Dalam era digital serba canggih ke arah IR 4.0 ini, istilah 5G merujuk kepada teknologi rangkaian telekomunikasi terkini yang menawarkan kelajuan Internet yang luar biasa.
Namun, dalam artikel ini, 5G juga boleh membawa makna yang lebih mendalam, yang merujuk kepada konsep-konsep penting dalam kehidupan seorang Muslim.
5G yang dimaksudkan di sini ialah ghoddul basor, ghibtah, ghurabaa’, ghurrun muhajjalun dan ghirah. Kelima-lima konsep ini bukan sahaja membimbing seorang Muslim dalam kehidupan seharian, malah dapat menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat.
Mari kita fahami setiap satu daripada 5G ini dengan lebih mendalam berserta contoh dan tindakan terbaik yang boleh diamalkan.
1. Ghoddul Basor (Menundukkan Pandangan) غض البصر
Ghoddul basor bermaksud menundukkan pandangan daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Allah berfirman dalam Surah an-Nur ayat 30:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا۟ مِنْ أَبْصَـٰرِهِمْ وَيَحْفَظُوا۟ فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا يَصْنَعُونَ
“Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman agar mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka. Itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan.”
Contohnya, situasi di mana seseorang perlu menundukkan pandangan ialah ketika melayari Internet apabila terdedah kepada gambar-gambar atau video yang tidak patut dilihat.
Dalam persekitaran kerja atau sekolah, kita mungkin berhadapan dengan suasana yang tidak menepati nilai-nilai Islam seperti pakaian yang tidak menutup aurat ataupun melihat orang yang berlainan jantina bukan mahram tanpa keperluan.
Tindakan terbaik adalah segera mengalihkan pandangan, menjaga hati daripada tergoda dan memohon perlindungan Allah daripada fitnah mata. Bak kata orang, dari mata jatuh ke hati!
Pernah suatu ketika, seorang ulama ditanya oleh seorang lelaki yang mengatakan bahawa dia selalu merasakan perempuan lain lebih cantik dan menawan daripada isterinya sendiri.
Lalu ulama tadi menegur lelaki itu dengan perintah Allah yang menyuruh kita menjaga pandangan agar tidak terpesong hati, bahkan menghargai pasangan yang telah sedia dan rela hati berkongsi hidup dengannya.
Tindakan terbaik
1. Berhati-hati semasa menggunakan media sosial atau Internet dengan menetapkan kawalan selamat (safe browsing).
2. Berzikir dan memohon ampun kepada Allah jika terlanjur melihat sesuatu yang dilarang.
3. Jaga mata daripada memandang perkara yang boleh menggugat keimanan, seperti program televisyen yang mengandungi kandungan tidak sopan.
4. Menjaga mata daripada melihat jantina lain tanpa keperluan mendesak seperti urusan kerja dan pendidikan.
Salah satu sifat penting yang terhasil daripada Ghoddul Basor ini ialah TAKWA.
2. Ghibtah (Iri Hati yang Positif) غبطة
Ghibtah bermaksud iri hati yang positif. Berbeza dengan hasad dengki yang merosakkan, ghibtah adalah perasaan iri terhadap seseorang yang memiliki kebaikan atau nikmat tertentu, tetapi tanpa hasrat untuk melihat nikmat tersebut hilang daripada mereka. Rasulullah SAW bersabda:
لَا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ: رَجُلٍ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا، فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٍ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهُوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا
“Tidak dibenarkan iri hati kecuali terhadap dua perkara: seseorang yang dikurniakan harta oleh Allah dan dia menggunakannya untuk kebaikan, dan seseorang yang dikurniakan ilmu dan dia mengajarkannya.” (HR Bukhari dan Muslim)
Contoh ghibtah yang baik ialah apabila kita melihat seorang rakan yang rajin bersedekah atau menuntut ilmu dan kita juga ingin bersikap seperti mereka.
Perasaan ghibtah ini mendorong kita untuk berusaha lebih keras dalam melakukan kebaikan, bukan dengan mengharapkan nikmat mereka dihilangkan.
Bahkan ciri-ciri sebaik-baik teman juga ialah apabila kita melihat amalannya, kita juga ingin beramal seumpamanya seperti hadis Nabi SAW, diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas r.a. ia berkata:
قيل: يا رسولَ اللهِ، أيُّ جُلسائِنا خَيرٌ؟ قال: مَن ذكَّرَكم باللهِ رُؤيَتُه، وزادَكم في عِلمِه مَنطِقُه، وذكَّرَ بالآخِرَةِ عَمَلُه
“Ada yang bertanya kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, siapa teman duduk yang paling baik? Rasulullah menjawab: Orang yang mengingatkanmu pada Allah ketika melihatnya, menambah ilmumu ketika ia berbicara dan mengingatkanmu pada akhirat ketika ia beramal.”
[Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la dalam Musnadnya (2437), al-Kharaithi dalam Makarimul Akhlaq (735), Ibnu Abid Dunya dalam al-Auliya’ (25) dan yang lainnya]
Tindakan terbaik
1. Jadikan mereka yang lebih alim, dermawan dan bertakwa sebagai inspirasi dalam hidup.
2. Berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan tanpa memendam rasa iri atau dengki terhadap pencapaian orang lain.
3. Berdoa agar Allah memberkati orang yang memiliki nikmat tersebut dan meminta Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk mengikuti jejak langkah mereka.
4. Ucapkan Barakallahu fik (Semoga Allah memberkati padamu) apabila melihat kelebihan atau nikmat yang ada pada orang lain. Ini bagi mengelakkan hasad.
Salah satu sifat penting yang terhasil daripada Ghibtah ini ialah SYUKUR.
3. Ghurabaa’ (Orang yang Terasing) غرباء
Rasulullah SAW bersabda:
بَدَأَ الإِسْلاَمُ غَرِيبًا، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا، فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
“Islam bermula dengan terasing dan akan kembali terasing seperti permulaannya, maka beruntunglah bagi mereka yang terasing.” (HR Muslim)
Ghurabaa’ merujuk kepada mereka yang tetap teguh berpegang kepada ajaran Islam walaupun ketika masyarakat sekeliling mula menjauhi agama.
Contoh individu yang terasing ialah seorang Muslim yang tetap berpakaian menutup aurat dengan sempurna atau menolak hiburan yang tidak sesuai walaupun dikritik atau diejek oleh rakan-rakan atau masyarakat.
Begitu juga dengan mereka yang tetap menunaikan kewajipan agama walaupun dikelilingi oleh mereka yang lalai daripada ajaran agama Islam.
Tindakan terbaik
1. Bersikap sabar dan istiqamah dalam menjalankan ajaran agama walaupun menghadapi cabaran dan ejekan daripada orang lain.
2. Mencari komuniti Muslim yang sama-sama memperjuangkan kebenaran agar dapat memberi sokongan moral antara satu sama lain.
3. Sentiasa mengingatkan diri bahawa orang-orang yang terasing dalam memperjuangkan agama, mereka akan mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT.
Antara sifat-sifat penting yang terhasil daripada istilah Ghurabaa’ ini ialah THABAT (teguh) & ISTIQAMAH.
4. Ghurrun Muhajjalun (Wajah yang Bercahaya di Akhirat) غر محجلون
Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أُمَّتِي يُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ أَثَرِ الْوُضُوءِ
“Umatku akan datang pada hari kiamat dalam keadaan wajah, tangan dan kaki mereka bercahaya kerana bekas wuduk.” (HR Bukhari dan Muslim)
Ghurrun muhajjalun merujuk kepada mereka yang berwajah bercahaya di akhirat kelak kerana amalan wuduk yang sempurna.
Wuduk bukan sahaja membersihkan secara fizikal, tetapi juga mempunyai nilai spiritual yang tinggi. Contohnya, seorang Muslim yang menjaga wuduknya setiap kali sebelum solat akan mendapat ganjaran ini di akhirat.
Menurut pelbagai pendapat ulama seperti daripada Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim:
Ahli bahasa berkata, “Ghurrah adalah tanda putih di dahi kuda, sedangkan tahjiil adalah tanda putih di kedua-dua tangan dan kaki kuda.” Para ulama berkata, “Cahaya yang terdapat pada anggota wuduk pada hari kiamat disebut ghurrah dan tahjiil, kerana menyerupai ghurrah yang dimiliki kuda.” (Syarah Saahih Muslim, 3: 135)
Ini salah satu tanda paling jelas bagi umat Nabi Muhammad SAW yang beriman ketika hari kiamat nanti.
Tindakan terbaik
1. Berwuduk dengan sempurna, memastikan semua anggota yang wajib dibasuh mendapat air secukupnya.
2. Menjaga wuduk setiap masa terutama sebelum tidur dan selepas setiap kali batal wuduk.
3. Menjadikan wuduk sebagai rutin kehidupan bahkan di luar waktu solat untuk sentiasa berada dalam keadaan suci.
Antara sifat-sifat penting yang terhasil daripada istilah Ghurrun Muhajjalun ini ialah ZIKRULLAH (sentiasa mengingati Allah) dan HAMASAH (semangat).
5. Ghirah (Cemburu terhadap Agama) غيرة
Ghirah bermaksud cemburu atau rasa tidak senang apabila agama atau nilai-nilai Islam dicabar atau diperlekehkan.
Rasulullah SAW memiliki ghirah yang tinggi dalam menjaga maruah agama dan umat Islam. Sifat ini penting untuk memastikan kita sentiasa peka terhadap ancaman yang boleh merosakkan akidah dan identiti kita sebagai Muslim.
Sebuah hadis meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda tatkala baginda memberikan komentar tentang sikap cemburu Sa’ad bin Ubadah terhadap isterinya:
إِنَّ سَعْدًا لَغَيُورٌ وَأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ وَاللَّهُ أَغْيَرُ مِنِّي مِنْ أَجْلِ غَيْرَتِهِ حَرَّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ
“Sesungguhnya Sa’ad bin ‘Ubadah memiliki ghirah dan aku lebih cemburu daripadanya. Allah lebih cemburu daripada aku. Kerana itulah, Allah mengharamkan segala perbuatan keji sama ada yang nyata atau yang tersembunyi.” (HR Bukhari dan Muslim)
Contoh ghirah ialah apabila seseorang berasa cemburu dan tidak suka apabila melihat amalan jahiliah atau perkara mungkar seperti perzinaan, arak dan hiburan haram menjadi semakin meluas.
Sebagai tindakan, dia akan menegur atau menasihati mereka yang terlibat dan berusaha memperbaiki keadaan dengan hikmah.
Almarhum Prof HAMKA dalam bukunya, Ghirah Cemburu Kerana Allah, juga bercerita panjang lebar tentang perasaan ghirah yang semakin menghilang zaman demi zaman sehinggakan si suami pun tidak cemburu melihat isterinya bermesraan dengan lelaki lain.
Kata beliau antara lain dengan membawakan intipati hadis Nabi SAW dalam menegur perbuatan mungkar:
“Barang siapa melihat yang mungkar, ubahlah dengan tangan. Tak kuasa dengan tangan, ubahlah dengan lidah. Tak kuasa dengan lidah, ubahlah dengan hati. Tetapi melawan dengan hati adalah selemah-lemah iman.” (Hadis sahih daripada Nabi SAW)
Engkau dibolehkan oleh Nabi menegur dalam hati saja apabila engkau telah adh’af al-iman (selemah-lemah iman), yakni jika imanmu sudah sangat lemah. Bukan saja dibolehkan menegur dengan hati, tetapi siapa yang merasa dirinya adh’af al-iman, bahkan tidak turut berjuang pun boleh. Tinggal sajalah di rumah!
Tindakan terbaik
1. Sentiasa peka terhadap isu-isu yang berkaitan dengan maruah Islam dan umatnya, dan bertindak dengan hikmah apabila ia dicabar.
2. Menyampaikan nasihat dengan baik kepada mereka yang melakukan maksiat supaya mereka dapat kembali kepada jalan yang benar.
3. Menjadi ejen perubahan yang positif dalam masyarakat dengan menyebarkan kebaikan dan membanteras kemungkaran.
Antara sifat-sifat penting yang terhasil daripada istilah Ghirah ini ialah sentiasa PEKA dengan agama.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, dengan mengamalkan 5G ini dalam kehidupan, seseorang Muslim akan memperoleh kebahagiaan serta keselamatan di dunia dan akhirat.
Setiap konsep 5G ini mengingatkan kita bahawa keutamaan hidup adalah menjaga diri daripada perkara yang dilarang, berusaha menjadi lebih baik dalam kebaikan dan memastikan kita tetap teguh dalam agama Allah walaupun menghadapi cabaran.
Ghoddul Basor menghasilkan takwa.
Ghibtah membuahkan syukur.
Ghurabaa’ menghasilkan thabat dan istiqamah.
Ghurrun muhajjalun menimbulkan zikrullah dan hamasah.
Ghirah menatijahkan peka terhadap agama.
Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat buat para pembaca. Terima kasih.
Ustaz Kamaruzzaman Abd Rahim
Ahli IKRAM Jasin, Melaka
Guru Sekolah Menengah i-Musleh, Ayer Keroh, Melaka
Mahasiswa Sarjana Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Melaka