Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menzahirkan keprihatinan dengan situasi perang saudara yang meletus di Sudan sejak April 2023, antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) yang dipimpin oleh Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang diketuai oleh Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo (Hemedti).
IKRAM mengecam sekeras-kerasnya peperangan ini, yang mengakibatkan krisis kemanusiaan terburuk dunia yang mengorbankan puluhan ribu nyawa, jutaan rakyat kehilangan tempat tinggal, kekurangan keperluan asas, sistem kesihatan yang hampir lumpuh, insiden kekejaman dan genosid, serta kegagalan usaha damai.
Penyelesaian kepada konflik yang kompleks ini memerlukan pendekatan pelbagai hala melibatkan pihak domestik dan antarabangsa:
1. Menghentikan Keganasan Serta-merta
IKRAM menggesa semua pihak yang berkonflik (RSF dan Angkatan Tentera) agar segera melaksanakan gencatan senjata dan menghentikan pertempuran serta-merta untuk membolehkan penghantaran bantuan dan laluan selamat bagi orang awam.
2. Langkah Proaktif Kerajaan Malaysia
IKRAM turut menggesa agar kerajaan Malaysia untuk mengambil peranan yang lebih proaktif dalam menangani krisis ini di peringkat antarabangsa (PBB) dan juga menggunakan platform OIC untuk mendesak gencatan senjata, menghentikan peperangan serta memulihkan keadaan di Sudan, termasuk menyelaraskan bantuan kemanusiaan.
3. Akses Bantuan Kemanusiaan Tanpa Sekatan
IKRAM juga menuntut pihak yang berperang membenarkan organisasi kemanusiaan menyalurkan bantuan segera, termasuk bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada rakyat yang terjejas, serta masyarakat antarabangsa dapat memberikan perhatian global yang lebih kepada krisis Sudan dan menyalurkan dana yang mencukupi dalam menghadapi krisis ini.
4. Rundingan Damai yang Inklusif
IKRAM menuntut supaya rundingan damai yang inklusif antara SAF dan RSF diteruskan semula, dengan melibatkan pihak berkepentingan awam, politik dan etnik Sudan yang lain, dengan matlamat untuk mencapai penyelesaian politik yang membawa kepada peralihan kepada pemerintahan awam yang demokratik.
Dengan usaha-usaha ini, IKRAM mendoakan agar perang saudara dan krisis kemanusiaan di Sudan menemui titik penghujung dan mencapai solusi yang sebaiknya dalam menyegerakan bantuan dan mencapai keamanan.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia




