KUALA LUMPUR – Konvensyen Kepulihan Kebangsaan 2025 yang berlangsung semalam di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, menyaksikan komitmen kerajaan dalam reformasi dasar berkaitan dadah di Malaysia.
Dalam ucapan penutup, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dato’ Lukanisman Awang Sauni menekankan perlunya perubahan pendekatan terhadap isu penagihan dadah yang masih menjadi cabaran utama dalam masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa stigma masyarakat terhadap penagihan dadah sering menghalang usaha pemulihan.
Menurutnya, penyahjenayahan atau dekriminalisasi penagihan dadah tidak bermaksud kerajaan membenarkan penyalahgunaan dadah secara sewenang-wenangnya, tetapi melihatnya sebagai isu kesihatan yang memerlukan rawatan yang lebih komprehensif.
“Masalah penagihan bukan hanya membebankan hospital, tetapi juga pusat pemulihan dan penjara. Hampir 60% hingga 70% tahanan di penjara terdiri daripada individu yang ditangkap kerana memiliki jumlah dadah yang kecil akibat ketagihan dan kesilapan memilih gaya hidup. Ini turut berkaitan dengan isu kesihatan mental,” katanya.
Lukanisman juga menegaskan bahawa penyahjenayahan penagihan dadah bukanlah satu langkah populis atau bermotifkan politik. Sebaliknya, ia bertujuan mengembalikan para penagih ke dalam industri dan membolehkan mereka menjana pendapatan.
Ujarnya, langkah ini bukan sekadar idealistik, tetapi satu strategi kerajaan untuk membiayai program dekriminalisasi pada masa hadapan.
“Kita dapat menjimatkan kos besar dalam sistem penjara. Dengan mengurangkan jumlah tahanan, ruang lebih selesa dapat disediakan kepada pesalah yang benar-benar memerlukan pemulihan. Ini akan meningkatkan keberkesanan rehabilitasi dan membolehkan mereka kembali sebagai individu yang produktif kepada masyarakat dan negara,” tambah beliau.
Beliau juga mengakui bahawa usaha ini akan menghadapi cabaran dan tentangan daripada pelbagai pihak, termasuk agensi yang terlibat dalam isu dadah. Namun menurutnya, reformasi ini memerlukan gerakan yang bersatu, konsisten dan berterusan.
“Ini bukan program jangka pendek atau inisiatif sementara. Ia adalah perjuangan berterusan yang memerlukan komitmen jangka panjang. Jika kita melihat sejarah, perjuangan berkaitan MA63 telah berlangsung hampir 60 tahun sebelum kita melihat hasilnya hari ini. Justeru, usaha penyahjenayahan ini juga akan melalui cabaran sebelum mencapai kejayaan,” jelasnya.
Lukanisman turut menyeru agar masyarakat memahami bahawa kesilapan boleh diperbetulkan melalui kaedah saintifik dan perubatan yang tepat. Beliau menekankan kepentingan memberi peluang kedua kepada bekas penagih dan memulihkan maruah mereka agar mereka dapat kembali menyumbang kepada masyarakat.
Prof Dr Hj Sahrim Ahmad membacakan resolusi.
Konvensyen ini turut meluluskan Resolusi Konvensyen Kepulihan Kebangsaan 2025, yang menekankan empat teras utama dalam reformasi dasar dadah di Malaysia:
1. Semakan Dasar dan Perundangan
- Memohon pindaan terhadap Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 untuk beralih daripada pendekatan menghukum kepada pemulihan kesihatan.
- Menyahjenayahkan penggunaan dadah untuk kegunaan peribadi sebagai satu langkah kesihatan awam.
- Mewajibkan pindaan terhadap Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) untuk memastikan perkhidmatan pemulihan dapat diterajui oleh organisasi berasaskan komuniti.
2. Pengukuhan Rawatan & Pemulihan
- Meningkatkan program rawatan dadah berasaskan bukti demi menghormati hak asasi manusia.
- Menyokong pusat pemulihan komuniti bagi integrasi semula ke dalam masyarakat.
- Menubuhkan model Public-Private Partnership (PPP) untuk memperkukuh program rawatan dan pemulihan ketagihan bahan terlarang.
3. Kolaborasi Antara Pemegang Taruh
- Memperkuatkan kerjasama antara kerajaan dan NGO untuk meningkatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan.
- Meningkatkan koordinasi antara agensi dalam sektor kesihatan, kebajikan, penguatkuasaan undang-undang dan masyarakat sivil.
- Mewujudkan National Task Force (NTF) untuk menyelia strategi pelaksanaan dekriminalisasi.
4. Kesedaran & Pengurangan Stigma Masyarakat
- Mendidik masyarakat bahawa ketagihan adalah isu kesihatan, bukan jenayah.
- Bekerjasama dengan media bagi menghapuskan stigma dan diskriminasi terhadap penagih dadah.
- Melaksanakan program pendidikan dan pencegahan awal di sekolah, tempat kerja dan komuniti.
Resolusi ini dikemukakan kepada pihak kerajaan untuk dipertimbangkan dalam perancangan dasar negara. Harapannya, resolusi yang dicapai dapat membawa perubahan yang signifikan dalam landskap pemulihan penagihan dadah di Malaysia.