Kebelakangan ini, kes rogol dalam kalangan pelajar sekolah semakin membimbangkan.
Berdasarkan statistik Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), terdapat 5,405 kes rogol yang melibatkan pesalah juvana bagi tempoh 2016 hingga 2024, menunjukkan trend yang berterusan setiap tahun, termasuk 547 kes yang direkodkan pada tahun 2024 sahaja.
Angka-angka ini adalah data yang diterima melalui laporan. Bilangan sebenar kejadian dijangkakan lebih banyak lagi.
Kes-kes ini sering kali mendapat liputan media dan terkini adalah kejadian salah laku rogol berkumpulan yang berlaku di Melaka melibatkan empat pelajar tingkatan lima dan mangsanya seorang pelajar perempuan tingkatan tiga.
Kejadian seumpama ini menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat. Hal ini menunjukkan bahawa terdapat kelemahan dalam sistem perlindungan dan pendidikan terhadap golongan remaja sama ada kepada pelaku mahupun kepada mangsa.
Pelbagai pihak boleh dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan, namun antara pihak yang paling penting dalam menangani isu ini ialah institusi keluarga.
Keluarga merupakan benteng pertahanan pertama dalam membentuk peribadi dan melindungi anak-anak daripada bahaya jenayah seksual. Oleh itu, keluarga perlu memainkan peranan aktif dalam usaha mencegah dan menangani kes rogol yang melibatkan remaja terutama pelajar sekolah.
Pendidikan dan komunikasi terbuka
Pertama sekali, ibu bapa perlu memberikan pendidikan seksual yang sesuai mengikut peringkat umur anak-anak. Ramai ibu bapa beranggapan bahawa topik ini tidak sesuai dibincangkan dengan anak-anak yang masih bersekolah, sedangkan pendedahan awal sangat penting bagi membina kesedaran dan ketegasan diri anak.
Anak-anak perlu diajar tentang bahagian tubuh yang perlu dilindungi, perbezaan antara sentuhan selamat dan tidak selamat serta bagaimana untuk mengatakan “tidak” apabila berhadapan dengan situasi yang mencurigakan.
Pendidikan ini dapat membantu anak mengenal pasti tanda-tanda awal bahaya dan mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa. Memahami akibat perbuatan seksual seperti berlakunya kehamilan juga dapat mengelakkan remaja terjebak dalam aktiviti seksual termasuk rogol.
Selain itu, mewujudkan komunikasi yang terbuka antara ibu bapa dan anak-anak juga sangat penting. Anak-anak perlu berasa selesa dan yakin untuk berkongsi masalah atau pengalaman mereka tanpa takut dimarahi atau dipersalahkan.
Ramai mangsa rogol tidak berani bersuara kerana takut akan reaksi ibu bapa yang mungkin marah atau menyalahkan mereka.
Oleh itu, ibu bapa perlu menunjukkan sikap terbuka, penyayang dan memahami agar anak-anak dapat menjadikan mereka tempat perlindungan pertama jika berlaku sesuatu yang buruk.
Pemantauan dan didikan agama
Tambahan pula, ibu bapa perlu memantau pergaulan, aktiviti dan penggunaan media sosial anak-anak. Dalam era digital ini, ramai pelajar sekolah terdedah kepada risiko jenayah seksual melalui media sosial. Ramai pelaku menggunakan platform seperti Instagram, TikTok atau aplikasi sembang untuk mendekati mangsa.
Oleh itu, ibu bapa harus mengetahui dengan siapa anak mereka berkawan dan menetapkan had penggunaan Internet. Langkah ini bukanlah bermaksud mengongkong dan menidakkan privasi anak-anak, tetapi ia adalah demi keselamatan mereka.
Memantau dan menghalang anak-anak daripada menonton video-video lucah yang seterusnya menyebabkan ketagihan juga boleh mencegah anak-anak terdedah kepada salah laku seksual sama ada secara rela mahupun paksa seperti dalam kes rogol.
Ibu bapa seharusnya sentiasa mengawasi dan tidak mengambil mudah perkembangan yang berlaku dalam kehidupan anak-anak mereka dengan anggapan mereka sudah besar.
Hakikatnya, peringkat remaja anak-anak ini masih mencari-cari identiti mereka dan tanpa pantauan dan kawalan daripada ibu bapa, mereka mungkin hanyut mengikut ajakan dan dorongan kawan-kawan sebaya kepada perbuatan maksiat dan gejala sosial yang merosakkan diri dan masa depan mereka.
Lebih penting lagi, agama memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak mulia, harga diri dan disiplin dalam diri anak-anak. Nilai agama mengajar tentang dosa pahala, halal dan haram serta kewajipan menjaga maruah diri.
Anak-anak yang dididik dengan asas agama yang kuat lebih cenderung untuk menjauhi perbuatan maksiat, menjaga batas pergaulan dan mengelakkan diri daripada berada dalam situasi berisiko.
Dalam Islam misalnya, terdapat penekanan terhadap penjagaan aurat, adab dalam pergaulan dan tanggungjawab menjaga kehormatan diri. Justeru, keluarga perlu menjadi contoh teladan dalam mengamalkan ajaran agama agar anak-anak dapat meneladani dan menghayatinya dalam kehidupan seharian.
Pentingnya lelaki qawwam
Penekanan kepada tanggungjawab dan hubungan lelaki terhadap wanita terutama dalam menjaga kesejahteraan keluarga dan masyarakat amat penting. Allah SWT telah berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 34 yang antara maksudnya, “Kaum laki-laki adalah qawwam bagi kaum wanita…”
Perkataan “qawwam” ertinya pemelihara, pelindung atau pemimpin. Ia bukan soal penguasaan kuasa mutlak, tetapi tanggung jawab sosial dan keluarga yang dibebankan kepada laki-laki seperti memberi nafkah, perlindungan dan bimbingan.
Sifat “lelaki qawwam” ini perlu ditanamkan dalam diri setiap lelaki dalam setiap keluarga sejak mereka kecil. Bapa atau suami perlu menjadi contoh kepada anak-anak dalam memimpin dan melindungi kaum wanita dalam keluarganya.
Wujudnya sifat ini dalam kalangan kaum lelaki dapat mencegah mereka daripada mengasari, mendera atau mencederakan kaum wanita seperti kes rogol ini. Mereka sepatutnya merasakan wanita-wanita lemah ini adalah mereka yang perlu dilindungi dan dipelihara kesejahteraannya.
Peranan ibu bapa dan guru
Sekiranya berlaku kes rogol, keluarga harus bertindak segera dan memberi sokongan emosi serta bantuan undang-undang kepada mangsa. Mangsa tidak sepatutnya dipersalahkan, sebaliknya diberi rawatan, kaunseling dan sokongan psikologi.
Ibu bapa perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membawa pelaku ke muka pengadilan walaupun pelaku merupakan orang yang dikenali atau ahli keluarga sendiri. Sikap berdiam diri hanya akan memburukkan keadaan dan memberi ruang kepada pelaku untuk terus melakukan jenayah tersebut.
Sinergi antara ibu bapa dan pihak sekolah boleh diperkukuh melalui peranan aktif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai platform rasmi yang menyatukan kedua-dua pihak dalam menangani isu keselamatan, akhlak dan kesejahteraan pelajar.
Melalui PIBG, pelbagai inisiatif pencegahan dapat dirancang secara bersama, termasuk penganjuran sesi kesedaran tentang pendidikan seksual secara beretika, pengesanan awal tanda-tanda gangguan serta kempen memperkukuh nilai moral dan adab dalam kalangan pelajar.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman, tetapi turut membina rasa tanggungjawab bersama terhadap kesejahteraan anak-anak di sekolah
Selain menjadi saluran komunikasi dua hala, PIBG juga berperanan sebagai medium advokasi yang menyatukan suara ibu bapa untuk menyokong dasar dan program sekolah berkaitan perlindungan pelajar.
Melalui penglibatan aktif, PIBG dapat membantu membentuk persekitaran sekolah yang lebih selamat, kondusif dan berteraskan nilai kasih sayang serta amanah antara guru, ibu bapa dan komuniti setempat.
Keakraban hubungan ini menjadi asas penting dalam membina budaya sekolah yang peka terhadap isu keselamatan dan kesejahteraan pelajar.
Dari sudut pencegahan, pendidikan awal di rumah dan diteruskan di sekolah memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak serta kesedaran seksual yang betul dalam kalangan pelajar.
Ibu bapa dan guru perlu saling melengkapi antara satu sama lain bagi menjayakan pembinaan sahsiah pelajar. Ibu bapa berperanan sebagai pembimbing utama di rumah, manakala guru sebagai pendidik dan pemerhati di sekolah agar pelajar diberikan pendedahan yang sesuai dan selamat tentang batas diri, tanggungjawab serta maruah diri.
Dalam konteks pemantauan, kerjasama erat antara ibu bapa dan guru dapat mempercepat pengesanan awal risiko atau trauma. Ibu bapa lazimnya lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak di rumah, manakala guru pula dapat mengesan tanda-tanda gangguan atau tekanan emosi di sekolah.
Melalui komunikasi terbuka dan saling percaya, sebarang petunjuk awal jenayah seksual dapat dikenal pasti serta ditangani dengan segera sebelum menjadi lebih serius.
Tanggungjawab besar keluarga
Kesimpulannya, keluarga khususnya ibu bapa memegang tanggungjawab yang amat besar dalam usaha menangani isu rogol dan jenayah seksual dalam kalangan pelajar.
Dengan memainkan peranan secara aktif melalui pendidikan, pemantauan, didikan agama dan sokongan emosi, keluarga dapat berfungsi sebagai benteng pertama yang melindungi anak-anak daripada menjadi pelaku atau mangsa kepada jenayah yang kejam ini.
Dalam masa yang sama, semua pihak perlu sedar bahawa pencegahan bermula di rumah. Keluarga yang prihatin mampu melahirkan generasi yang bermaruah, berakhlak serta selamat daripada ancaman jenayah seksual.
Dr Sabariah Baharun
Ahli Jawatankuasa Pusat
Ahli Kumpulan Fokus Institusi Keluarga Utuh
Pertubuhan IKRAM Malaysia