Rakyat Malaysia dikenali sebagai masyarakat yang murah hati dan ringan tulang kerana sering kali menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk terutamanya saat berlaku musibah. Namun, di sebalik keikhlasan rakyat menghulurkan sumbangan, timbul satu persoalan apabila semakin banyak kes penyelewengan sumbangan derma didedahkan.
Sejauh manakah sistem sedia ada mampu memastikan dana derma awam diurus secara telus, beretika dan beramanah?
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) merekodkan sebanyak 32,301 pertubuhan aktif di Malaysia yang tergolong dalam kategori pertubuhan kebajikan. Ini merangkumi 32 peratus daripada keseluruhan pertubuhan aktif yang mendaftar dengan ROS.
Angka ini mencerminkan kerancakan ekosistem kerja kebajikan di negara ini, merangkumi pelbagai skala operasi iaitu daripada pertubuhan kecil yang digerakkan secara sukarela, sehinggalah organisasi besar yang mengurus kutipan dana awam bernilai jutaan ringgit, termasuk melalui platform digital dan media sosial.
Namun, isu sebenar bukan terletak pada bilangan atau saiz pertubuhan, sebaliknya pada ketiadaan sistem kawal selia yang berstruktur dan bersepadu bagi membezakan skala operasi serta tahap risiko pengurusan dana.
Derma awam buka ruang penyelewengan
Kutipan derma daripada orang awam melibatkan amanah yang besar. Tanpa kerangka pengawasan yang jelas, ia membuka ruang untuk salah urus dan penyalahgunaan dana.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai pendedahan berkaitan penyelewengan dana derma telah dilaporkan, melibatkan kempen bantuan kebajikan, kemanusiaan, rumah perlindungan dan pelbagai lagi.
Kes penyalahgunaan ini bukan sahaja mencetuskan kegusaran awam, malah memberi kesan mendalam terhadap tahap kepercayaan penderma. Setiap insiden yang terbongkar bukan sekadar menjejaskan kredibiliti organisasi terlibat, tetapi turut memberi tempias kepada pertubuhan-pertubuhan lain yang beroperasi secara jujur, telus dan beretika.
Apabila satu demi satu kes penyalahgunaan dana didedahkan, ia membina naratif skeptikal bahawa kutipan derma mudah dimanipulasi dan sumbangan orang ramai berisiko besar disalah guna. Keadaan ini boleh mempengaruhi semangat kebajikan dalam masyarakat dan akhirnya merugikan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.
Kecanggihan teknologi membolehkan derma dikutip dalam tempoh singkat, merentas sempadan geografi, hanya melalui satu pautan atau kod QR. Walaupun kemudahan ini mempercepat bantuan sampai kepada mangsa bencana dan golongan terdesak, ia juga mewujudkan cabaran baharu kepada pihak berkuasa.
Kutipan derma dalam talian jauh lebih sukar dipantau berbanding kutipan secara fizikal, terutamanya apabila dilakukan oleh individu atau kumpulan tidak berdaftar.
Keadaan ini turut membuka ruang kepada segelintir pihak yang menyedari kelompongan sistem sedia ada untuk memanipulasi sentimen agama, kebajikan dan kemanusiaan bagi tujuan mengutip sumbangan, sambil mengaut keuntungan peribadi secara tidak beretika.
Cabaran kawal selia kutipan derma
Pada masa ini, kawal selia aktiviti kutipan derma di Malaysia dikawal secara berasingan dan bergantung kepada jenis entiti yang mengurus kutipan tersebut. Syarikat tertakluk kepada Akta Syarikat 2016 di bawah pengawasan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Yayasan pula dikawal selia di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952, dengan pengawasan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang. Bagi kutipan derma berkaitan aktiviti agama Islam, ia berada di bawah bidang kuasa majlis agama Islam negeri masing-masing.
Aktiviti kutipan derma secara fizikal dari rumah ke rumah atau di tempat awam memerlukan permit polis seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947, di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia. Manakala, bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pematuhan adalah di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan Surat Pekeliling Am Bil. 6 Tahun 1987, dengan pengawasan oleh ROS.
Namun begitu, NGO tidak diwajibkan untuk menerbitkan laporan kewangan tahunan kepada umum. Laporan yang dihantar kepada ROS kebiasaannya hanya boleh diakses oleh ahli pertubuhan dan tidak didedahkan kepada penderma luar. Keadaan ini menjadikan tahap akauntabiliti terhadap penderma sangat terhad, walaupun dana yang dikutip datang sepenuhnya daripada orang ramai.
Selain itu, tiada peraturan yang jelas mengenai had perbelanjaan pentadbiran, pemasaran atau komisen. Walaupun adalah wajar bagi sesebuah organisasi menanggung kos operasi, ketiadaan garis panduan menyebabkan sebahagian dana derma digunakan secara berlebihan untuk tujuan pentadbiran, promosi atau bayaran komisen kepada pihak tertentu. Amalan ini sering berlaku di luar pengetahuan penderma dan sukar dipantau secara telus.
Justeru, penyelewengan derma yang semakin kerap didedahkan harus dilihat sebagai petunjuk jelas bahawa sistem kawal selia harus ditambah baik.
Pantau urusan derma
Pengukuhan sistem pemantauan dan akauntabiliti tidak sepatutnya menyekat atau menyusahkan kerja kebajikan, tetapi dibuat untuk melindungi amanah penderma serta memastikan setiap sumbangan benar-benar sampai kepada golongan yang berhak.
Sistem audit kewangan perlu diperkenalkan atau diperkemas bagi semua pertubuhan yang mengutip dana awam, dengan pendekatan berperingkat mengikut skala operasi.
Pertubuhan besar yang mengurus dana bernilai jutaan ringgit wajar menjalani audit penuh oleh firma bebas, manakala pertubuhan kecil boleh menggunakan audit dalaman berpandukan garis panduan standard yang ditetapkan. Pelaporan kewangan ringkas kepada umum pula boleh meningkatkan keyakinan penderma tanpa membebankan organisasi kecil.
Dalam masa yang sama, standard tadbir urus dan penggunaan dana perlu diperjelas. Perbelanjaan pentadbiran dan pemasaran wajar dihadkan pada kadar munasabah, manakala pengambilan komisen atau keuntungan peribadi daripada dana awam perlu dilarang secara tegas. Pendekatan ini penting bagi mengekalkan integriti sektor kebajikan tanpa menafikan keperluan operasi asas.
Masyarakat khususnya penderma perlu dididik agar lebih berwaspada, termasuk menyemak latar belakang pertubuhan, status pendaftaran serta tahap ketelusan pelaporan sebelum menderma.
Sikap berhati-hati ini bukan untuk menghalang amalan sedekah, tetapi sebagai usaha memelihara amanah dan memastikan sumbangan benar-benar memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.
Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia




