Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada tahun 2018 yang lalu, perkataan kleptokrasi sering kita dengari. Ia bukan sesuatu yang baru, tetapi kerana jarang diguna pakai, ramai yang tertanya-tanya apakah maksud di sebaliknya.
Menurut Kamus Dewan, kleptokrasi merujuk kepada sebuah pemerintah yang dipimpin ahli-ahli yang korup menggunakan kuasa untuk mempergunakan rakyat dan sumber negara mereka agar dapat menambahkan kekayaan dan tampuk kekuasaan mereka sendiri. Sistem sebegini biasanya melibatkan penyelewengan simpanan negara sehingga menyusahkan rakyat.
Manakala Tuan Syed Farid Alatas melalui penulisannya ‘Makna negara kleptokratis’ yang diterbitkan pada kolum Malaysiakini (Julai 2016), Istilah kleptokrasi adalah sangat penting untuk memahami perbezaan antara negara yang hanya dipengaruhi oleh rasuah dengan negara yang dikuasai oleh rasuah.
Istilah negara kleptokratis merujuk kepada negara yang dikuasai oleh maling atau pencuri harta rakyat, manakala sebuah kleptokrasi merupakan pemerintahan oleh pencuri yang menyamar sebagai pegawai negara yang jujur. Ciri utama kleptokrasi adalah ia sejenis jenayah negara.
Beliau yang bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Sosiologi, Universiti Nasional Singapura berkata bahawa rasuah ditakrif sebagai pencurian melalui penipuan terhadap badan pemerintah, syarikat swasta ataupun orang awam dan terdiri daripada tiga komponen iaitu, penyuapan, pemerasan dan nepotisme.
Justeru, apa yang digembar-gemburkan semasa PRU14 lalu, sedikit sebanyak bertujuan menjatuhkan pemimpin yang kleptokrasi jelas menampakkan kebenarannya.
Antaranya, seorang bekas Perdana Menteri telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Bukan satu sahaja pertuduhan tetapi beberapa pertuduhan lainnya, iaitu pecah amanah wang RM42 juta milik sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), menyalahgunakan kedudukan, pengubahan wang haram dan pertuduhan menyeleweng dana GLC berjumlah RM42 juta.
Bukan itu sahaja, pada 10 Ogos 2020 pula, negara kita dikejutkan dengan seorang mantan Timbalan Perdana Menteri yang menghadapi 47 pertuduhan yang mana 12 daripadanya membabitkan kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik sebuah yayasan.
Kes-kes penyelewengan melibatkan tokoh berprofil tinggi sebegini boleh meragut kepercayaan rakyat terhadap mandat yang telah diberikan dan mencalar imej negara di mata dunia.
Setakat ini, baru dua orang ‘besar’ yang kita ketahui ‘kleptokrasinya’ terdedah. Mungkin selepas ini akan ada lagi yang mana satu-satu terkuak kini.
Ia memberi pengajaran bagaimana kerana kekuasaan yang ada, seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja tanpa memikirkan sebab dan akibat yang lebih besar yang bakal dihadapi kelak.
“Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.” (Asy-Syura: 30)
Segala kerosakan yang berlaku di darat mahupun di lautan berpunca daripada perbuatan manusia itu sendiri. Justeru, berfikirlah sebelum melakukan sesuatu agar akibat daripada apa yang dilakukan tidak terpalit kepada yang lain.
Jika ditelusuri sejarah lampau, kita dapati bagaimana kuasa sering menjadikan pemerintah dan para pemimpin lalai dan leka dengan dunia. Mereka lupa kuasa pemerintahan adalah satu bebanan amanah.
Dalam hadis riwayat Muslim, Abu Dzar RA pernah meminta kepada Rasulullah SAW agar diberikan jawatan dalam pemerintahan. Baginda dengan tenang menasihatkan beliau agar jangan meminta-minta jawatan bahkan menegaskan: “..jawatan itu merupakan amanah. Pada hari kiamat, ia adalah kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi siapa yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tugas dengan benar.”
Melalui hadis ini, baginda mengingatkan kita bahawa berhati-hatilah apabila telah punya kuasa pemerintahan, janganlah sanggup berbuat kerosakan agar tidak dihinakan di akhirat kelak.
Apa yang kita inginkan ialah sebuah negara yang sentiasa mendapat naungan dan rahmat Allah serta pemimpin yang benar-benar melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan sebaiknya.
لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَنْ يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا مِنْ رِزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
“Sungguh bagi Kaum Saba’ ada tanda (kebesaran Rabb) di kediaman mereka, iaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (Kepada mereka dikatakan:) “Makanlah daripada rezeki yang dianugerahkan Tuhan kalian dan bersyukurlah kepadaNya! Baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur.” (Saba’: 15)
Moga dengan itu, kita dapat mencapai sebuah negara yang Baldatun Thoyyibatun Wa Rabbur Ghafur ( بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ ) yang maksudnya ‘Negara yang baik dan Tuhan Yang Maha Pengampun’.
Perlu juga kita ketahui, apakah negara yang digambarkan Allah dalam ayat tersebut. Ia adalah sebuah negara yang menjadi dambaan dan impian seluruh umat manusia sebagaimana disebutkan dalam hadis, antara cirinya:
1. Negara yang selaras antara kebaikan alam dan kebaikan penduduknya.
2. Negara yang penduduknya subur dan makmur namun tidak lupa untuk bersyukur.
3. Negara yang seimbang antara kebaikan jasmani dan rohani penduduknya.
4. Negara yang aman daripada musuh, baik dari dalam mahupun luar.
5. Negara yang maju, baik dalam hal ilmu agama mahupun ilmu dunianya.
6. Negara yang pemimpinnya adil dan soleh, rakyat yang hormat dan patuh.
7. Negara yang padanya terjalin hubungan yang harmoni antara pemimpin dengan rakyat.
8. Masyarakatnya saling menasihati dalam kebenaran dan kesabaran.
Semoga negara kita dapat memenuhi ciri-ciri ini yang dipacu oleh pemimpin negara yang ikhlas, amanah, bersikap adil, kompeten dan berintegriti. Janganlah kita memilih pemimpin yang mengkhianati amanah dan mementingkan diri yang akan mengakibatkan negara dan rakyat terbeban menanggung kerosakannya.