Kashmir seindah nama dan tempatnya yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia bahkan dari Malaysia umpama ‘syurga dunia’ bagi sang kelana. Keindahan alamnya sangat mendamaikan jiwa.
Kashmir juga mungkin menjadi tumpuan selepas filem Bajrangi Bhaijaan lakonan Salman Khan yang merupakan filem kedua memperoleh kutipan tertinggi dalam sejarah filem Bollywood.
Tetapi di sebalik keindahan, tersirat 1001 kisah duka yang kini semakin meruncing di wilayah majoriti Muslim ini yang terletak di banjaran Himalaya dan Pir Panja.
Konflik Kashmir ini sudah berlanjutan lebih 70 tahun, lebih awal daripada konflik Israel-Palestin pada 1948 lagi.
Wilayah Kashmir terpisah kepada tiga negara, Pakistan menguasai bahagian barat laut, India di bahagian tengah dan selatan (Jammu dan Kashmir), dan China menguasai bahagian timur laut yang dikenali sebagai Aksai Chin.
Krisis ini meninggalkan kesan mendalam terhadap hubungan Pakistan-India yang bermula ketika proses kemerdekaan pada 1947.
Jika anda masih ingat tragedi Black Day pada 27 Oktober 1947 yang menjadi permulaan kepada konflik Kashmir pada hari ini apabila tentera India yang menduduki wilayah berkenaan yang pada ketika itu masih belum memutuskan untuk menjadi sebahagian daripada India atau Pakistan.
Tindakan India menempatkan tentera di wilayah itu diambil selepas Delhi mendakwa pemerintah Kashmir, Maharaja Hari Singh telah menandatangani ‘Surat Ikatan Penyertaan’ pada Oktober 1947 untuk menyerahkan Jammu dan Kashmir kepada India.
Penduduk Kashmir yang majoritinya beragama Islam lebih berminat untuk bergabung dengan Pakistan berbanding India kerana latar belakang yang sama daripada segi penduduk serta agama di negara berkenaan.
Sejak hari tersebut, India dan Pakistan saling bertelagah untuk merebut kawasan di wilayah Kashmir sehingga menyebabkan mereka terjebak dalam tiga peperangan iaitu pada 1947, 1965 dan 1971.
Ketiga-tiga peperangan meragut beribu-ribu nyawa penduduk awam dan peperangan berakhir selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan penguatkuasaan gencatan senjata.
India dan Pakistan juga hampir berperang buat kali keempat pada 2002 apabila kerajaan kedua-dua negara bertindak mengerahkan sejuta tentera lengkap bersenjata ke perbatasan kedua-dua kuasa nuklear itu, berhampiran wilayah Kashmir, namun berjaya dihalang pihak antarabangsa diketuai Amerika Syarikat (AS).
Konflik Kashmir juga merupakan asbab kedua-dua negara menjadi negara kuasa nuklear. India menjadi negara kuasa nuklear pada 10 Mei 1998, manakala Pakistan pada 28 Mei 1998.
India juga pernah berperang dengan China pada 1962 (Perang Sino-Indian) berkaitan isu Kashmir. Peperangan berakhir selepas kedua-dua pihak bersetuju meletak senjata, dengan sekutu India dalam peperangan tersebut, AS menyalahkan China kerana bertindak agresif dalam menyelesaikan isu sempadan Kashmir antara India-China.
Kedegilan India
Isu Kashmir bukan semata-mata perebutan wilayah. Pada 1947, apabila PBB meluluskan resolusi untuk dilaksanakan referendum dan telah memberi pilihan kepada Jammu dan Kashmir, India menggunakan pelbagai alasan untuk tidak melaksanakannya.
Ekoran daripada pemisahan India dan Pakistan, sebelumnya India telah bertindak menceroboh Kashmir dengan 1 juta tentera dan hakikat sebenar adalah hanya Kashmir satu-satunya wilayah dalam India sebelum merdeka dari British yang mempunyai majoriti penduduk muslim (90%).
Asasnya apabila India berpisah menjadi dua negara iaitu India dan Pakistan, Jammu dan Kashmir yang majoriti Muslim ingin bersama Pakistan tetapi India bertindak menceroboh Kashmir untuk menghalang proses tersebut. Apabila India menceroboh Kashmir dan membunuh 1 juta rakyat Kashmir, maka Pakistan tidak ada pilihan melainkan membela rakyat Kashmir yang tidak memiliki kekuatan untuk melindungi rakyatnya.
Secara keseluruhannya, konflik Kashmir yang telah mengorbankan ratusan ribu nyawa penduduk awam seharusnya dilihat sebagai simbol kegagalan masyarakat antarabangsa terutamanya PBB menangani krisis kemanusiaan ini.
Seperti isu Palestin, walaupun PBB telah mengeluarkan tiga resolusi pada 1948, 1949 serta 1957 berhubung isu Kashmir, namun semuanya hanya di atas kertas semata-mata tanpa ada sebarang usaha yang berkesan.
Kini Kashmir mula dipandang dunia, selepas peristiwa Pulwama Attack (14 Februari 2019) dan tindakan Pakistan menembak jatuh dua pesawat tentera India pada 26 Febuari lalu.
Penyelesaian yang lebih konkrit wajib dilakukan oleh PBB kerana jika konflik ini berterusan, sudah semestinya rakyat awam di Kashmir yang akan menjadi mangsa.
Kita mengidamkan Kashmir benar-benar aman, indah dan cantik satu hari nanti!
Rujukan:
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
www.en.wikipedia.org/wiki/Kashmir_conflict
https://www.aljazeera.com/news/2019/02/kashmir-conflict-explained-190227145750670.html
Muhammad Aiman Mohd Zin
Aktivis MyCARE
FB: Aiman Khairul Azzam
Kredit foto: The Mirror