratif Kepimpinan Berasaskan Nilai, bahan rujukan kepimpinan masyarakat, melengkapi usaha mendidik dan menggerakkan rakyat memahami integriti sebagai teras pembinaan negara.
Kempen ini disertai oleh beberapa rakan strategik utama merangkumi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Musleh Integrated Education Berhad (MIEB), Kajian Dasar IKRAM (KADRI), IKRAM Legal, Pertubuhan Literasi Demokrasi (Ajar Demokrasi), Pertubuhan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI), Malaysian Association of Muslim Finance Professionals (MFP) serta Persatuan Aliran Kesedaran Negara (Aliran).

Turut bersama ialah Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dan IKRAMTeens Malaysia. Rakan media utama kempen ini ialah Sinar Harian, yang menjadi platform utama penyebaran mesej kesedaran integriti kepada masyarakat di seluruh negara.
Gabungan ini mencerminkan semangat kolaborasi rentas sektor dalam memperkukuh budaya integriti dan menolak rasuah di setiap lapisan masyarakat.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk TPj Ahmad Nizam Ismail; Pengurus Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Puan Wan Normi Hasan; Ahli Jawatankuasa Pusat IKRAM, Dr. Sabariah Baharun; serta Yang Dipertua IKRAM Putrajaya, Haji Azlishah Azizan.

Seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang diseru menyertai KIAR 2025 sebagai simbol solidariti menolak rasuah dan membentuk Malaysia yang berintegriti, sejahtera dan bebas rasuah, sekali gus memperkukuh hala tuju ke arah Negara Rahmah yang disegani dunia.
Sidang Media: Kenyataan Media | Berita IKRAM | SH | RTM | Foto | Reels
Berita Pelancaran: SH 1 | SH 2 | HM 1 | HM 2 | HM 3 | Vibes | NST | BH
Video Pelancaran: Sidang Media | Reels Rangkuman | Reels Pelancaran | TikTok | YouTube
Artikel: KIAR 2025




