Dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Penduduk (JPP) Zon Jenderam, IKRAM Kawasan Sepang dan IKRAM Kawasan Kuala Selangor, program tersebut berakhir dengan meriah sekali.
“Program yang julung-julung kali dianjurkan adalah sebagai program perintis kepada para pelajar SMIH,” kata pengarah program, Muallimah Norzalina Nordin di hadapan kira-kira 80 orang peserta Tingkatan 4.
Menurutnya, para peserta pada kali ini terdiri daripada barisan pelapis kepimpinan yang akan melihat tarbiah serta pembangunan diri adik-adik mereka di Hira’ kelak.
“Oleh yang demikian, besarlah harapan kami agar mereka dapat memanfaatkan peluang isi sebagai salah satu sarana tarbiah kepada mereka dan dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka,” tegas beliau.
Norzalina berkata, anak-anak Hira’ datang daripada keluarga yang senang. Seawal tiba ke kampung ini, mereka diuji dengan ketiadaan bekalan air.
“Pada mulanya mereka agak panik, namun apabila mereka tahu ada sungai berdekatan mereka sangat gembira dan menggunakan air sungai sepenuhnya untuk mandi dan memasak,” tambah Norzalina lagi.
Menurut Pengetua SMIH, Isharuddin Ismail, program yang dirancang selama dua bulan ini merupakan suatu titik tolak kepada para pelajar Hira’ untuk belajar melalui realiti semasa.
“Kerana untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat, mereka perlu menyantuni ummah dengan sifat berlapang dada, berjiwa besar, sentiasa menyampaikan dakwah serta mempunyai sifat itsar iaitu melebihkan saudaranya daripada diri mereka sendiri,” jelasnya.
Beliau mengambil ibrah daripada ayat al-Quran dalam surah Saba’ ayat 15 di mana Allah SWT menyebut ‘Baldatun thoyyibatun wa rabbun ghafuur’ dan mengajak pemimpin untuk beramanah dan menyebarkan sifat rahmah yang membumi kepada segenap manusia dan hidupan di dunia ini.
“Sebenarnya sekolah tidak mempunyai belanjawan khusus untuk melaksanakan program ini, namun kerana kami melihat besarnya manfaat yang akan pelajar perolehi daripada program ini, maka kami jana bajet khusus untuk memastikan program ini dapat dijayakan,” terangnya bersungguh-sungguh.
Bagi Ahli Majlis dan Pengerusi JPP Zon Jenderam, Mohd Syahrul Amri Mat Sari pula, program yang dilaksanakan ini dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang realiti sebenar masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama.
“Untuk menjadi pemimpin, kita perlulah menguasai ilmu komunikasi dan mampu untuk berkomunikasi dengan masyarakat di pelbagai peringkat,” pesan Amri.
Menurutnya, Menteri Pendidikan Malaysia juga ada menyebut bahawa kemenjadian pelajar pada masa kini tidak hanya diukur daripada penguasaan 3M sahaja, malah M yang keempat perlu ada dalam diri setiap pelajar iaitu Manusia sejajar dengan ayat al-Quran dalam surah al-Anbiyaa’ ayt 107 yang bermaksud: “Tidaklah kami mengutuskanmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam”.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengalu-alukan lagi sebarang bentuk kerjasama pada masa akan datang, baik dari pihak sekolah mahupun NGO kerana beliau berhasrat untuk mempromosikan Sepang sebagai kawasan pelancongan bersempena dengan pengisytiharan Tahun Melawat Sepang pada 2020 nanti.
Dalam ucapan perasmian penutup, YDP IKRAM Sepang, Mohd Qhalid Abdul Hafidz memberitahu kepada semua bahawa program ini adalah program kali kelima IKRAM Sepang terlibat menyantuni masyarakat Orang Asal di sini.
“Sebenarnya, tanpa adik-adik sedar, adik-adik telah menjadi duta Islam seperti Mus’ab bin Umair sewaktu beliau mengetuk pintu-pintu rumah di Kota Madinah sebelum hijrahnya Nabi SAW,” kata Qhalid dengan penuh semangat.
Tambahnya, keberanian para peserta mengetuk pintu-pintu rumah Orang Asal di sini patut dipuji kerana sikap mereka yang bersungguh-sungguh ingin berdakwah dan ingin mendekati komuniti Orang Asal sepanjang mereka berprogram di sini.
Program tersebut turut dihadiri oleh Pengurus Besar, Sri Hira’ Development, Hj Mohamed Fariz Mohamed Fadhlullah, AJK IKRAM Kuala Selangor, Supeki Jani, Pengerusi JK Dakwah IKRAM Sepang, Muhammad Bukhari Saiful Bahri, Pengerusi JK Kampung Orang Asli Batu 28, Mohamad Ridhwan Sia Abdullah dan Penggerak Masyarakat Orang Asli JAKIM, Puan Maslina Mohammad Amirrudin.
Program ini turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan sukaneka yang telah berlangsung pada sebelah pagi. IKRAM Sepang turut mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan ‘Back to School’ kepada anak-anak orang asli yang turut hadir dalam program tersebut.