Kes Buli: Henti Tonjol Gaya Keibubapaan Ganas

Kes Buli: Henti Tonjol Gaya Keibubapaan Ganas | IKRAM

Watak Henry Bowers dalam filem IT menggambarkan seorang remaja yang sering menjadi mangsa penderaan fizikal oleh bapanya. Kekerasan yang dialaminya di rumah membentuk personalitinya yang agresif, menjadikannya seorang pembuli yang kejam di sekolah. 

Begitu juga dengan watak Draco Malfoy dalam filem Harry Potter, yang meskipun tidak didera secara fizikal, menerima tekanan emosi dan kritikan keras daripada bapanya, Lucius Malfoy. Sikap bapanya mempengaruhi tingkah laku Draco, yang sering bertindak membuli rakan sebaya untuk melampiaskan tekanan yang dialaminya.

Masalah buli di sekolah dan institusi pengajian tinggi semakin membimbangkan dewasa ini. Pelbagai insiden melibatkan buli fizikal dan buli siber sering dilaporkan di media massa, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, pendidik dan masyarakat umum.

Namun, pernahkah kita bertanya, daripada manakah punca sebenar tingkah laku agresif ini? Ramai beranggapan bahawa buli berpunca daripada pengaruh rakan sebaya, media sosial atau layanan pendidik terhadap pelajar.

Walaupun faktor-faktor ini tidak dinafikan relevan, akar permasalahan sebenarnya kerap bermula dari rumah, iaitu persekitaran keluarga dan gaya keibubapaan.

Banyak kajian yang menunjukkan anak-anak yang diabaikan emosinya, tidak diterapkan nilai-nilai murni atau dididik secara keras boleh menghadapi masalah emosi.

Faktor gaya keibubapaan yang keras atau ganas memberi kesan mendalam terhadap pembentukan personaliti kanak-kanak dan boleh menjadi salah satu punca utama kepada tingkah laku buli. Realitinya, besar pengaruh gaya keibubapaan atau pengasuh terhadap pembentukan personaliti anak-anak.

Gaya keibubapaan yang ganas, sama ada dalam bentuk kekerasan fizikal atau emosi, meninggalkan kesan mendalam pada jiwa anak. Anak-anak yang sering dipukul atau dimarahi dengan kasar akan membesar dengan anggapan bahawa kekerasan adalah cara yang betul untuk menyelesaikan masalah. 

Anak-anak cenderung untuk meniru tingkah laku ganas tersebut dengan membuli rakan-rakan mereka di sekolah. Kekerasan ini sering diwajarkan oleh ibu bapa dengan alasan “demi mendisiplinkan anak.” Namun, kesan jangka panjangnya jauh lebih buruk daripada kebaikan yang diharapkan. 

Para pendidik dan kaunselor sering melaporkan bahawa pelajar yang terlibat dalam kes buli biasanya berasal daripada keluarga yang bermasalah. Ada yang mengalami penderaan di rumah, ada yang tidak mendapat perhatian emosi dan kasih sayang dan ada yang membesar dalam suasana konflik yang berterusan. 

Anak-anak ini sering kali membawa tekanan dari rumah ke sekolah. Mereka melampiaskan perasaan tertekan melalui tingkah laku agresif terhadap rakan sebaya. Kekerasan yang dialami di rumah juga menyebabkan mereka hilang kawalan diri dan cuba mendapatkan semula kuasa melalui tindakan membuli.

Lebih membimbangkan lagi, trauma yang dialami ini boleh diterjemahkan dalam dua cara di sekolah. Sebahagian anak-anak ini menjadi pembuli sementara sebahagian lagi menjadi mangsa buli kerana telah diprogramkan untuk menerima kekerasan sebagai norma kehidupan.

Kitaran keganasan ini juga cenderung berulang dari satu generasi ke generasi yang seterusnya. Anak-anak yang membesar dalam persekitaran ganas sering kali mengulangi pola yang sama apabila mereka menjadi ibu bapa kelak.

Pendekatan untuk memutuskan kitaran ini memerlukan perubahan mendasar dalam cara mendidik anak-anak. Pendidikan yang berkesan bukanlah tentang kekerasan, tetapi gabungan antara kasih sayang dan ketegasan. 

Menetapkan peraturan dan sempadan yang jelas tidak memerlukan hukuman fizikal yang tidak bertempat, berlebihan dan apatah lagi dilaksanakan dengan penuh kemarahan. Ajaran Islam menekankan kasih sayang dan rahmah serta menjauhi kekerasan terhadap kanak-kanak. 

Sebaliknya, pendekatan seperti dialog, perbincangan dan hukuman yang sesuai dengan kesalahan lebih efektif dalam membentuk anak-anak yang bertanggungjawab.

Institusi pendidikan juga memainkan peranan penting dalam menangani masalah buli. Sekolah perlu menyediakan kaunselor yang terlatih untuk membantu pelajar yang menghadapi tekanan emosi akibat masalah keluarga. 

Selain itu, program pencegahan buli yang melibatkan ibu bapa, pelajar dan guru perlu diperluas. Bengkel keibubapaan positif, sesi kaunseling keluarga dan program pembinaan kemahiran sosial boleh membantu membentuk persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Sebagai teladan, Rasulullah SAW dibesarkan dalam persekitaran yang tenang dan kondusif di perkampungan Bani Saad, jauh daripada hiruk-pikuk kota yang penuh kekacauan sosial. 

Persekitaran yang positif ini membentuk baginda sebagai seorang individu yang memiliki akhlak mulia, sifat kasih sayang dan toleransi. Ia menunjukkan betapa pentingnya suasana harmoni dalam membentuk sahsiah dan keperibadian yang baik sejak usia kecil.

Masalah buli tidak boleh diselesaikan melalui penguatkuasaan undang-undang semata-mata. Ia memerlukan usaha bersepadu bermula dari rumah hingga ke institusi pendidikan.

Gaya keibubapaan yang penuh kasih sayang, disertai ketegasan yang adil, adalah asas kepada pembentukan generasi yang bebas daripada keganasan dan buli. 

Dengan memutuskan kitaran kekerasan ini, kita bukan sahaja membina individu yang seimbang emosi dan sahsiah, tetapi juga sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera untuk generasi akan datang.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia