Sebelum kita melihat lebih jauh, mari kita mengimbas peristiwa yang dilihat mengheret kepada pembunuhan komander keselamatan dan perisikan Iran ini pada 3 Januari 2020.
Pada 27 Disember lalu, berlakunya serangan roket ke pangkalan tentera Iraq di Kirkuk mengorbankan seorang kontraktor AS dan menyebabkan beberapa anggota tentera AS cedera. AS mendakwa bahawa serangan itu dilakukan oleh Iran.
Dua hari kemudian, tentera AS pula melakukan serangan balas di lokasi-lokasi sekitar Iraq dan Syria milik Hezbollah. Katanya arahan Washington. Ia lebih bersifat serangan yang berbentuk defensif dek kerana kematian kontraktor AS tempoh hari.
Tanggal 31 Disember 2019, beberapa penunjuk perasaan yang merupakan pro-Hezbollah telah menceroboh masuk ke Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Iraq dengan menyerbu kompleks dan membakar ruang lobi. Trump dalam cicipannya di Twitter menyalahkan Iran terhadap peristiwa yang berlaku lantas menyatakan bahawa Iran bertanggungjawab penuh dengan kegawatan yang berlaku. Cukup sekadar itu.
Pembunuhan Qassem Soleimani
Kita menyusup kembali bicara mengenai isu pembunuhan Qassem Soleimani, terdapat beberapa persoalan yang muncul di benak fikiran saya rentetan peristiwa ini. Perkara pokok yang terngiang -ngiang di fikiran saya ialah mengapa pembunuhan berlaku di mana Soleimani berada di Baghdad, Iraq ketika itu?
Hal ini menunjukkan seolah-olah kewujudan Soleimani di Iraq dalam keadaan negara itu masih bergelut dengan demonstrasi jalanan terhadap kerajaan mengesahkan wujud campur tangan Iran melalui Soleimani di negara-negara timur tengah seperti Iraq.
Kehadiran Soleimani di Iraq tidak disenangi beberapa negara yang mempunyai pengaruh seperti Arab Saudi dan sekutunya yang mempunyai hubungan yang baik dengan Amerika Syarikat. Tampak jelas.
Jika melihat rekod sebelum ini, Soleimani sendiri mempunyai peranan yang penting sebagai arkitek geopolitik timur tengah itu sendiri. Antaranya Soleimani sendiri mengarahkan tentera dari Iraq untuk mempertahankan kerajaan Assad ketika berlakunya Revolusi Arab Spring tahun 2011 dengan membunuh ramai orang awam di sana.
Jangan lupa, beliau juga membantu Houthi menawan beberapa kawasan di Yaman. Dan jika benar, agak malang nasib bagi rakyat Iraq yang tersepit antara sama ada mahu berdiri bersama AS atau Iran. Terkenang pula kisah Saddam Hussin. Sedangkan kerajaan Syiah Iraq sejak 2005 berdiri dengan sokongan AS. Ia sama seperti keluar mulut harimau, masuk mulut buaya.
Jadi, jika ingin dikatakan bahawa tragedi ini adalah pertembungan antara Muslim dan kuffar, bagaimana jika yang dikatakan Muslim ini melakukan campur tangan ke dalam negara Muslim yang lain lantas menghuru-harakan negara Muslim itu sendiri? Siapa menumpahkan darah rakyat Muslim itu? Soalan begini harus difikirkan secara rasional.
Hubungan Iran dan Iraq
Apabila kita berbicara mengenai pengaruh Iran, juga mengenai keterikatan Iraq dan Iran, mahu atau tidak kita perlu bincang mengenai kesan wilayatul faqih bagi memahami bagaimana Iran melebarkan kuasanya di rantau Asia Barat yang sebenarnya menjadi penyebab kekacauan yang berlaku di beberapa negara Arab. Ringkasnya, wilayatul faqih ialah mendirikan negara yang diperintah seorang Imam yang maksum.
Pengikut Syiah Itsna ‘Asyariyyah (Imam Dua Belas) dan proksi mereka seperti Hezbollah, Houthi dan pimpinan kerajaan Iraq memberi kesetiaan yang tuntas kepada Iran. Akhirnya, ia membuka ruang kepada Iran untuk masuk campur hal ehwal negara Arab yang lain seperti Iraq, Yaman dan Lubnan.
Persoalan yang masih tidak terjawab
Sepertimana yang saya sebutkan tadi, adakah rakyat Iraq memang perlu bersama AS pula? Rasanya mungkin kita berkongsi persoalan yang sama. Selain itu, adakah pembunuhan seperti ini berlaku pada tahun 2020 yang merupakan tahun Pilihanraya Presiden AS adalah sebuah kebetulan? Atau adakah ia hanya sebagai satu gimik politik Trump untuk meraih manfaat politik bagi memenangi pilihan raya akan datang?
Melalui tindakan Trump yang mengaku melakukan pembunuhan kepada Soleimani, tidak keterlaluan jika Trump dianggap sebagai terorris nombor satu dunia sudah menampakkan taringnya. Trump cuba untuk menjadi hero dalam aksi ini bagi meningkatkan popularitinya dek kerana sesuai dengan tekad Trump untuk menghapuskan keganasan.
Hari ini Trump berbangga dan telah membuktikan kepada dunia tekad itu. Jika mahu bersama AS, kita perlu melihat rekod campur tangan AS di Afghanistan, Iraq, Yaman dan Libya yang menyebabkan negara tersebut menjadi failed state hingga hari ini.
Perang Dunia Ketiga
Pembunuhan Soleimani agak merisaukan orang ramai kerana dibimbangi akan menyebabkan Perang Dunia Ketiga. Ramai penganalisis berpendapat bahawa ia berkemungkinan tidak berlaku. Kedua-dua negara iaitu Amerika Syarikat dan Iran sendiri mengakui bahawa mereka tidak mahu peperangan berlaku.
Peperangan bukan soal menunjukkan kuasa sahaja, tetapi ia melibatkan nyawa dan kerugian tenaga dan wang. Agak mustahil bagi negara yang mempunyai nuklear untuk menyerang antara satu sama lain kerana maklum mengetahui bahawa ia merupakan senjata pemusnah berskala tinggi yang menyebabkan kemusnahan yang dahsyat.
Kerana itu negara seperti Korea Utara dan Iran tidak pernah berani menyerang AS dan begitu sebaliknya. Walaupun Iran telah berjanji untuk membalas dendam dengan kematian Soleimani, tetapi ia bukanlah bermakna ia perlu melalui peperangan. Andaian Perang Dunia Ketiga ini barangkali hanya karut dan tidak wajar untuk diambil serius.
Walaupun berlakunya serangan di kedutaan besar AS di Iraq, juga terdapat serangan Iran terhadap pengkalan udara AS di Iraq, kemudian dunia disajikan dengan harga kepala Trump yang ditawarkan Iran bernilai 80 juta Dolar Amerika, ia bukan bererti bahawa perang telah bermula bahkan tindakan itu tidak lebih hanya sebagai provokasi atau serangan balas dendam terhadap AS semata-mata.
Saya ingin menutup makalah ini dengan persoalan, Iran ada mengancam, jika AS bertindak balas, maka mereka akan menyerang Dubai dan Haifa, Israel. Jika ia terjadi, adakah Israel akan membalasnya dengan menyasarkan rakyat Palestin pula? Setakat ini Israel hanya mengambil pendirian berdiam diri serta berlepas diri daripada dikaitkan dengan pembunuhan Soleimani.
Kita tunggu dan lihat apa seterusnya…
Syazwan Hakim merupakan Penyelidik di Strategic Research Team of HARMONI, Persatuan Belia HARMONI Universiti Malaya (UM).
Kredit foto: Anadolu Agency
Penafian: Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian IKRAM.