Komunikasi Keluarga Berkesan Mampu Cegah Gejala Sosial

Komunikasi Keluarga Berkesan Mampu Cegah Gejala Sosial | IKRAM

Remaja hari ini ialah pemimpin, tenaga kerja dan penggerak utama negara pada masa akan datang. Apa yang mereka fikir, pelajari dan alami sekarang akan membentuk siapa mereka sepuluh atau dua puluh tahun akan datang. Justeru, remaja bukan beban, sebaliknya aset berharga yang perlu dijaga, dibimbing dan diberi peluang untuk berkembang.

Namun begitu, ramai remaja hari ini berdepan dengan cabaran tingkah laku sosial yang tidak sihat atau gejala sosial seperti buli termasuklah buli siber, penyalahgunaan dadah, ponteng sekolah atau hubungan bebas sehingga berlakunya pelbagai salah laku seksual. 

Mereka juga berdepan dengan tekanan akademik dan kesihatan mental, kurangnya bimbingan dan perhatian daripada keluarga atau komuniti sehingga ramai antara mereka terpengaruh dengan media sosial yang negatif.

Gejala sosial ini boleh mengakibatkan berlakunya pelbagai jenayah yang bukan hanya merosakkan maruah atau nyawa tetapi juga masa depan mereka.  Jika isu ini tidak ditangani, maka potensi yang ada ini boleh menjadi sia-sia, malah boleh bertukar menjadi liabiliti dan beban kepada negara.

Fenomena gejala sosial dalam kalangan remaja di Malaysia ini semakin mendapat perhatian masyarakat dan pembuat dasar. Faktor penyumbang kepada gejala ini bersifat pelbagai, meliputi pengaruh rakan sebaya, tekanan akademik, media sosial dan ketidakharmonian keluarga. Walau bagaimanapun, salah satu aspek penting yang sering dikaitkan dengan pencegahan gejala sosial ialah kualiti komunikasi dalam keluarga.

Komunikasi keluarga bukan sekadar proses pertukaran maklumat, tetapi merupakan saluran untuk membentuk nilai, norma dan emosi dalam kalangan ahli keluarga. Kajian menunjukkan bahawa gaya komunikasi yang positif antara ibu bapa dan anak menjadi benteng penting dalam membentuk sahsiah remaja dan mengurangkan risiko tingkah laku menyimpang.

Konsep komunikasi keluarga 

Komunikasi keluarga bermaksud proses interaksi antara ahli keluarga untuk berkongsi maklumat, emosi, nilai dan pandangan. Menurut teori Family Communication Patterns oleh Koerner dan Fitzpatrick, terdapat dua orientasi utama dalam komunikasi keluarga, iaitu orientasi perbualan (conversation orientation) dan orientasi kepatuhan (conformity orientation).

Keluarga dengan orientasi perbualan yang tinggi menekankan dialog terbuka, penerimaan terhadap pendapat anak dan interaksi dua hala yang positif. Sebaliknya, keluarga yang hanya menekankan kepatuhan tanpa ruang dialog cenderung menghasilkan hubungan yang tegang dan tertutup.

Dalam konteks Malaysia, komunikasi keluarga sering dipengaruhi oleh nilai budaya yang menekankan hormat kepada ibu bapa dan kepatuhan kepada autoriti. Walaupun nilai ini penting, pendekatan komunikasi yang terlalu autoritarian boleh mengehadkan keterbukaan remaja untuk berkongsi masalah, sekali gus meningkatkan risiko mereka mencari jalan keluar yang salah.

Kajian menunjukkan keluarga yang mengamalkan orientasi perbualan tinggi dan kepatuhan sederhana menghasilkan remaja yang lebih stabil emosi, berkeyakinan, dan mempunyai kawalan diri yang baik.

Peranan komunikasi keluarga dalam mencegah gejala sosial 

Komunikasi keluarga memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk sahsiah dan mencegah gejala sosial dalam kalangan ahli keluarga, khususnya remaja.

Apabila komunikasi dalam keluarga berjalan dengan baik, hubungan menjadi rapat dan setiap ahli berasa dihargai serta difahami. Keadaan ini membantu pembentukan nilai moral, akhlak dan tingkah laku mereka. 

  1. Mengeratkan hubungan kekeluargaan

Komunikasi yang terbuka dan mesra mewujudkan suasana kasih sayang dan saling mempercayai. Anak-anak yang rapat dengan ibu bapa lebih cenderung berkongsi masalah mereka dan tidak mudah terpengaruh dengan rakan sebaya yang negatif. 

  1. Mendidik dan membentuk nilai moral remaja

Komunikasi keluarga berfungsi sebagai saluran utama bagi ibu bapa menanam nilai murni, prinsip agama dan panduan moral kepada anak-anak. Perbualan tentang isu semasa, tanggungjawab sosial dan batas pergaulan membantu remaja memahami perbezaan antara tingkah laku yang boleh diterima dan yang menyalahi norma masyarakat. 

Melalui komunikasi, ibu bapa boleh menasihati, menegur dan membimbing anak-anak tentang bahaya gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah, salah laku seksual, jenayah serta kepentingan akhlak yang baik.

Didikan berterusan dapat mencegah mereka daripada terlibat dalam gejala sosial. Apabila nilai ini terbentuk kukuh, remaja lebih mampu menolak pengaruh negatif daripada rakan sebaya.

  1. Mengesan perubahan tingkah laku anak-anak

Apabila komunikasi antara ahli keluarga aktif, ibu bapa lebih mudah mengesan perubahan sikap, pergaulan atau masalah emosi anak-anak. Tindakan atau intervensi awal dapat diambil sebelum mereka terjebak dengan gejala sosial seperti ponteng sekolah, penyalahgunaan dadah atau jenayah remaja. 

Keluarga yang berkomunikasi dengan baik mampu memantau dan membimbing anak-anak menghadapi pengaruh luar seperti media sosial dan rakan sebaya. Kajian menunjukkan bahawa masalah komunikasi dalam keluarga meningkatkan risiko penglibatan remaja dalam buli siber.

Oleh itu, komunikasi yang terbuka membantu ibu bapa bertindak sebagai pengawal moral dan sosial kepada anak-anak.

  1. Menjadi sumber sokongan emosi

Remaja yang mempunyai hubungan komunikasi yang baik dengan ibu bapa cenderung berasa lebih selamat dan disayangi. Anak-anak yang berasa disayangi dan didengari oleh ibu bapa lebih stabil secara emosi. Mereka tidak akan mencari perhatian atau kasih sayang di luar rumah melalui cara yang salah seperti hubungan bebas atau penyertaan dalam kumpulan negatif.

Kajian mendapati bahawa komunikasi keluarga yang terbuka berkait rapat dengan tahap kemurungan dan kebimbangan yang lebih rendah dalam kalangan remaja. Sokongan emosi ini penting bagi kesejahteraan mental remaja dan mengurangkan kecenderungan mereka terlibat dalam tingkah laku menyimpang akibat tekanan psikologi.

  1. Membina budaya komunikasi berhemah

Keluarga yang membudayakan komunikasi terbuka, sopan dan beradab akan melahirkan generasi yang tahu menghormati orang lain dan mampu mengurus konflik dengan bijak.

Komunikasi yang terbuka membolehkan ibu bapa memahami cabaran remaja dalam dunia digital dan sosial masa kini. Bagi pihak remaja pula, mereka akan lebih memahami pandangan ibu bapa apabila interaksi berlaku secara empatik dan bukan bersifat menghukum. Hubungan dua hala ini membina kepercayaan yang menjadi asas kawalan sosial secara tidak langsung.

Proses pembesaran remaja adalah fasa pembelajaran buat mereka. Ada kalanya mereka tersilap langkah dan melakukan kesilapan. Ibu bapa perlu bijak mendepani situasi sebegini dan sepatutnya tidak terus menghukum tetapi perlu mengkaji kenapa ia berlaku dan cuba menyelesaikannya.

Anak-anak perlu dididik untuk bangun daripada kesilapan kerana kesilapan itulah yang akan mendewasakan mereka dan supaya mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa depan.

Justeru, komunikasi keluarga yang berkesan sangat penting dan mampu menjadi benteng utama dalam mencegah gejala sosial. Ibu bapa perlu menjadi pendengar yang baik, bersikap terbuka dan meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak supaya hubungan kekeluargaan kukuh dan anak-anak terlindung daripada pengaruh negatif luar.

Cabaran komunikasi keluarga masa kini 

Dalam era moden ini, keluarga berdepan pelbagai cabaran komunikasi akibat perubahan gaya hidup, kemajuan teknologi dan tekanan sosial. Cabaran-cabaran ini boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan serta peranan keluarga sebagai institusi utama pembentukan sahsiah.

Pelbagai cabaran komunikasi keluarga telah menyumbang kepada peningkatan gejala sosial dalam kalangan remaja. Kegagalan keluarga berkomunikasi dengan berkesan menyebabkan anak-anak mencari perhatian dan kasih sayang di luar rumah, sering kali melalui cara yang salah.

Antara cabaran utama ialah kesibukan ibu bapa. Tuntutan kerja dan gaya hidup moden menyebabkan masa bersama keluarga semakin berkurang. Remaja yang kurang diberi perhatian mudah berasa terabai dan terdorong mencari hiburan atau pengaruh rakan sebaya yang negatif.

Selain itu, pengaruh teknologi dan media sosial turut menjejaskan komunikasi bersemuka. Ahli keluarga lebih banyak berinteraksi melalui skrin berbanding berbual secara langsung. Hal ini menjadikan hubungan menjadi renggang dan sukar untuk ibu bapa memahami emosi serta permasalahan anak-anak.

Tekanan hidup dan masalah emosi turut menjadi penghalang. Apabila ibu bapa tertekan dengan masalah kewangan atau pekerjaan, mereka cenderung untuk berdiam diri atau cepat marah, sekali gus mengurangkan komunikasi yang sihat.

Perbezaan generasi dan nilai juga menjadi punca. Ibu bapa yang berfikiran tradisional mungkin gagal memahami cara hidup moden anak-anak, menyebabkan komunikasi berakhir dengan pertengkaran atau salah faham. Akibatnya, remaja lebih memilih untuk meluahkan perasaan kepada rakan, bukan kepada keluarga.

Ungkapan “didiklah anak mengikut zamannya” adalah sangat bertepatan. Ia bermaksud mendidik anak-anak dengan pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan, cabaran dan teknologi semasa sambil mengekalkan nilai-nilai asas seperti agama dan adab. 

Hal ini demikian kerana zaman mereka berbeza daripada zaman ibu bapa mereka, yang menuntut ibu bapa untuk mempelajari ilmu baharu atau kemahiran berkomunikasi dengan remaja agar jurang perbezaan pemikiran antara mereka dan anak remaja mereka dapat dikurangkan dan kesefahaman antara kedua-dua pihak dapat dihasilkan. 

Gaya keibubapaan yang terlalu mengawal atau keras boleh menimbulkan ketakutan dan menghalang komunikasi terbuka. Ibu bapa perlu mengimbangi antara disiplin dan kasih sayang dalam mendidik anak.

Cabaran komunikasi keluarga seperti kesibukan, pengaruh teknologi, tekanan hidup dan jurang generasi boleh melemahkan hubungan kekeluargaan dan menjadi faktor yang mendorong remaja terlibat dalam gejala sosial. Oleh itu, ibu bapa perlu meluangkan masa, mendengar dengan empati dan berkomunikasi secara terbuka bagi membentuk keluarga yang harmoni dan remaja yang berakhlak. 

Langkah-langkah meningkatkan komunikasi keluarga 

Komunikasi keluarga yang berkesan amat penting bagi mencegah remaja daripada terlibat dalam gejala sosial. Oleh itu, ibu bapa perlu meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak melalui aktiviti seperti makan malam atau beriadah bersama. Cara ini dapat mengeratkan hubungan dan menggalakkan perbualan terbuka.

Selain itu, ibu bapa harus mendengar dengan empati dan memberi ruang kepada anak meluahkan perasaan tanpa rasa takut. Komunikasi yang terbuka membantu remaja berasa disayangi dan difahami. Penggunaan gajet dan media sosial juga perlu dikawal supaya masa bersama keluarga tidak terabai.

Di samping itu, ibu bapa perlu sentiasa mendidik anak dengan nilai moral dan agama agar mereka tahu membezakan baik dan buruk. Kasih sayang yang ditunjukkan secara konsisten pula dapat membina keyakinan diri dan emosi positif dalam diri remaja.

Kesimpulan

Komunikasi dalam keluarga memainkan peranan penting sebagai benteng utama dalam mencegah gejala sosial remaja. Komunikasi yang terbuka, empatik dan berasaskan kasih sayang membantu membentuk keperibadian positif, meningkatkan kestabilan emosi serta memperkukuh kawalan sosial dalam diri remaja.

Oleh itu, usaha membendung gejala sosial tidak seharusnya hanya tertumpu pada sekolah atau pihak berkuasa, tetapi bermula di rumah melalui amalan komunikasi keluarga yang berkesan dan berterusan.

Ibu bapa perlu mewujudkan  suasana yang kondusif yang membuatkan anak-anak berasa selamat untuk berkongsi segala perkara tanpa rasa takut dimarahi. Sikap mendengar tanpa menghakimi sangat penting agar anak tidak menyorokkan masalah mereka dan akan menjadikan ibu bapa orang pertama untuk mereka luahkan perasaan dan mengadu.

Komunikasi yang terbuka, penuh kasih sayang dan berterusan antara ibu bapa dan anak-anak mampu mengukuhkan hubungan kekeluargaan serta mencegah remaja daripada terjebak dalam gejala sosial.

Wahai ibu bapa, hadirlah dalam kehidupan anak-anak anda dengan sepenuh hati. Luangkan masa untuk berbicara dengan lembut, mendengar dengan sabar dan menasihati mereka dengan penuh kasih sayang. Kehadiran, suara dan kasih sayang anda merupakan kekuatan yang mampu mereka rasai walaupun anda tidak sentiasa berada di sisi.

Sentuhan emosi dan bimbingan yang ikhlas daripada ibu bapa akan menjadi benteng kukuh yang melindungi anak-anak daripada pengaruh negatif dan gejala sosial yang semakin mencabar pada masa kini.

Jadilah sumber inspirasi, tempat berlindung dan pendorong utama dalam setiap langkah kehidupan mereka kerana didikan dan kasih ibu bapa adalah benteng terbaik daripada segala keburukan dunia luar.

Dr Sabariah Baharun
Ahli Jawatankuasa Pusat
(Ahli Kumpulan Fokus Institusi Keluarga Utuh)
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia