Kes Buli: 5 Cara Didik Anak Tidak Jadi Pembuli

Berita demi berita yang mendedahkan kes buli di sekolah, sama ada yang membawa kecederaan fizikal atau yang meninggalkan luka emosi, membuatkan ramai ibu bapa resah setiap kali menghantar anak ke sekolah.

Dalam suasana ini, timbul persoalan: Adakah anak aku selamat? Atau lebih menakutkan… Mungkinkah dia bukan mangsa, tetapi pelaku?

Hakikatnya, benar; kerajaan dan sekolah memikul tanggungjawab besar dalam menangani isu ini. Namun akar yang paling awal sentiasa bermula di rumah.

Cara anak dibesarkan, nilai yang ditanam dan contoh yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan menentukan bagaimana mereka melihat dunia, bagaimana mereka berkawan, mengurus konflik, menzahirkan empati dan mempertahankan diri tanpa menindas orang lain.

Yang berikut adalah lima cara praktikal bagaimana ibu bapa boleh membentuk anak agar tidak menjadi pembuli, sebaliknya membesar sebagai insan berakhlak mulia, berempati dan berani menyokong orang lain.

  1. Didik dengan empati sejak kecil

Anak-anak belajar melalui apa yang mereka lihat. Apabila kita menunjukkan belas kasihan kepada jiran, membantu orang dalam kesusahan atau bercakap sopan dengan orang lain, mereka menyerap semuanya. Empati tidak datang dengan sendirinya. Ia perlu dilatih.

Libatkan anak dalam perbualan mudah: Bagaimana agaknya perasaan dia kalau diperlakukan begitu? Soalan sebegini mengasah kepekaan mereka terhadap perasaan orang lain. Anak yang terbiasa berempati akan lebih sukar untuk menyakiti orang lain kerana mereka mampu membayangkan kesannya.

  1. Bina keyakinan diri anak

Anak yang yakin tidak tunduk membuta tuli dan tidak juga menindas untuk berasa kuat. Sebaliknya, anak yang rapuh mudah menjadi pengikut; kadang-kadang mangsa, kadang-kadang terikut-ikut membuli demi diterima kawan-kawan

Keyakinan diri tumbuh apabila anak diberi ruang mencuba dan walaupun gagal, disokong dengan kata-kata yang ikhlas oleh ibu bapa, dan dirasai bahawa nilai diri mereka bukan bergantung pada sikap merendahkan orang lain. Apabila mereka tahu diri mereka berharga, mereka tidak perlukan tindakan membuli untuk rasa dihormati.

  1. Ajarkan cara mengurus emosi

Ramai anak membuli kerana mereka tidak tahu mengurus kemarahan, cemburu atau berasa tidak puas hati. Semua emosi itu normal, tetapi tanpa panduan, ia boleh bertukar menjadi tingkah laku agresif.

Ibu bapa boleh mengajar cara mudah mengurus emosi seperti menarik nafas dalam-dalam (deep breathing technique), berundur seketika apabila marah atau meluahkannya melalui kata-kata, bukan tangan. Apabila anak tahu ada cara sihat meluah perasaan, mereka tidak perlu mencari “kuasa” dengan menyakiti orang lain.

  1. Jadi teladan, bukan sekadar pemberi arahan

Anak-anak meniru lebih daripada mereka mendengar. Kalau mereka melihat ibu bapa cepat marah, suka menghina atau merendahkan orang lain, jangan terkejut apabila mereka melakukan benda sama di sekolah.

Teladan baik bermula dari rumah: bercakap dengan hormat walau sedang marah, memohon maaf apabila tersalah atau mengurus konflik tanpa maki hamun. Dengan cara itu, anak belajar bahawa menjadi berani tidak sama dengan menjadi kasar.

  1. Mewujudkan komunikasi yang terbuka 

Anak yang rasa didengari akan lebih mudah berkongsi apabila mereka melihat atau mengalami sesuatu. Sebaliknya, anak yang dibesarkan dalam suasana takut dimarahi atau diabaikan, mereka akan menyembunyikan masalah.

Luangkan masa setiap hari untuk berbual dengan anak tanpa gangguan gajet. Tanyakan tentang hari mereka, kawan-kawan mereka, apa yang mereka rasa. Hubungan yang terbuka ini menjadikan ibu bapa tempat pertama yang anak cari apabila ada masalah, bukan tempat terakhir.

Apa yang perlu dilakukan jika anak menjadi mangsa buli? 

Jika anak mengadu dibuli, jangan anggap itu “masalah kecil” atau menyalahkan mereka kerana “tidak pandai menjaga diri” dan menganggap mereka lemah. Kesan buli boleh menjejaskan keyakinan diri dan mencetus trauma berpanjangan.

Langkah awal ialah mendengar dengan penuh empati, mencatat butiran kejadian, menyimpan bukti (mesej, rakaman atau gambar) dan segera melaporkan kepada pihak sekolah. Jika serius, dapatkan pemeriksaan kesihatan dan buat laporan polis. Apabila ibu bapa bertindak cepat, anak akan berasa dilindungi dan mesej jelas sampai kepada pelaku bahawa buli ada akibatnya.

Apa yang perlu dilakukan jika anak adalah pembuli?

Sukar diterima, tetapi ada kemungkinan anak kita sendiri yang menjadi pelaku. Ramai ibu bapa menafikan kerana takut imej keluarga tercalar atau risau pandangan masyarakat. Namun, menutup mata hanya mengundang masalah lebih besar.

Pertama sekali, akui kesalahan itu berlaku. Ajar anak memahami kesan perbuatannya terhadap mangsa dan galakkan mereka bertanggungjawab,  sama ada dengan meminta maaf, menjalani sesi kaunseling atau menerima tindakan disiplin. Membela anak tanpa menegur hanya akan mengajar mereka bahawa perbuatan salah boleh dilepaskan.

Penutup

Buli bukan sekadar isu di sekolah. Ia adalah cerminan masalah dalam masyarakat. Sekolah dan kerajaan boleh menggubal dasar, tetapi yang sebenar-benarnya membentuk siapa anak-anak kita apabila mereka melangkah keluar dari rumah setiap hari adalah ibu bapa.

Anak yang dibesarkan dengan kasih sayang dan teladan yang baik serta mempunyai hubungan terbuka dengan keluarga akan melahirkan jiwa yang penuh empati, yakin diri dan tahu mengurus emosi. Itulah sebenarnya benteng paling kukuh untuk menentang budaya buli.

Dan apabila kita sebagai ibu bapa berani bertindak, sama ada anak itu mangsa, saksi atau pelaku, kita bukan sahaja melindungi mereka, tetapi turut menyumbang membina generasi yang lebih berani, berakhlak dan berperikemanusiaan.

Pn. Nurhakimah Mohamud
Timbalan Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Jawatankuasa Advokasi Kanak-kanak

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia