SERI KEMBANGAN – Kelab motosikal besar oleh MyIKRAM Bikers (MIB) meneruskan misi kedua jelajah Konvoi Amal Perpaduan di negeri-negeri Pantai Timur pada 20 dan 21 Ogos lalu.
Konvoi bermula pada Sabtu dari stesen minyak BHP Gombak di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dengan edaran stiker Teguh Bersama dan risalah Sambutan Bulan Kebangsaan (SBK 2022) kepada para pengguna lebuh raya.

Di Kelantan, pasukan konvoi tiba di Sekolah Rendah Islam (SRI) Aman Machang bagi memupuk kesedaran tentang SBK 2022 serta program agihan bantuan kepada golongan memerlukan.

Pada keesokannya, konvoi MyIKRAM Bikers memeriahkan perasmian Bulan Kebangsaan di SRI Al-Amin Kuala Terengganu dan seramai 14 penerima sumbangan pelbagai kaum hadir menerima sumbangan.
Pada hari yang sama, Konvoi Amal Perpaduan diteruskan di destinasi akhir Kampung Tuan, Beserah, Kuantan.

Di sana, IKRAM Indera Mahkota telah menganjurkan pelbagai program untuk melengkapkan konvoi amal ini, dengan kerjasama IKRAM Pahang, Yayasan Ikram Malaysia, Tok Empat Kampung Beserah dan Pengerusi Surau Kampung Tuan.
Dalam program itu, sumbangan baucar yang ditaja oleh Yayasan Ikram Malaysia dan MyCARE Pahang telah disampaikan kepada 50 orang asnaf dan ibu tunggal.

Pihak Surau dan penduduk Kampung Tuan pula turut bergotong-royong menyediakan bubur lambuk yang diedarkan kepada penduduk sekitar, diserikan kanak-kanak menyertai pertandingan mewarna dan tazkirah berkenaan penghayatan kemerdekaan.
Program turut dimeriahkan dengan kehadiran kumpulan motosikal daripada Z8/Z9 Trooper Kuantan yang turut memberi sumbangan kepada pihak Surau dan membuat edaran bubur lambuk ke kawasan sekitar.
Untuk info lanjut Sambutan Bulan Kebangsaan, layari https://linktr.ee/teguh_bersama.