Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berharap penyelidikan itu dapat memberi manfaat kepada pihaknya dalam mengekang pandemik COVID-19.
“Apa yang penting kita kena lihat cara menjalankan penyelidikan itu di empat hospital kalau tak silap saya dan kita harap mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara menjalankan penyelidikan,” katanya pada sidang media harian berkaitan COVID-19 pada Ahad.
Menurut laporan media sebelum ini, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bersama tiga hospital kerajaan iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tuanku Jaafar Seremban akan memulakan ujian klinikal bagi mencari penawar COVID-19 pada pertengahan April.
“Ketiga-tiga ubat iaitu Klorokuin, Hidroksiklorokuin dan kombinasi Lopinavir/Ritonavir sedia ada di Malaysia yang digunakan pihaknya bagi merawat penyakit lain didapati berkesan untuk merawat pesakit positif COVID-19,” ujarnya sebelum ini.
Sebagaimana dilaporkan, kajian terhadap Tocilizumab yang sebelum ini dijadikan penawar bagi radang sendi atau artritis rheumatoid, akan tertumpu kepada perbandingan Tocilizumab secara intravena dengan dos tinggi corticosteroid pada 300 pesakit teruk COVID-19.
“Banyak kajian telah dilaksanakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan beberapa pertubuhan antarabangsa, jadi sama-sama kita harap dapat dipertemukan vaksin dalam tempoh setahun ini,” jelasnya ketika ditanya mengenai perkembangan penghasilan vaksin COVID-19.