Berlangsung di Berjaya Times Square Hotel, sesi diskusi dan dialog ini bertujuan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan pertubuhan-pertubuhan masyarakat madani (CSO) tentang isu keganasan dan ektremisme di Malaysia, bertukar pandangan dan bekerjasama dalam menjayakan kempen menangani isu tersebut dengan cara yang terbaik.
Dalam sesi pertama, seramai tiga panelis mengupas mengenai isu-isu berkaitan keganasan iaitu ‘Terrorist Recruitment Strategy’ oleh Dr Danial Mohd Yusof (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), ‘Terrorism and Social Media’ oleh Tn Asrul Daniel Ahmad (SEARCCT) dan Dr Wan Fariza Alyati Wan Zakaria (Universiti Kebangsaan Malaysia).
Sesi kedua diteruskan dengan pembentangan oleh Cik Amanda Sangeetha Thomas mengenai kempen-kempen CVE SEARCCT melalui media diikuti dengan perkongsian Pengerusi Unit Hal Ehwal Antarabangsa IKRAM, Hj Shahrul Aman Mohd Saari mengenai pengalaman, peranan dan kempen IKRAM dan rakan-rakan NGO lain dalam menangani keganasan dan ekstremisme.
Pada sebelah petang, program diteruskan dengan sesi diskusi dan pembentangan secara berkumpulan untuk menjawab beberapa persoalan antaranya tahap ektremisme di Malaysia, kerjasama kerajaan – CSO dalam CVE , ISIS dan kematian al-Baghdadi, langkah seterusnya pascaprogram.
Menurut Pengurus Jabatan Penerangan dan Perhubungan IKRAM yang menghadiri sesi diskusi dan dialog tersebut, Pn Siti Hamisah Manan, banyak input dan pendedahan mengenai kes-kes berkaitan ekstremisme dan keganasan di Malaysia serta propaganda media untuk menyebarkan fahaman tersebut.
“Dengan input-input tersebut, saya lihat betapa besarnya peranan media untuk menangani gejala ekstremisme dan keganasan serta memberikan kefahaman sebenar agar orang ramai tidak terpengaruh dengan propaganda tersebut,” jelasnya.
Katanya, percambahan idea melalui diskusi dan pembentangan berkumpulan banyak memberikan pelbagai saranan dan langkah seterusnya kepada SEARCCT dalam memperkasakan kerjasama dengan CSO, agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti dalam kempen CVE.
Ketua Pengarah SEARCCT, Tn Chuah Teong Ban dalam ucapan penutupnya berkata, beliau sangat menghargai pelbagai input, cadangan dan idea daripada panelis, pembentang dan wakil-wakil CSO dalam menjayakan kempen menangani keganasan dan ektremisme, dan berharap agar kerjasama sebegini diteruskan lagi pada masa akan datang.
Disertai oleh 34 orang wakil-wakil CSO, turut hadir dalam program ini Timbalan Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin. Antara agensi dan CSO yang hadir ialah YADIM, ACCIN, IKRAM, HALUAN, ABIM, GEMA, Suara Prihatin, IKRAM MUSLEH, MyCARE, IMAN Research, Akademi NUNJI, Asatizah IKRAM Selangor dan IRF.