Kes Johnny Depp – Amber Heard: Kronologi Dan Pengajaran

Kes Johnny Depp - Amber Heard: Kronologi Dan Pengajaran | IKRAM

PELAKON Hollywood terkenal, Johnny Depp telah memenangi kes saman fitnah terhadap bekas isteri yang juga aktres, Amber Heard dengan ganti rugi sebanyak USD15 juta (RM65.7 juta) pada Rabu, 1 Jun lalu.

Namun begitu, juri memihak kepada Heard dalam satu tuntutan balasnya terhadap Depp dan mengarahkan Depp membayar bekas isterinya itu USD2 juta (RM8.78 juta).

Jumlah ganti rugi untuk Depp kemudian dikurangkan kepada USD10.35 juta (RM45 juta), selari dengan had punitif yang dibenarkan undang-undang di negeri itu.

Keputusan itu diputuskan oleh tujuh orang juri yang bersidang di Mahkamah Circuit di Fairfax Country, Virginia, Amerika Syarikat setelah enam minggu perbicaraan kes tersebut berlangsung.

Juri telah mendapati kedua-dua Amber Heard dan Johnny Depp bertanggungjawab atas fitnah dalam tindakan undang-undang mereka terhadap satu sama lain. Juri memberikan lebih banyak ganti rugi kepada Depp, satu kemenangan undang-undang untuk pelakon itu.

Juri mendapati Heard memfitnah Depp dalam tiga kenyataan berasingan dalam The Washington Post, dan Depp memfitnah Heard dengan satu kenyataan peguamnya.

Juri-juri yang mendengar perbicaraan itu mendapati bahawa artikel yang ditulis Heard pada 2018 mengenai dakwaan keganasan rumah tangga adalah fitnah dan berniat jahat, memusnahkan reputasi dan merosakkan karier Depp.

Kronologi kes saman Johnny Depp terhadap Amber Heard

Kes ini unik dan menggemparkan dunia kerana ia melibatkan kedua-dua pelakon terkenal dan kes dakwaan penderaan isteri terhadap suami, begitu juga sebaliknya. Berikut adalah kronologi ringkas kes tersebut:

2015: Johnny Depp dan Amber Heard berkahwin.

2016: Heard memfailkan tuntutan cerai dengan tuduhan bahawa Depp menderanya secara fizikal.

2017: Depp bercerai secara rasmi dengan Heard.

2018: Heard menulis di akhbar Washington Post mengenai rawatan bagi wanita yang mengalami kes keganasan rumah tangga. Heard menulis bahawa beliau adalah figura awam yang mewakili keganasan rumah tangga.

Walaupun tidak disebutkan siapa yang dimaksudkan, namun ramai yang menganggap Depp yang melakukannya.

Walt Disney pula menggugurkan nama Depp daripada filem Pirates of the Caribbean.

2019: Depp memfailkan saman fitnah USD50 juta (RM219.5 juta) terhadap Heard atas dakwaan mencemarkan nama baiknya dalam artikel di Washington Post.

Lebih mengejutkan, Depp mendakwa Heard bukanlah mangsa keganasan rumah tangga, tetapi Heard adalah pelakunya, dan dakwaan keganasan adalah mencemarkan nama baiknya yang dilakukan Heard demi popularitinya.

Lantaran itu, Heard pula mengemukakan tuntutan balas sebanyak USD100 juta (RM439 juta) dengan mendakwa Depp mencemarkan reputasinya.

2020: Tersebar rakaman suara Heard dan Depp. Dalam rakaman ini, Heard mengaku telah memukul Depp.

Selain itu, Depp menyaman akhbar The Sun UK yang didakwa menggelarnya ‘pemukul isteri’ dalam satu artikel. Namun, beliau kalah dalam saman tersebut.

Setelah itu, Depp memaklumkan bahawa beliau diarahkan Warner Bros supaya berundur daripada filem Fantastic Beasts.

2022: Depp menang saman fitnah terhadap Heard dengan ganti rugi USD15 juta (RM65.7 juta), manakala Heard turut menang saman balas dengan ganti rugi sebanyak USD2 juta (RM8.78 juta).

Pengajaran kes saman Johnny Depp terhadap Amber Heard

Banyak pengajaran daripada kes saman fitnah Johnny Depp terhadap Amber Heard yang boleh kita ambil iktibar dan pedoman, antaranya pengaruh media, rumah tangga, menegakkan kebenaran dan kesabaran.

Betapa pengaruh media sangat besar terhadap kehidupan seseorang terutama tokoh dan selebriti. Jika buruk beritanya, buruklah persepsi orang ramai terhadap seseorang hingga boleh memusnahkan reputasi dan karier, walaupun belum diketahui perkara sebenar yang berlaku.

Justeru, pengamal media perlu berhati-hati dalam menapis pelbagai maklumat yang sahih dan benar bersumberkan kedua-dua belah pihak, sama ada yang mendakwa atau didakwa, bukan sekadar meraih populariti dan sensasi bagi melariskan akhbar semata-mata.

Umum mengetahui kebanyakan mangsa kes keganasan rumah tangga adalah wanita, seperti yang didedahkan oleh banyak media

Namun kes saman fitnah Johnny Depp ini memberikan sisi yang berbeza bahawa lelaki juga boleh menjadi mangsa keganasan wanita, dengan liputan media yang luas kerana beliau adalah seorang selebriti, begitu juga bekas isterinya.

Kesabaran Depp menghadapi ujian seberat ini selama enam tahun, ditambah dengan kehilangan karier dan pendapatan jutaan dolar wajar menjadi teladan bagaimana beliau bangkit semula mendedahkan kebenaran dan mengembalikan sinar kehidupannya.

Jelas fokus Depp agar kebenaran itu ditegakkan, bukan kerana wang saman semata-mata. Bukti-bukti dikumpulkan, hujah-hujah dan saksi-saksi dikemukakan dengan kenyataan konsisten meyakinkan juri-juri untuk membuat keputusan yang wajar.

Pada sisi lain, kebahagiaan rumah tangga itu bukanlah diukur sekadar pada kecantikan dan paras rupa mahupun banyaknya harta, sebaliknya ia terletak pada kejujuran, pelaksanaan tanggungjawab bersama dan saling mempercayai antara suami dan isteri, demi membina sebuah keluarga yang utuh.

Di pihak Heard, sudah pasti ia kecewa dengan keputusan mahkamah yang tidak berpihak kepadanya. Jika beliau masih tidak berpuas hati dengan keputusan itu, wajarlah ia membuat rayuan dan mengemukakan bukti yang lebih kukuh dan keterangan yang lebih meyakinkan.

Kenyataan Johnny Depp selepas menang kes

Ini adalah kenyataan penuh Johnny Depp di akaun Instagram beliau selepas memenangi kes saman fitnah terhadap Amber Heard.

Penulisannya ringkas, tersusun namun memberikan kesan yang mendalam dan menyuntik inspirasi untuk terus bangkit mendepani cabaran dalam kehidupan.

Enam tahun yang lalu, kehidupan saya, kehidupan anak-anak saya, kehidupan mereka yang paling dekat dengan saya, dan juga kehidupan orang-orang yang selama bertahun-tahun telah menyokong dan percaya kepada saya telah berubah selama-lamanya. Semuanya (berubah) dalam sekelip mata.

Dakwaan palsu, sangat serius dan jenayah telah dikenakan kepada saya melalui media, yang mencetuskan serangkaian kandungan penuh kebencian yang tidak berkesudahan, walaupun tiada pertuduhan pernah dikenakan terhadap saya. Ia (dakwaan itu) telah mengembara ke seluruh dunia dua kali dalam masa nanosaat dan ia mempunyai impak seismik kepada kehidupan dan kerjaya saya.

Dan enam tahun kemudian, juri memberikan kehidupan saya kembali. Saya benar-benar merendah diri.

Keputusan saya untuk meneruskan kes ini, amat mengetahui betapa tingginya halangan undang-undang yang saya akan hadapi dan tontonan dunia yang tidak dapat dielakkan dalam hidup saya, ia hanya dibuat selepas berfikir panjang.

Sejak awal lagi, matlamat membawa kes ini adalah untuk mendedahkan kebenaran, tanpa mengira keputusannya. Bercakap benar adalah sesuatu yang saya terhutang kepada anak-anak saya dan kepada semua orang yang tetap teguh menyokong saya. Saya berasa tenang mengetahui bahawa saya akhirnya berjaya melakukannya.

Saya terharu dengan limpahan kasih sayang dan besarnya sokongan dan kebaikan dari seluruh dunia. Saya berharap usaha saya untuk memberitahu kebenaran akan membantu orang lain, lelaki atau wanita, yang mendapati diri mereka berada dalam situasi saya, dan yang menyokong mereka, tidak pernah berputus asa.

Saya juga berharap keadaan itu kini akan kembali kepada ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’, baik di dalam mahkamah mahupun di media.

Saya ingin menghargai kerja murni pihak hakim, juri, kakitangan mahkamah dan syerif yang telah mengorbankan masa mereka sendiri untuk sampai ke tahap ini, dan kepada pasukan peguam saya yang tekun dan tidak berbelah bahagi yang melakukan kerja yang luar biasa dalam membantu saya untuk berkongsi kebenaran.

Yang terbaik akan tiba dan lembaran baru akhirnya bermula.

Kebenaran tidak pernah binasa.”

Antara kata-kata Depp yang memberikan inspirasi di sini agar usahanya dapat membantu orang lain yang senasib dengannya agar tidak berputus asa dalam menegakkan kebenaran dan bangkit kembali melawan kepalsuan.

Ini sewajarnya menjadi pegangan setiap kita sepanjang masa dan dalam apa jua keadaan, memperjuangkan hak dan kebenaran demi kebaikan masa depan.

 

Sumber:

1. CNN | From ‘The Rum Diary’ to court: A timeline of Johnny Depp and Amber Heard’s relationship

2. CNN | Legal victory for Johnny Depp after he and Amber Heard found liable for defamation

3. The Guardian | Johnny Depp says he has been asked to resign from Fantastic Beasts franchise

4. Independent | Johnny Depp officially dropped from Pirates of the Caribbean, Disney producer confirms

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia