Sejak tahun 2021 hingga bulan Jun lalu, sebanyak 860 kes jenayah bunuh telah dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara. Keadaan ini bermakna sebanyak purata lima kes bunuh telah direkodkan berlaku dalam tempoh seminggu.
Daripada jumlah tersebut, kes jenayah yang terlibat antaranya adalah kes jenayah bunuh bermotif, kes bunuh tidak bermotif dan kes bunuh berkaitan dengan jenayah. Jumlah ini kian meningkat dan membimbangkan semua pihak terutama sekali pihak berkuasa.
Jenayah bunuh adalah satu perkara yang sangat dilarang dalam Islam dan hukumnya adalah dosa besar. Firman Allah dalam Surah Al-An’am ayat 151 bermaksud:
“Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu iaitu: Janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua-dua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan, Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak antaranya mahupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar.”
Namun, statistik kes bunuh masih lagi banyak dan meningkat tahun demi tahun. Adakah ini salah satu petanda akhir zaman ataupun manusia kian alpa dan jauh daripada pegangan Islam? Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 30 bermaksud:
“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?’”
Lebih menyayat hati, salah satu punca jenayah bunuh bermotif adalah daripada perasaan cemburu dan iri hati antara suami isteri dan perebutan harta dalam kalangan ahli keluarga sendiri.
Tanpa mempedulikan pertalian darah, si pembunuh sanggup membunuh demi memenuhi kehendak nafsu harta dan perasaan marah.
Sejarah Nabi Yusuf a.s. dan abang-abangnya memaparkan suatu kisah panjang mengenai hal kekeluargaan dan adik-beradik.
Abang-abang Nabi Yusuf cuba membunuhnya atas perasaan dengki kerana beranggapan bahawa ayah mereka, Nabi Yaakub a.s. melebihkan Nabi Yusuf a.s. berbanding mereka.
Mereka pun membuang Nabi Yusuf a.s. ke dalam telaga dan kemudiannya Nabi Yusuf a.s. telah dijual oleh seorang musafir. Sungguhpun Nabi Yusuf a.s. telah dianiaya oleh abang-abangnya, namun dia masih memaafkan mereka dan malah menolong abang-abangnya itu setelah mereka hidup susah.
Kisah ini memberi ibrah dan panduan kepada kita tentang bagaimana layanan kita terhadap ahli keluarga terutama sekali adik-beradik.
Allah SWT telah menyediakan panduan lengkap untuk semua manusia melalui al-Quran dan hadis sebagai panduan hidup kita. Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 34 bermaksud:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebagian daripada harta mereka. Oleh sebab itu, maka wanita yang soleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”
Ayat ini jelas bertujuan mengelakkan berlakunya kes fitnah yang boleh mengakibatkan pergaduhan sehingga berlaku pembunuhan. Inilah tatacara yang perlu diamalkan sekiranya berlaku perbalahan antara suami isteri. Isteri atau suami sentiasa wajib menjaga ikhtilat dan maruah diri dan pasangan terutama sekali apabila pasangan tiada di sisi.
Kes dadah, ragut, rogol dan rasuah merupakan jenayah dalam kategori jenayah bunuh yang melibatkan kes jenayah lain. Kes jenayah ini adalah jenayah kekerasan yang paling tinggi berlaku pembunuhan di negara kita. Jika disabitkan kesalahan, si pesalah boleh dijatuhi hukuman gantung mati mandatori dan juga sebatan bergantung kepada jenis kesalahan yang dibuat.
Bunuh diri juga boleh dikategorikan sebagai satu jenayah bunuh. Di Malaysia, kes bunuh diri berada pada tahap yang membimbangkan apabila jumlah kes yang dilaporkan adalah sangat tinggi.
Pada tahun lalu, sebanyak 1,087 kes kematian akibat bunuh diri dilaporkan membabitkan 893 lelaki dan 194 perempuan. Daripada jumlah ini, peratusan yang paling tinggi membunuh diri adalah kaum Cina, diikuti India dan Melayu.
Antara punca utama orang membunuh diri adalah kerana kemurungan (27.99%) dan masalah kewangan (15.87%). Masalah ini pada mulanya bermula daripada masalah kemurungan dan tekanan, tetapi akhirnya mendorong kepada masalah mental. Sebagai langkah penyelesaian, bunuh diri adalah “solusi terbaik” buat mereka.
Pelbagai inisiatif yang telah dilakukan oleh kerajaan bagi menangani masalah ini. Antaranya adalah dengan menyediakan khidmat panggilan kaunseling.
Sejak tahun 2019 hingga kini, daripada 48,903 panggilan yang telah diterima menerusi panggilan 15555, sebanyak 28,871 meminta bantuan sokongan emosi dan sebanyak 20,032 memerlukan intervensi khusus.
Sebanyak 299 kes membabitkan tingkah laku bunuh diri, 170 idea bunuh diri dan 129 cubaan bunuh diri. Namun, inisiatif ini masih tidak mampu menangani masalah.
Pihak lain, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak polis dan agensi lain boleh turut membantu menyumbangkan khidmat kaunseling kepada pihak yang terbabit.
Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa segala jenayah, khususnya jenayah bunuh adalah suatu tingkah laku yang salah di sisi undang-undang dan juga agama.
Pada asasnya, setiap manusia perlu berpegang kuat pada al-Quran dan Sunah sebagai panduan hidup. Firman Allah SWT dalam Surah At-Takwir ayat 27 bermaksud:“Al-Quran itu tidak lain hanya peringatan bagi seluruh penduduk alam.”
Dr Siti Fadhilah Abd Latip
Kemaman, Terengganu