Kisah Hijrah Ummu Salamah: Kecekalan di Jalan Dakwah

Angin padang pasir menyapu lembut pipinya yang basah. Sudah berapa lama dia duduk di situ? Entahlah. Matahari terbit dan terbenam, tetapi hatinya masih terbelah antara suami yang tercinta, anak yang dirampas, dan impian hijrah yang belum kesampaian.

Namanya Hind binti Abi Umayyah, tapi dunia mengenalnya sebagai Ummu Salamah. Beliau adalah salah seorang wanita pertama memeluk Islam. Bersama suaminya, Abu Salamah dan para as-sabiqun al-awwalun yang lain, dia tegar menghadapi kezaliman kafir Quraisy di Makkah, sempat berhijrah ke Habsyah dan kembali semula Makkah.

Namun akibat tekanan masyarakat dan demi menyelamatkan akidah, akhirnya mereka akur dengan perintah Nabi SAW untuk berhijrah ke Kota Madinah.

Perjalanan hijrah pasti dipenuhi rintangan

Ketika dia dan suaminya baru sahaja bertolak keluar dari Makkah, keluarga Ummu Salamah iatu Bani al-Mughirah, datang menghalang kepergiannya. Mereka berteriak kepada suaminya: “Kalau kau ingin pergi, pergilah sendiri. Tapi anak perempuan kami tetap di sini!” Maka terpisahlah Ummu Salamah dari suaminya yang tersayang.

Belum sempat kering air mata Ummu Salamah, keluarga suaminya pula datang merampas anaknya, Salamah. Mereka mengambilnya secara paksa dan merentap tangan Salamah hingga bahu anak kecil itu terkehel kesakitan. Kini ketiga-tiganya, isteri, suami dan anak terpisah satu sama lain. Tubuhnya terasa hancur dan jiwanya seperti kehilangan nyawa.

Dia menunggu dengan penuh harapan sambil bercerita tentang kesedihan yang dilaluinya:

“Aku keluar setiap pagi ke Lembah Abtah, tempat aku terakhir melihat mereka, dan menangis hingga petang.”

Penantian berakhir 

Satu tahun berlalu dalam penantian dan doa. Kini perlahan-lahan hati keluarga Bani Asad dan Bani Makhzum mulai luluh. Akhirnya mereka membenarkan Salamah kembali ke pangkuan ibunya.

Adakah Ummu Salamah bersantai-santai melepas rindu setelah kembali bersama anaknya? Tidak sama sekali. Justeru, dia segera bangkit dan bergerak. Tanpa suami, tanpa sesiapa menemani di sisi, dia nekad memulakan perjalanan hijrah seorang diri.

Bayangkan seorang wanita, dalam gurun yang panas membakar, menempuh perjalanan dari Makkah ke Madinah yang lebih 400 kilometer jauhnya hanya bertemankan anak kecilnya, Salamah.

Ternyata Allah tidak membiarkannya. Di tengah jalan, seorang lelaki Quraisy yang masih belum Islam, Uthman bin Talhah, terserempak dengan Ummu Salamah dan menawarkan bantuan.

Dengan penuh hormat dan adab, dia menuntun unta Ummu Salamah sepanjang perjalanan. Apabila mereka hampir ke Quba’ (pinggir Madinah), dia meninggalkan Ummu Salamah dan anaknya seraya berkata, “Di desa itulah suamimu menetap, masuklah ke sana.”

Sukar dibayangkan perasaan Ummu Salamah. Air matanya jatuh lagi, menyambut pertemuan dengan suaminya yang telah lama dirindukan. Tiga hati kini kembali dalam satu pelukan.

Sidang pembaca yang budiman, kini kita mengerti, hijrah bukan hanya tentang jarak yang memisahkan, tetapi tentang hati yang setia kepada Allah dan kekal bertahan menggenggam keimanan walau ditaburi rintangan.

Apa yang kita pelajari daripada hijrah Ummu Salamah?

1) Iman dan tawakal adalah kunci ketabahan. Ummu Salamah, antara wanita pertama yang memeluk Islam, telah membuktikan keteguhan iman yang berakar dalam hatinya. Dengan sabar, beliau menanti selama setahun demi menyempurnakan perintah hijrah. Ia bukan suatu tempoh yang singkat, tetapi dilalui dengan kekuatan jiwa yang bersandar penuh tawakal kepada Allah SWT.

2) Apabila hati terpaut kepada Allah, tiada rintangan yang terasa mustahil. Ruhiyah yang teguh membentuk jiwa yang tabah menghadapi ujian. Sejarah juga mencatatkan Ummu Salamah sebagai antara wanita terawal yang berhijrah. Bukan sekali, tetapi dua kali; ke Habsyah dan kemudian ke Madinah. Setiap langkahnya adalah bukti cinta dan kepatuhan kepada Allah Azzawa0alla.

3) Ikatan kekeluargaan menjadi sumber kekuatan. Cinta kepada keluarga dan cinta kepada Allah bukanlah dua hal yang terpisah. Malah, ia saling menguatkan. Ummu Salamah membawa cinta itu bersama hijrahnya dalam linangan air mata dan harapan yang tak pernah padam.

4) Keanjalan sikap: Kunci ketabahan dalam hijrah

Ummu Salamah berhijrah dua kali, hidup bersama suami lalu diuji hidup sendiri, bermusafir jauh membawa anak kecil, namun beliau tetap tenang, tegar dan tidak goyah. Beliau memiliki keanjalan sikap, sehingga mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai senario dan liku-liku kehidupan. Inilah yang menjadikan beliau istiqamah dalam dakwah, meskipun cabaran datang dari pelbagai arah.

Hijrah adalah suatu kenescayaan

Sidang pembaca yang saya muliakan. 

Mungkin kita juga sedang melalui perjalanan hijrah. Jika bukan hijrah secara fizikal, boleh jadi kita sedang melalui proses hijrah jiwa, dari kelalaian kepada kesedaran, dari jiwa yang dihantui kekosongan kepada jiwa yang dipenuhi optimisme penuh harapan.

Seperti Ummu Salamah, mungkin kita juga akan diuji, ditinggalkan atau terpisah dari orang yang kita sayang. Mungkin kita dituntut menyesuaikan diri dengan situasi-situasi yang membuat kita perlu bersifat anjal dalam beradaptasi. 

Sesukar apapun proses itu, percayalah:

“Sesungguhnya tidaklah engkau meninggalkan sesuatu kerana Allah Azzawajalla, melainkan Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik untukmu.” (HR Ahmad)

Yakinlah bahawa kesukaran dan kesedihan itu akan berakhir dengan kemudahan dan kemenangan.

Semoga ketabahan, kecekalan dan sikap keanjalan Ummu Salamah di medah hijrah mengajar kita untuk thabat (teguh) di atas kebenaran dan sentiasa melalui proses hijrah ke arah kebaikan sehingga Allah SWT menjemput kita kelak.

Salam Maal Hijrah.

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia